KUALA LUMPUR, 26 Jun — Polis menemui petunjuk baharu yang
mengaitkan kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dengan satu sindiket
penyeludupan senjata api dan dadah di sempadan Malaysia-Thailand selepas
menahan tiga anggota sindiket itu baru-baru ini.
Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
barang-barang terbabit termasuk gambar dan nombor pendaftaran kenderaan
dipercayai milik Koh ditemukan dalam pemeriksaan polis di rumah seorang
daripada suspek terbabit.
“Kami menemukan nombor pendaftaran kenderaan ST 5515 D dan
beberapa keping gambar lelaki Cina… kami percaya kumpulan ini mempunyai kaitan
dengan kejadian penculikan Pastor Koh,” katanya pada sidang media rumah terbuka
ketua polis negara di Bukit Aman, di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata polis kini menjalankan siasatan
lanjut terhadap suspek berusia antara 30 dan 60 tahun terbabit yang telah
dibawa ke Bukit Aman bagi mengetahui kaitan mereka dengan kehilangan Koh.
Mengulas tangkapan itu, Khalid berkata kesemua mereka
diberkas masing-masing di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Kangsar, Perak dan
Kuantan, Pahang selepas polis menembak mati anggota utama sindiket di Baling,
Kedah pada 17 Jun lalu.
Khalid berkata siasatan awal mendapati kesemua anggota
sindiket terbabit mempunyai kewarganegaraan Malaysia dan Thailand, selain rekod
jenayah lampau berkaitan dadah dan senjata api.
Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kes pastor itu yang
dilaporkan hilang sejak Februari lalu sebagai kes dilarikan berikutan tidak
melibatkan tuntutan wang tebusan.
Pada 17 Jun lepas, seorang penjenayah yang dipercayai aktif
dalam aktiviti penyeludupan senjata api dan dadah dari negara jiran ditembak
mati polis di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, Baling, Kedah.
Dalam kejadian kira-kira 4.25 pagi itu, sepasukan polis dari
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang melakukan rondaan
terserempak dengan kenderaan suspek yang berhenti di tepi jalan.
Suspek berusia 41 tahun itu diarah keluar namun dia
bertindak melepaskan tembakan ke arah polis sebelum meluru keluar dari
kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah polis.
Polis membalas tembakan itu mengakibatkan suspek rebah dan
maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada. — Bernama
(Diambil daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Kes Pastor Hilang, Geng Seludup Senjata Api Terlibat" bertarikh 26 Jun 2017)