Selasa, 14 Ogos 2018

Kapal Terbang Atau Motosikal? Yang Manakah Anda Pilih?


Pada tahun 2013, saya mendapat satu penglihatan ketika berdoa di mimbar semasa kebaktian ibadah di gereja. Dalam penglihatan itu, Tuhan menunjukkan saya sebuah kapal terbang penumpang yang besar di sebuah kawasan lapang, dan bersebelahan dengan kapal terbang itu adalah sebuah motosikal. 

Semasa saya melihat dua kenderaan yang berbeza itu, Tuhan berkata kepada saya, "Yang manakah kamu pilih?" 

Saya terkejut dan terharu. Tuhan sedang memberikan saya pilihan antara kapal terbang yang besar dan sebuah motosikal!

(Sebelum saya memberitahu anda apa jawapan saya, bolehkah saya tanya seandainya Anda yang ditanya oleh Tuhan, yang manakah Anda akan pilih? Kapal terbang atau motosikal?) 

----------------

Saya terharu. Tuhan sedang memberikan saya tawaran yang tidak disangka.

Saya berfikir dalam diri saya. Yang manakah saya pilih?

Saya merasa cukup rendah diri di hadapan Tuhan.  

Kapal terbang itu terlalu besar untuk saya. Manakala motosikal lebih kurang saiz saya. Lagi pun saya tahu pandu motosikal, tapi kapal terbang saya tidak tahu.

Lalu saya pun menjawab, "Motosikal."

"Kenapa kamu pilih motosikal?" Tuhan menanya saya.

"Sebab saya tahu pandu motosikal. Yang kapal terbang itu saya tidak tahu pandu."

Tuhan menjawab saya, "Pilihlah kapal terbang. Aku telah sediakan juruterbangnya untukmu."

Saya terharu menerima perkataan Tuhan itu.

----------------

Inilah makna penglihatan itu:

Kita sering melihat betapa kecilnya diri kita, tetapi Tuhan mahu kita melihat betapa besarnya Dia dalam hidup kita.

Kita sering saja melakukan perkara yang kecil, tetapi Tuhan mahu kita percaya pada-Nya untuk melakukan perkara yang besar.

Seperti yang tertulis dalam Alkitab:

"Sesungguhnya, rancangan-Ku bukanlah rancanganmu dan jalanmu bukanlah jalan-Ku," demikianlah firman Tuhan. "Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu dan rancangan-Ku daripada rancanganmu." (Yesaya 55:8-9, AVB)

Misionari terkenal, William Carey pernah berkata:

"Percayalah perkara besar dari Tuhan,
Lakukan perkara besar untuk Tuhan."

Oleh itu percayalah kepada Tuhan, dan lakukan perkara besar untuk-Nya!

Yang manakah akan Anda pilih, motosikal atau kapal terbang?

Pilihlah kapal terbang...