Selasa, 28 Mei 2013

Kesaksian Peribadi Nick Vujicic (Lelaki Tanpa Lengan dan Kaki)

Nick Vujicic
Namaku Nick Vujicic dan aku bersyukur telah dilahirkan 30 tahun yang lalu tanpa lengan dan kaki. Aku tidak akan berpura-pura bahawa hidup adalah mudah tetapi dengan kasih daripada ibubapaku, orang-orang tersayang dan iman dalam Tuhan, aku telah menghadapi kesukaranku dan hidupku kini penuh dengan sukacita dan tujuan. Aku kini tinggal di California dengan isteriku, Kanae, dan kami gembira melihat kehidupan orang berubah untuk kebaikan dan disentuh dalam apa jua cara. Adalah harapanku agar hidupmu akan diimpak secara positif oleh kisahku.

Aku telah dilahirkan dan dibesarkan di Melbourne, Australia dan menjadi kejutan kepada ibubapaku apabila aku lahir tanpa lengan dan kaki. Tidak ada sebab dari segi perubatan kenapa itu berlaku. Ibubapaku berusaha sedaya upaya mereka untuk mengekalkan aku di sekolah biasa dan memberi aku setiap kesempatan untuk menjalani hidup dengan sepenuhnya. Aku juga diberkati memiliki seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan yang juga kawan terbaikku.

Nick semasa kecil
Kami kemudiannya berpindah ke Brisbane, Australia di mana aku tinggal selama 14 tahun sebelum aku berpindah ke California. Pada usia lapan tahun, aku tidak dapat melihat masa depan yang cerah untuk diriku dan menjadi murung. Apabila aku berumur sepuluh tahun, aku mengambil keputusan untuk menamatkan nyawaku dengan melemaskan diri dalam tab mandi. Setelah beberapa cubaan, aku menyedari bahawa aku tidak dapat meninggalkan orang-orang kesayanganku dengan bebanan dan rasa bersalah akibat tindakan bunuh diriku. Aku tidak dapat melakukan itu terhadap mereka.

Aku tidak murung sepanjang zaman kanak-kanakku, tapi aku mengalami waktu-waktu baik dan buruk. Pada umur tiga belas tahun, aku mencederakan kakiku, yang aku gunakan untuk banyak hal seperti menaip, menulis dan berenang. Kecederaan itu membuat aku sedar bahawa aku perlu lebih bersyukur untuk keupayaanku dan mengurangkan tumpuan pada ketidakupayaanku.

Apabila aku berusia lima belas tahun, aku memastikan kepercayaanku kepada Tuhan dan perjalanan hidupku sejak waktu itu adalah menakjubkan.

Pelajar-pelajar mendengar ceramah motivasi Nick Vujicic
Seorang tukang bersih di sekolah menengahku telah memberiku inspirasi untuk mula bercerita mengenai imanku dan bagaimana aku mengatasi kesukaran semasa aku berusia tujuh belas tahun. Aku hanya berbicara lebih sepuluh kali kepada kumpulan-kumpulan yang sangat kecil selama dua tahun yang berikut.

Kemudiannya, pada suatu hari, aku tiba-tiba berhadapan dengan tiga ratus pelajar-pelajar menengah (umur 15-16 tahun) dan aku rasa sungguh gemuruh. Lututku pun goyah. Dalam masa tiga minit ucapanku, separuh daripada pelajar-pelajar perempuan sudah menangis dan kebanyakan pelajar lelaki sedang berusaha menahan perasaan mereka. Seorang pelajar perempuan khususnya sedang menangis dengan kuat. Kami semua memandangnya dan dia mengangkat tangannya. Katanya, "Minta maaf kerana mengganggu, tetapi bolehkah aku datang dan memeluk kamu?"


Seorang pelajar terharu semasa mendengar kisah Nick

Dia datang dan memeluk aku di hadapan semua orang, dan berbisik ke telingaku, "Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Tidak pernah seorang pun mengucapkan bahawa dia mengasihi aku dan bahawa aku cantik dengan seadanya."

Rasa berterima kasihnya memberi inspirasi kepadaku untuk menjelajah ke 44 negara dan berbicara 2,000 kali. Aku menjadi sedar bahawa kita semua memerlukan kasih dan harapan dan bahawa aku dalam kedudukan yang unik untuk menyampaikannya kepada orang di sekeliling dunia.

Sementara melanjutkan pelajaran di universiti dengan pengkhususan dalam kedua-dua perakaunan dan perancangan kewangan, aku juga berusaha mengembangkan keupayaanku sebagai seorang pembicara. Aku dilatih oleh seorang jurulatih pertuturan yang membantu membentukku menjadi seorang penceramah. Dia terutamanya mengajarku tentang body language (isyarat tubuh) kerana tanganku selalu tak tentu arah pada mulanya!


Nick semasa menyampaikan ceramahnya

Aku berceramah tentang topik-topik motivasi selepas menubuhkan syarikat Attitude Is Altitude. Aku juga melancarkan pelayanan non-profit (tidak bermotif keuntungan) Life Without Limbs, untuk menyampaikan mesej iman dan harapan ke sekeliling dunia.

Siapapun anda, dari manapun anda, dan apapun yang anda hadapi, aku berharap anda akan mendapat inspirasi daripada kisahku dan mesejku. Silakan melayari laman ini di mana aku akan berkongsi dengan anda pandanganku mengenai iman, kasih dan pengharapan untuk mendorong anda dan membantu anda mengatasi cabaran-cabaran yang anda hadapi.

Milikilah impian yang besar, kawanku dan jangan berputus asa. Kita semua melakukan kesilapan tapi tidak seorangpun kita adalah kesilapan. Jalani hidup sehari demi sehari. Dakaplah sikap, perspektif, prinsip dan kebenaran yang positif yang kukongsikan, dan anda juga akan mengatasi.




(Diterjemah daripada artikel laman Attitude Is Altitude bertajuk "About Nick: His Story")