Sabtu, 12 Oktober 2013

Kenyataan Akhbar Persatuan Gereja-Gereja Sarawak 10 Okt 2013

---------------------------------------------------------------------------------------
(Keratan Kenyataan Akhbar Persatuan Gereja-Gereja Sarawak)

(Berikut ini ialah terjemahan Kenyataan Akhbar oleh Persatuan Gereja-Gereja Sarawak bertarikh 10 Oktober 2013 mengenai isu penggunaan kata "Allah" oleh orang-orang Kristian di Malaysia. Majlis Gereja-Gereja Sabah juga mengeluarkan kenyataan yang serupa pada hari yang sama);

Salam dalam nama Tuhan dan Penyelamat kita yang mulia, Yesus Kristus.

Dalam kita menyeberang dari Tahun Jubli Malaysia kepada 50 tahun yang akan datang, kami mengesahkan semula asas pembentukan negara kita yang tercinta ini. Kami akan berusaha bersama-sama dengan semua rakyat Malaysia dan kerajaan, baik di peringkat persekutuan dan negeri untuk bekerja membangun negara ini yang telah diberikan Tuhan.


Lima puluh tahun yang lalu, pada Hari Malaysia, sebuah negara Malaysia yang agung telah ditubuhkan hasil perkongsian Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Salah satu asas untuk gabungan entiti-entiti negeri ini berkenaan persetujuan mengenai peranan agama dan kebebasan beragama. Ia adalah satu tragedi yang besar bagi Malaysia kerana asas tunggak pembangunan negara ini sedang beransur-ansur dilemahkan dan terhakis.  Sesungguhnya kami mesti mengatakan dengan penuh serius bahawa 50 tahun Malaysia yang akan datang mesti bermula dengan pembinaan semula negara di mana blok pembangunan asas negara ini disusun semula dengan sewajarnya di tengah-tengah kehidupan negara dan masyarakat kita.

Kami ingin ulang bahawa Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963 dengan Islam sebagai agama persekutuan dengan syarat nyata bahawa akan ada kebebasan beragama penuh tanpa sebarang halangan diletakkan di atas agama-agama lain.  Ini boleh dijumpai dalam semua dokumen perlembagaan yang merekodkan kebimbangan, perbincangan, jaminan dan perjanjian yang akhirnya membawa kepada pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia. Oleh itu, Kertas Kerajaan "Malaysia dan Sarawak" yang diterbitkan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Sarawak bertarikh 4 Jan 1962 (juga dinyatakan dalam Kertas North Borneo yang sepadan) menyatakan tanpa ragu-ragu yang berikut:

"Orang ramai tertanya-tanya sama ada hakikat bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu akan menjejaskan kebebasan beragama di Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia. Ini telah dijelaskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan baru-baru ini. Walaupun Malaysia akan mempunyai Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang telah diperbesarkan tidak akan ada halangan diletakkan di atas amalan agama-agama lain. Kebebasan beragama penuh akan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Sarawak pada masa ini tidak mempunyai agama tertubuh dan ia tidak akan diperlukan untuk menerima Islam sebagai agama Negeri ... "

Kami mengakui dan akan terus mendukung Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Ia telah dicatatkan dengan berhati-hati pada dokumen-dokumen perlembagaan bahawa peruntukan ini menjadikan Islam agama bagi Persekutuan bagi maksud rasmi dan tidak akan membelenggu kebebasan agama penganut agama lain. Oleh itu Perkara 3 menyatakan dengan jelas dalam nafas yang sama bahawa semua orang bebas untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai di mana-mana bahagian negara ini.

