Khamis, 26 Julai 2012

Ryan Hall, Pelumba Maraton Olimpik: "Tuhanlah Jurulatihku!"


Ryan Hall akan berlari dalam acara maraton di Olimpik London 2012,
dalam perlumbaan yang berjarak 26.2 batu (42.2 km)

Ryan Hall, pelumba maraton
dari Amerika Syarikat
Berlari ialah waktunya pelumba maraton, Ryan Hall berasa paling dekat kepada Tuhan. Pada Olimpik tahun 2008, dia mendapat tempat kedua di antara pelumba Amerika Syarikat, dan tempat kesepuluh secara keseluruhan. Tidak mungkin lebih teruk lagi dan harapnya akan bertambah baik, dan tempat ketiganya pada Maraton Boston 2009 sepertinya mengesahkan harapannya itu.

Tetapi menjelang 2010, dia keletihan, setiap langkah terasa berat. “Aku merasa seperti orang yang tidak bernyawa,” katanya.

Berlatih lebih kuat. Itulah nasihat jurulatihnya. Jadi itulah yang dia lakukan. Dia mendapat tempat ketigabelas di separuh maraton Philadelphia. Maraton Chicago hanya dua minggu lagi. Dia tidak dapat melakukannya. Dia menarik diri. Sudahkah dia kehilangan daya juang untuk menang? begitu soal jurulatihnya. Ryan sendiripun terfikir juga.

Pada suatu Ahad di gereja dia mendengar satu suara: Percayalah kepada-Ku. Biarlah Aku menjadi jurulatihmu. Waktu itu juga, pendeta pun berhenti di tengah khutbahnya. “Saat ini Tuhan sedang berbicara dengan seorang peribadi di gereja ini,” katanya. “Jangan takut. Dengar saja dan ikut pimpinan-Nya.”

Ryan Hall beribadah di Gereja Bethel di Redding, California

Ryan telah membesar dalam keluarga Kristen yang komited. Tetapi ini rasanya pelik. Dia dalam kedudukan paling menurun dalam hidupnya. Dia memerlukan jawapan, fikirnya, arah yang jelas, bukannya suatu suara misteri di kepalanya.

Ayahnya, iaitu jurulatih pertamanya, pernah selalu mengatakan kepadanya ”Hati yang riang membuat larian yang pantas.” Pada waktu itu dia berasa sungguh tidak riang, semuanya seperti tidak mengena. Apakah yang kekurangan? Tuhan memang menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Tetapi adakah Ryan sungguh-sungguh menginginkan pimpinan-Nya? Dan bersandar sepenuh kepada-Nya?

Semakin dia memikirkannya, semakin dia ingin merasakan itu. Dia meninggalkan jurulatihnya. Kemudian dia berdoa, doa yang menginsafi diri, seperti yang tidak pernah didoakannya. “Tolong aku, Tuhan,” dia merayu, “Aku memerlukan Engkau. Apakah yang Engkau mahu aku lakukan?”

Ryan Hall mendahului sewaktu berlari dalam Maraton Boston 2011

Dia perlu membuat larian berbatu-batu, fikirnya, berusaha lebih kuat setiap hari, untuk kembali ke keadaan terbaik.

Tetapi pelik juga, pada malam hari sewaktu dia menenangkan diri untuk mendengar firman Tuhan, dia mendapat pesanan yang berbeza: Relaks. Jarakkanlah latihanmu yang paling berat. Dan sehari dalam seminggu, langsung jangan berlatih. Biarlah tubuhmu dan mindamu berehat. Berikan hari itu kepada-Ku. Bagaimanakah mengurangkan latihan dapat menambahkan kelajuannya?

Dia berlari dengan keras cuma dua kali seminggu, 10 larian berjarak sebatu, setiap satu dalam lima minit, kemudiannya larian melegakan tubuh pada waktu petang. Pada hari-hari lain dia membuat latihan yang lebih bersahaja, larian sebatu dalam masa tujuh minit. Pada hari Ahad dia meluangkan masa bersama isterinya, dalam doa dan pengkajian Alkitab. Tiada larian pada hari tersebut.

Ryan Hall bersama isterinya, Sara yang juga seorang pelari jarak jauh,
selepas berjaya melayakkan diri dalam Kelayakan Pasukan Olimpik
Amerika Syarikat untuk acara maraton pada 12 Januari 2012

Ryan dengan segera dapat melihat perbezaannya. Bukan juga dalam kepantasan lariannya, tetapi dalam rasa dirinya – lebih ringan, diperbaharui, dalam tubuh dan jiwa.

“Aku tak pernah melihat kau begitu riang,” kata isterinya. “Kau seperti orang yang berbeza.” Untuk pertama kali dalam masa bertahun-tahun, dia bangun dari tidur dengan kesukaan untuk pergi berlari, setiap langkah menjadi kesempatan untuk mendekati lagi Tuhan.

Berita tentang cara latihannya yang unik mula tersebar. Dia bertemu dengan pelbagai orang yang menyatakan rasa terpanggil untuk menyertai pasukannya, iaitu seorang pakar pemakanan, seorang jurulatih kekuatan, seorang pakar tulang belakang dan seorang tukang urut terapi.

Ryan dalam Maraton Boston 2011
telah mencatatkan masa terpantas
yang pernah dicatat oleh seorang
warga Amerika Syarikat
Pada suatu hari, semasa pembacaan Alkitabnya, dia terbaca ayat dalam Amsal: “Jikalau penasihat banyak, keselamatan ada.”

Tetapi bagaimana pula soalan yang masih menunggu jawapan, adakah dia akan cukup pantas semasa pertandingan? Pada April 2011, dia telah berlari dalam Maraton Boston. Pelumba-pelumba Kenya berlari dengan pantas sekali dalam kelajuan yang memecah rekod. Ryan mendapat tempat keempat secara keseluruhan, dengan masa 2:04.58, masa yang paling pantas pernah dicatat oleh seorang warga Amerika Syarikat.

Dia akan pergi ke London dengan rasa segar dan relaks. “Aku tidak selalunya tahu apakah yang aku lakukan,” Ryan mengaku. Tetapi Jurulatihnya tahu.

(Diterjemah dari artikel Guideposts "Each Stride Brings Him Closer to God" yang ditulis oleh Evan Miller)