Jumaat, 27 Mei 2011

Menyiram Bunga Di Rumah Ayah


Bunga Orkid

        Ayah dan ibuku telah pergi tinggal bersama adik perempuanku untuk beberapa bulan. Sementara itu, aku telah diberi tugas menyiram bunga di rumah bapaku yang letaknya beberapa kilometer dari rumahku. Ayah suka menanam pokok bunga. Bunga orkid menjadi kegemarannya.

        Adakalanya, waktu aku sibuk, aku tidak sempat menyiram pokok-pokok bunga ayahku sehari dua. Pada hari berikutnya, aku akan melihat pokok bunga itu kekeringan dan daunnya menjadi layu. Apalagi dalam cuaca sekarang yang begitu terik dan panas, apabila aku menyiram pokok bunga itu sekali seharipun, daun orkid itu masih menjadi layu. Oleh itu, aku sekarang berusaha ke rumah ayahku pagi dan petang untuk menyiram pokok-pokok bunga itu supaya tetap segar dan elok.

        Apabila aku menyiram pokok-pokok bunga itu, aku sentiasa teringat akan Firman Tuhan yang mengatakan tentang pohon yang ditanam di tepi aliran air;

Tetapi yang kesukaannya ialah Taurat TUHAN, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam. Ia seperti pohon, yang ditanam di tepi aliran air, yang menghasilkan buahnya pada musimnya, dan yang tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil. (Mazmur 1:2-3)


Bunga orkid di rumah ayahku

        Seperti mana pokok bunga orkid itu perlu menerima air selalu, begitu juga aku perlu menerima Firman Tuhan selalu setiap hari untuk menjadi segar dan kuat. Apabila aku merenungkan Firman-Nya siang dan malam, aku akan menjadi seperti pohon yang ditanam di tepi aliran air, sentiasa segar dan berbuah pada musimnya...!