Selasa, 28 Mei 2013

Nick Vujicic Beri Ceramah Motivasi Di Malaysia

Nick Vujicic, penceramah motivasi tanpa lengan dan kaki telah datang ke Malaysia beberapa hari yang lalu atas undangan Jeffrey Cheah Foundation untuk memberikan ceramah di Sunway Campus. Berikut ini terjemahan laporan artikel Astro Awani mengenai lawatan dan ceramah Nick di Sunway Campus, Petaling Jaya pada 22 Mei 2013.

PETALING JAYA: Penceramah motivasi terkenal sedunia Nick Vujicic terus menyampaikan mesej "pengharapannya" kepada anak-anak muda Malaysia, memberitahu negara ini bahawa ianya dapat mencapai lebih tinggi lagi tanpa perlu menunggu pihak lain.

Vujicic, pengasas berusia 30 tahun pertubuhan 'Life Without Limbs', berada di Malaysia pagi ini untuk menceritakan kisah hidupnya yang menginspirasikan kepada beberapa ribu pelajar Sunway University, dengan ceramahnya disiarkan secara langsung juga di dewan-dewan kuliah di Johor dan Ipoh.

Penginjil Kristian itu hanya menghabiskan masa sehari di Malaysia, telah tiba pada 7 malam semalam, dan berlepas ke Vietnam untuk satu lagi ceramah pada malam ini.

Keratan akhbar The Star 23 Mei 2013
Lebih daripada seribu pelajar memenuhi auditorium kampus sambil Vujicic membuat para hadirin terkejut, tertawa dan menangis dengan kisahnya yang penuh pengharapan, kasih dan iman.

"Aku mahu memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menolong rakyat Malaysia," kata Vujicic menjawab soalan mengenai harapannya untuk kemajuan Malaysia.

"Setiap negara, di setiap peringkat dapat terus maju. Kita bercakap tentang kesedaran tentang kurang upaya, integrasi dan lebih harapan untuk rakyat, ini termasuk negara Australia dan Amerika Syarikat," tambahnya.

Vujicic berkata bahawa setiap negara mempunyai banyak keperluan, tetapi daripada menunggu pihak yang lain untuk menolong, kita perlu menjadi orang pertama untuk menolong orang-orang kita sendiri.

Misi dan fokusnya ialah generasi yang seterusnya dan bagaimana setiap anak-anak muda dapat mencapai 'kebenaran berkenaan nilai mereka' dengan memberi fokus pada hala tuju masa depan mereka.

Nick Vujicic
Menceritakan kisah keadaan dirinya, kesan daripada suatu penyakit yang jarang ditemui, dengan ketiadaan kedua-dua lengan dan kakinya, Vujicic membuat para hadirin ketawa dengan satu kisah bagaimana dia menjawab seorang kanak-kanak yang bertanya kepadanya, "Apa terjadi (kepadamu)?" dengan jawapan ringkas, "Rokok!" Dia juga menceritakan bagaimana pada suatu kali dia membuat seorang wanita dalam kereta di sebelah keretanya menjadi hairan, dengan berpusing tubuhnya 360 darjah. 

Dengan nada lebih serius, Vujicic juga menceritakan bagaimana dia menimbangkan untuk membunuh diri pada umur lapan tahun dan mencubanya dua tahun kemudian.

Bagaimanapun Vujicic tidak meneruskan niatnya sambil dia membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan bersama dengan orang-orang kesayangannya dan imannya dalam Tuhan.

Semasa ceramahnya, dia menanya para hadirin mengenai jumlah orang yang pernah memikirkan dan mencuba membunuh diri. Dengan para hadirin yang mengangkat tangan di dewan, Vujicic berkata itu menunjukkan bahawa satu perlima daripada orang telah cuba membunuh diri.

"Lebih kurang 80 orang dalam dewan ini telah cuba membunuh diri sebab ada orang yang mempersendakan mereka," kata Vujicic, yang menekankan bahawa mengejek orang lain tidaklah baik.

"Kenapa kita lakukan itu? Mempersendakan orang lain, marilah kita bersifat jujur. Jika tidak pernah orang mengejek kita, adakah kita yakin bahawa kita tidak pernah mengejek orang? Apakah 'hebatnya' dalam mengejek orang lain?"


Nick Vujicic semasa kecil

Katanya adalah penting untuk mengasihi diri sendiri dan kemudian mengasihi orang lain sambil membantu memberi inspirasi dan mengubah kehidupan orang lain.

"Kamu sangat berharga, hanya ada satu kamu di dunia. Jadi kasihilah dirimu dan berilah peluang pada dirimu, dan kemudian menolong membangkitkan kehidupan orang lain," katanya.

Sepanjang ceramahnya, ramai yang sebak dengan air mata semasa mendengar kisah yang menyayat hati.

Vujicic menjawab soalan-soalan seperti "Bagaimanakah kita dapat mengasihi diri sendiri apabila tiada orang yang mengasihi kita?" dan "Apakah yang kamu lihat apabila memandang padaku?" dan "Bagaimana untuk menyekat semua hal negatif daripada mempengaruhi kehidupan?"

Vujicic mengucapkan "I love you" kepada setiap hadirin, dan menjawab semua soalan-soalan itu sebelum dibawa pergi sambil melambai-lambai dan tersenyum.

Dan mesej terakhirnya untuk rakyat Malaysia hari ini?

"Kepada semua rakyat Malaysia, aku sungguh mengasihi anda. Anda tidak tahu betapa hal-hal yang indah akan terbit daripada kehancuran. Semakin besar perjuangannya, semakin besarlah kemenangannya. Bertabahlah, beranikan dirimu, milikilah impian besar dan jangan pernah berputus asa."


Ceramah Motivasi Nick Vujicic Di Sunway University 22 Mei 2013


(Diterjemah daripada artikel laman Astro Awani bertajuk "Limbless Vujicic tells Malaysia: There is hope!" penulisan Teoh El Sen bertarikh 22 Mei 2013)