Oleh itu, kami dapati kami langsung tidak boleh menerima bahawa apa yang telah menjadi amalan biasa Gereja di Sabah dan Sarawak selama beratus-ratus tahun dan sememangnya untuk generasi-generasi Kristian yang sudah ada sebelum idea Malaysia diilhamkan kini diharamkan oleh perintah pentadbiran dan undang-undang. Apa yang kami anggap sebagai pelanggaran paling serius kepada tiang asas berkaitan dengan agama dan kebebasan beragama ialah serangan tidak henti-henti ke atas hak orang Kristian Bumiputera berbahasa Malaysia untuk menggunakan Alkitab dan perkataan "Allah" dan juga atas orang Kristian berbahasa Iban untuk merujuk kepada Allah Pencipta. Dalam hal ini, kami dipaksa untuk mengulangi dan menegaskan:

(a) bahawa perkataan "Allah" adalah sebahagian daripada, dan yang wujud dalam amalan iman Kristian oleh gereja-gereja berbahasa Malaysia di Sabah dan Sarawak dan orang Kristian di dalam dan dari kedua-dua negeri ini;

(b) bahawa gereja-gereja ini mengharapkan supaya jaminan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia akan dihormati dan diberi penghormatan penuh dan

(c) bahawa Perjanjian 10 Perkara oleh Kabinet Persekutuan tentang percetakan, pengimportan dan pengedaran Alkitab di mana perkataan "Allah" adalah sebahagian daripada Kitab Suci Bahasa Malaysia dan juga amalan agama Kristian di gereja-gereja berbahasa Malaysia berlandaskan Alkitab akan dihormati sepenuhnya.

Dua pertiga daripada Gereja di Malaysia terdiri daripada 1.6 juta orang Kristian Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menggunakan bahasa Bahasa Malaysia dalam ibadah mereka di samping bahasa ibunda mereka. Dengan hormat paling tinggi kepada pihak berkuasa yang terlibat, sama ada perundangan, eksekutif atau kehakiman, kami meminta ketaksuban agama, rasisme dan ekstremisme tidak diteruskan atau dibenarkan bernanah dan meracuni negara kita Malaysia. Khususnya berhubung dengan penggunaan perkataan "Allah", mengharamkan penggunaan perkataan "Allah" akan mengubah Bumiputera asli Sabah dan Sarawak menjadi pelanggar undang-undang Negara dengan serta-merta di tanah di mana mereka adalah peribumi asal tanah itu. Ini adalah satu penghinaan, langsung  tidak boleh diterima dan adalah satu pengkhianatan terang-terangan atas Perjanjian Malaysia yang menjamin hak orang bukan Islam di Sarawak dan Sabah untuk menikmati kebebasan beragama. Gereja Bumiputera akan terus menggunakan Alkitab Bahasa Malaysia bersama dengan perkataan “Allah”, kedua-duanya adalah dasar asas semua aspek pengakuan dan amalan iman Kristian.

Tahun ini kita menyambut tahun kelima puluh pembentukan Malaysia. Pada ambang 50 tahun yang akan datang dalam kehidupan negara ini, kami akan terus berusaha dan maju sebagai negara pelangi dengan banyak bahasa, etnik dan kepercayaan. Kami akan berbuat demikian bersama-sama sebagai sebuah negara yang bekerja bersama-sama pada landasan yang sama yang dibangunkan atas 5 prinsip Rukun Negara. Dalam komitmen kami kepada "Kepercayaan kepada Tuhan", marilah ada penerimaan dan penghormatan bersama kepada amalan, kepercayaan, ajaran dan doktrin agama masing-masing. Dalam komitmen kami kepada prinsip berkembar "Kedaulatan Undang-Undang" dan "Keluhuran Perlembagaan", marilah semua rakyat Malaysia dan pentadbir setiap institusi memahami, mematuhi dan mengamalkan dengan integriti maksud sebenar dan niat peruntukan asas Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi Persekutuan.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membina negara tercinta ini untuk kebaikan semua orang supaya semua boleh menikmati hasil kemakmuran dan kebaikan di muka bumi ini yang Allah Maha Kuasa telah berikan kepada kita.

Semoga Allah Maha Kuasa memberkati kita Malaysia dan menjaga kita sebagai sebuah negara, semoga  wajah-Nya bersinar ke atas kita dan memberikan kita kedamaian.

Tuhan berkati Malaysia!


(Tandatangan Most Reverend Datuk Bolly Lapok
di penghujung kenyataan akhbar 10 Okt 2013)


Klik di sini - Kenyataan akhbar asal dalam Bahasa Inggeris