Foto Borneo Today |
KOTA KINABALU: Evangekalisme bukan sebab ramai orang yang
Murtad, khususnya di Sabah. Masalah ini berpunca daripada sikap tidak peduli
dan kelalaian Jabatan Pendaftaran Negara, kata Zainnal Ajamain seorang activis
Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau menjawab persoalan yang di timbulkan oleh Ketua
Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra),
Azril Mohd Amin yang di petik menggesa undang-undang mengharamkan evangekalisme
Kristian di Malaysia ditangani dengan tegas kerana mengancam keharmonian agama
yang serius di negara ini.
Zainnal Ajamain |
Zainnal, yang juga penulis buku “The Queen’s Obligation”,
mengatakan beliau kesal dengan pendapat Azril ini disebabkan kenyataan tersebut
dibuat berdasarkan kepada penyelidikan yang tidak mantap dan tidak menyeluruh.
“Sebagai satu badan yang banyak menyuarakan isu-isu ethnic
Rohingya sudah tentu pusat seperti ini sudah menyelidiki perkara seperti ini
sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan apa apa kenyataan.
“Namun beliau membuat kenyataan seperti ini tanpa mengkaji
punca bilangan orang yang meminta agamanya di tukar khususnya didalam kad
pengenalan mereka,” kata Zainnal, seorang ahli ekonomi.
Tambah beliau: “Ini bukan hasil daripada kerja kerja
evangekalisme. Membuat tuduhan bahawa ini disebabkan kepada kerja-kerja
penyebaran agama Kristian adalah salah dan tidak berasas langsung.
“Azril sebagai warga Malaysia sepatutnya lebih mengetahui
dan prihatin kepada warna warni budaya, agama dan wilayah yang wujud di Negara
ini.”
Jabatan Pendaftaran Negara |
Mengikut Zainnal, sebenarnya peningkatan bilangan orang yang
mahu menukarkan agama mereka di Kad Pengenalan bukanlah di sebabkan oleh
kerja-kerja gereja, namun berpunca dari sikap tidak peduli dan kelalaian
Jabatan Pendaftaran Negara apabila memproses pendaftaran khususnya di Sabah.
Ini disebabkan ramai ibu bapa di Sabah meletakkan perkataan
“bin” dan “binti” didalam borang pendaftaran anak anak mereka.
“Keadaan menjadi parah apabila sistem komputer Jabatan
Pendaftaran Negara pula secara otomatik meletakkan agama Islam sebaik saja ada
perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ dan perkara seperti ini menjadi lebih tenat apabila
kakitangan yang memproses pendaftaran tersebut berasal dari Malaya – tidak
memahami keadaan tempatan,” Zainnal menjelaskan.
Pengeluaran Kad Pengenalan pula bukan siap dengan serta
merta, ia mengambil masa. Ada pula yang bertahun.
Bayangkan ada pemilik Kad Pengenalan ini perlu berjalan dua
hari daripada kampung mereka ke pusat pendaftaran yang berdekatan.
“Jangan fikirkan prasarana di Sabah sama seperti yang
terdapat di Kuala Lumpur – itu hanya janji kosong Tunku Abdul Rahman semasa
pembentukan Malaysia saja. Sudah Malaysia dibentuk janji tinggal janji,”beliau
berkata lagi.
“Perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya
semua yang mengakui mereka warga Malaysia lebih prihatin. Ini termasuk pemimpin
Sabah dan Sarawak yang tidak mengambil berat terhadap perkara seperti ini.”
Zainnal merakamkan setinggi tinggi tahniah kepada Richard
Malanjun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak kerana menjadi penaraju Mahkamah
Bergerak di Sabah yang banyak berjasa untuk menyelesaikan masalah kesilapan
Jabatan Pendaftaran Negara di Sabah.
Berdasarkan kepada perkara diatas, sepatutnya Azril Mohd
Amin menghulur jari sepuluh memohon maaf kepada rakyat Sabah dan Sarawak
khususnya kepada mereka yang beragama Kristian, tambah beliau.
“Saya berharap perkara ini dibuat satu iktibar sebelum membuat
apa-apa kenyataan terhadap Sabah atau Sarawak, orang-orang daripada Malaya
perlu merujuk kepada orang Sabah atau Sarawak terlebih dahulu.
“Ini disebabkan kenyataan yang tidak dibuat melalui kajian
terperinci akan mencemari warna warni Malaysia,” tambah Zainnal.
(Diambil daripada artikel Borneo Today bertajuk, "Evangekalisme Bukan Penyebab Ramai Yang Murtad, Jelas Aktivis MA63" bertarikh 24 Jun 2017)