Isteri Pastor Raymond Koh, Susanne Liew dilaporkan bertemu Suhakam bagi memohon
bantuan terhadap kes penculikan suaminya sejak 130 hari
lalu.- Foto The Malaysian Insight,
|
KES penculikan Pastor Raymond Koh yang masih belum selesai
dan kehilangan misteri tiga aktivis sejak 2016 kini mendapat perhatian
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), yang akan menyoal polis berhubung
kegagalan siasatan mereka.
Pendakwah Kristian itu diculik di Petaling Jaya, 130 hari
lalu pada 13 Februari, dan keluarganya masih belum menerima nota tebusan yang
menyebabkan penculikan itu semakin misteri.
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata suruhanjaya itu
mahu bertanya kepada polis mengenai suspek yang ditahan bulan lalu berhubung
penculikan pastor berkenaan.
“Peranan kami untuk bertanya dan bertindak atas mana-mana
pelanggaran hak asasi manusia yang diserahkan kepada kami. Kami boleh memanggil
mana-mana pihak berkaitan termasuk polis, seperti diperuntukkan di bawah akta
itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Joseph berkata Suhakam sudah bertemu isteri dan anak Koh
untuk mendengar kisah mereka.
“Kami akan memulakan temu bual selepas Aidilfitri. Kami akan
membuat susulan dengan polis untuk melihat adakah mereka mempunyai petunjuk
pada orang yang ditahan bulan lalu berkaitan kes Koh, dan akan menemu bual
pegawai penyiasat,” katanya.
Tidak tahu siapa suspek itu dan adakah dia sudah dibebaskan
atau masih dalam tahanan kerana tidak ada sepatah pun daripada polis sejak
pengumuman tangkapan itu dibuat oleh ketua polis negara bulan lalu.
Peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999
membenarkan Suhakam menyoal pihak berkuasa dalam kes disyaki berlaku
pelanggaran terhadap hak asasi manusia.
Joseph berkata Suhakam bertindak atas aduan yang diterima
daripada keluarga individu hilang dan Citizen Action Group On Enforced
Disappearance (Caged), yang mewakili gabungan kumpulan masyarakat sivil.
Caged terdiri daripada 8 kumpulan masyarakat sivil yang
menyasarkan untuk mendapatkan bantuan antarabangsa bagi memberi tekanan kepada
Putrajaya supaya memberikan jawatan terhadap kehilangan Koh dan tiga lagi
aktivis.
Ia menganjurkan beberapa acara vigil untuk menghebahkan
kehilangan itu.
Jurucakap bagi pihak keluarga Koh berkata mereka bertemu
Suhakam pada 6 Jun.
“Keluarga itu bekerjasama dengan Suhakam dan mereka berharap
suruhanjaya itu akan bertanya kepada polis mengenai penemuan terbaru dalam kes
itu,” katanya.
Jurucakap itu berkata polis masih belum menghubungi keluarga
dengan maklumat terkini.
Apa yang keluarga tahu ialah apa yang dibaca di media.
Mereka juga tidak mendengar apa-apa mengenai individu yang ditahan bulan lalu.
“Keluarga itu juga sedang menyediakan keterangan mereka yang
akan diserahkan kepada Suhakam,” katanya.
Suhakam juga sedang menyiasat kehilangan Amir Che Mat yang
hilang pada malam 24 November tahun lalu selepas memberitahu anak sulungnya dia
mahu keluar, serta Joshua Hilmy, seorang paderi Melayu dan isterinya Ruth yang
hilang pada 30 November tahun lalu.
Joseph berkata kawan Amri sudah memberikan keterangan mereka
kepada Suhakam.
“Bagi kes Amri, kami sudah melakukan temu bual pusingan
pertama di utara. Kami sudah bercakap dengan keluarga, polis dan pihak berkuasa
agama dan siasatan masih diteruskan.
“Tetapi kami mempunyai makluman yang sedikit mengenai Joshua
dan isterinya Ruth. Itu sebabnya kami merayu kepada mereka yang ada maklumat
supaya tampil,” katanya. – 23 Jun, 2017.