Seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK
Perempuan Methodist di Pulau Pinang menafikan bacaan doa Kristian dibuat ketika
majlis penyampaian anugerah sekolah itu.
Dia yang enggan dinamakan sebaliknya berkata hanya doa
kesyukuran umum (thanksgiving prayer) yang dibacakan dan ia memang sentiasa
dibuat ketika acara tahunan itu.
"Ketika majlis setiap tahun, akan ada doa yang dibuat
untuk kedua-dua penganut Kristian dan Islam tetapi kerana masalah jerebu, acara
(tahun ini) dipendekkan dan hanya doa kesyukuran yang dibaca.
"Tiada niat jahat berhubung perkara itu, dan pastinya
tiada niat untuk menyebarkan agama Kristian kepada sesiapa," katanya.
Dia berkata terpanggil untuk menjelaskan perkara itu selepas
membaca kenyataan Timbalan
Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkan amaran Kementerian
Pendidikan terhadap sekolah itu sebagai 'double standard' dan isu itu telah
dibesar-besarkan.
Menggesa kementerian menyiasat dahulu sebelum membuat
kesimpulan, Ramasamy juga berkata beliau telah menyiasat insiden itu dan
menyokong kenyataan anggota PIBG tersebut.
Pengarah eksekutif sekolah itu Khor Hon Hing enggan mengulas
perkara itu ketika dihubungi, manakala jabatan pendidikan negeri belum memberi
maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin
memberikan amaran keras kepada sekolah itu dan sedang
mempertimbang keperluan untuk mengambil tindakan tata tertib.
Laporan polis juga dibuat berkenaan perkara itu
dan Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sedang
menyiasatnya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Tiada Bacaan Doa Kristian Di Sekolah, Kata Anggota PIBG" yang ditulis oleh Susan Loone bertarikh 30 September 2019)
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Tiada Bacaan Doa Kristian Di Sekolah, Kata Anggota PIBG" yang ditulis oleh Susan Loone bertarikh 30 September 2019)