Jumaat, 4 Julai 2014

Tim Howard Memberikan 'Segala Pujian Kepada Tuhan' Atas Persembahan Mengkagumkan Di Piala Dunia

Penjaga gol Everton, Tim Howard menyelamatkan gawang dalam Liga Perdana (foto ESPN)

Walaupun pasukan Amerika Syarikat tewas pada Belgium pada hari Selasa, penjaga gol Amerika mengkagumkan para penonton dengan rekod 16 kali menyelamatkan cubaan gol. Dengan persembahannya yang menakjubkan, Howard dengan segera dijulang menjadi lebih termashyur apabila berjuta peminat menggunakan Twitter, membandingkan penjaga gol itu dengan Yesus Kristus - iaitu peribadi yang dianggap paling utama dalam hidupnya.

"Perkara paling penting dalam hidupku ialah Kristus," Howard memberitahu dalam satu temuramah dengan Campus Crusade for Christ. "Dia lebih penting bagiku daripada menang atau kalah ataupun samada aku bermain atau tidak. Segala perkara lain adalah bonus. Segala pujian bagi Tuhan."

Howard juga menjadi sukarelawan untuk persekutuan muda-mudi gerejanya semasa berada di pasukan Manchester United - bermain bola sepak dengan anak-anak muda tempatan dan menyertai mereka untuk pengkajian Alkitab, Huffpost melaporkan. Apabila dia tidak di padang, pemain itu sering menjadi sukarelawan dalam organisasi Kristian seperti L8r club, sebuah persekutuan muda-mudi di Bramhall Baptist Church di United Kingdom. 

"Waktu yang paling indah bagiku ialah sewaktu aku melihat terjadi perubahan pada mereka," dia memberitahu Christianity Today. "Untuk melihat mereka mula mengerti siapa sebenarnya Allah dan Kristus."


Tim Howard menggagalkan lagi satu cubaan gol oleh Belgium

Tetapi pemain bola sepak itu tidak selalunya mengalami hidup yang senang, dan menemukan iman setelah mengalami pergumulan peribadi. 

Pada usia 11 tahun, Howard telah dikenalpasti mengidap sindrom Tourette, suatu kondisi gangguan saraf yang menyebabkan pergerakan dan percakapan yang tidak sengaja dan berulang-ulang. 

Dengan hati yang hancur, dia telah datang kepada neneknya yang Kristian untuk mendapatkan kekuatan. Oleh kerana teladannya, Howard tidak lama kemudian pun menerima Tuhan. 

"Melaluinya, Tuhan telah menunjukkan kasih-Nya untukku juga. Tidak lama dari itu, aku pun mula mengikut jejak langkahnya. Aku inginkan iman dan damai yang sama seperti yang dia miliki, dan itulah yang Tuhan berikan kepadaku" kata ahli sukan itu. 

Tidak lama kemudian Howard mendapati bahawa cabaran hidup dengan gangguan saraf itu telah diimbangi dengan kemahiran semulajadinya dalam bola sepak.

"Menjalani hidup dengan sindrom Tourette tidaklah mudah. Tetapi Tuhan juga telah memberkati aku dengan kebolehan kesukanan. Dia telah melakukan hal-hal yang besar dalam hidupku melalui gabungan dua pemberian ini. Dia telah menunjukkan aku cara-cara untuk menggunakan kedudukanku sebagai ahli sukan profesional untuk menggalakkan orang lain yang mengidap sindrom Tourette."

Walaupun dikenali sebagai selebriti, Howard tetap rendah hati dan berpijak di bumi nyata, menemukan identiti dirinya dalam Kristus dan bukan dalam kebolehan kesukanannya. 

"Hari ini aku diberkati kerana dapat mencapai impian dalam hidup, namun begitu, jika semuanya ini lenyap esok, aku tahu aku masih memiliki damai," begitu kesimpulan pemain itu.

"Itu mungkin kedengaran pelik bagi kebanyakan orang, tetapi itulah damai yang diberikan Kristus. Ianya berdasarkan kasih-Nya, dan ianya melampaui segala pengertian."




(Diterjemah daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "US Goalie Tim Howard Gives 'All Praise To God' For Amazing World Cup Performance" penulisan Leah Marieann Klett bertarikh 3 Julai 2014)