Isnin, 27 Januari 2014

PM: Penyelesaian 10 Perkara Tidak Mengatasi Undang-Undang Negeri Dan Persekutuan

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak
telah menyatakan pendirian kerajaan bahawa
Penyelesaian 10 Perkara adalah tertakluk
kepada undang-undang negeri
Januari 24 – Penyelesaian 10 perkara Putrajaya masih tertakluk kepada undang-undang negeri dan persekutuan yang sedia ada. Datuk Seri Najib berkata hari ini, mengesahkan pendekatan kerajaannya yang bersifat pasif dalam keadaan malang yang sedang berlanjutan di negeri Selangor.

Perdana Menteri menyatakan bahawa undang-undang mengenai penggunaan kata "Allah" berbeza dari satu negeri ke satu negeri, tetapi menekankan bahawa “tidak ada enakmen sedemikian” dalam kes Sabah dan Sarawak.

“Majlis Tertinggi mengambil maklum persetujuan 10 perkara oleh kerajaan tetapi persetujuan itu dengan sendirinya tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi UMNO petang ini.

“Ini bermakna kalau sesebuah negeri itu ada enakmen, ia tertakluk kepada enakmen di peringkat negeri,” tambah perdana menteri itu.

Tetapi di Sabah dan Sarawak, yang disenaraikan Najib sebagai negeri-negeri tanpa enakmen khusus untuk melarang orang-orang bukan Islam daripada penggunaan kata “Allah”, pengikut agama di situ boleh “meneruskan amalan mereka seperti biasa.”

“Dan tidak ada pihak yang perlu menakutkan pihak-pihak lain," kata Najib.

Kabinet Najib telah mengusulkan penyelesaian 10 perkara itu sejurus sebelum pilihanraya negeri Sarawak pada 2011 untuk menyelesaikan pertelingkahan mengenai rampasan satu pengiriman Alkitab yang mengandungi kata “Allah” di dalamnya.

Penyelesaian itu membenarkan Alkitab dalam Bahasa Malaysia dan bahasa-bahasa sukuan tempatan untuk dicetak, diimport dan diedarkan secara bebas di Sabah dan Sarawak, tetapi di Semenanjung, kitab-kitab suci itu mestilah dicop untuk menandakan bahawa kitab-kitab itu adalah penerbitan Kristian.

Najib menambah hari ini bahawa ianya telahpun dinyatakan dalam penyelesaian 10 perkara bahawa persetujuan Kabinet itu mestilah menurut undang-undang negeri dan persekutuan yang sedia ada.

Kata-kata Perdana Menteri malam ini mungkin akan menambahkan lagi rasa tidak senang para pengkritik kerajaan yang sudahpun mempersoalkan tujuan dan maksud mengusulkan penyelesaian 10 perkara itu apabila undang-undang beberapa negeri kelihatan memberikan peraturan yang berbeza mengenai penggunaan kata “Allah.”

Umpamanya, di Sabah, mufti negeri telah pada 2003 mengeluarkan fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992, melarang orang bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kata “Allah” dan 31 lagi perkataan Arab termasuk “injil” dan “rasul.” Fatwa itu telah diwartakan pada tahun yang sama.

Di Selangor, pihak berkuasa agama negeri telah menggunakan peruntukan dalam Enakmen Pengawalan dan Sekatan Penyebaran Agama-Agama Bukan Islam 1988 untuk menyerbu premis sebuah pertubuhan Kristian dan merampas lebih 300 naskah Alkitab Bahasa Malaysia dan Iban yang mengandungi kata “Allah.”

Insiden 2 Januari itu mencetuskan pembantahan, yang membawa kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan suatu perintah kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 8 Januari untuk mengembalikan Alkitab-alkitab itu kepada Bible Society of Malaysia (BSM) jika kitab-kitab suci itu telah memenuhi syarat-syarat dalam penyelesaian 10 perkara.

Sejak itu Jais telah mengabaikan arahan itu dan meneruskan dengan menyoal presiden BSM, Lee Min Choon bersama dengan pengurus pejabat pertubuhan itu, Sinclair Wong mengenai Alkitab-alkitab itu.

Serbuan yang mengejutkan itu pada awal bulan ini telah meningkatkan lagi ketegangan agama mengenai kata “Allah” yang telahpun menjadi hangat berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Oktober lalu yang melarang penggunaan perkataan Arab itu oleh orang bukan Islam.

Ianya juga merumitkan penyelesaian 10 perkara oleh Putrajaya yang telah diperkenalkan untuk memberi kebenaran kepada orang-orang Kristian penggunaan kata “Allah” yang berterusan dalam Alkitab bahasa-bahasa sukuan tempatan sementara kes mahkahmah masih berlanjutan.

Tindakan mahkamah yang masih berterusan di antara kerajaan dan Gereja Katolik mengenai haknya untuk mencetak perkataan “Allah” dalam edisi Bahasa Malaysia majalah Herald masih lagi menunggu sidang Mahkamah Persekutuan, yang dijadualkan akan mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua pihak pada 24 Februari sebelum keputusan dibuat samada mahkamah tersebut akan memperdengarkan rayuan Gereja Katolik.

Orang-orang Kristian berjumlah hampir 10% daripada populasi Malaysia, atau 2.6 juta orang. Hampir dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera, dan kebanyakannya menetap di Sabah dan Sarawak, di mana mereka selalunya menggunakan kata “Allah” dalam Bahasa Malaysia dan dalam bahasa-bahasa sukuan tempatan dalam amalan keagamaan mereka, termasuk merujuk kepada Tuhan sebagai “Allah” dalam ibadah dan kitab suci mereka.

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk "PM: 10-Point Deal Not Above State, Federal Laws" penulisan Shazwan Mustafa Kamal bertarikh 24 Januari 2014)