Ahad, 20 Oktober 2013

Keputusan Kalimah Allah Mengikat Ke Atas Semua Rakyat Malaysia, Kata Bekas Peguam Negara Abu Talib

Tan Sri Abu Talib Othman
Semua rakyat Malaysia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu kalimah Allah, begitu kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, yang merasa hairan bahawa Putrajaya percaya keputusan kontroversi itu tidak mempunyai kesan kepada orang-orang Kristian Sabah dan Sarawak.  

Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa Menteri Dalam Negeri boleh melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Katolik, The Herald, tetapi dua menteri Kabinet menegaskan bahawa keputusan itu tidak termasuk Alkitab, Bible Bahasa Malaysia yang digunakan dengan meluas di Sabah dan Sarawak, dan juga penerbitan Kristian yang lain di Malaysia Timur. 

"Ianya mempunyai kesan duluan mengikat (binding precedent) dan semua perlu menghormati keputusan itu, samada anda bersetuju atau tidak," dia memberitahu The Malaysian Insider, dan menambah bahawa ianya mengikat sehingga diketepikan oleh mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan. 

Abu Talib yang pernah menjadi Ketua Penasihat Undang-Undang untuk kerajaan selama 13 tahun dari 1980, mengatakan bahawa tidak boleh ada dua set undang-undang apabila "kita mempunyai satu negara dan satu perlembagaan yang terulung."

"Jadi, tidak boleh ada pengecualian diberikan kepada Sabah dan Sarawak berkenaan isu agama ini berdasarkan wilayah atau negeri," katanya.

Abu Talib mengatakan ini sebagai ulasan kepada menteri-menteri Kabinet, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang telah mengambil pendekatan bahawa orang-orang Kristian di negeri-negeri Borneo tidak dikesani oleh keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lepas dan boleh menggunakan kalimah itu dalam amalan keagamaan mereka. 

Persatuan Peguam Muslim Malaysia juga telah memberi ulasan dalam isu ini, dengan mengatakan bahawa larangan itu hanya dikenakan ke atas bahagian Bahasa Malaysia majalah Herald. 

Abu Talib mengatakan bahawa isu teras yang diputuskan adalah berkenaan samada orang-orang perseorangan dan institusi-institusi selain Muslim boleh menggunakan kalimah itu.

"Mahkamah Rayuan telah membuat dapatan bahawa kalimah Allah bukanlah bahagian penting dalam kepercayaan dan pengamalan Kekristianan dan, secara tambahan dari itu, kalimah itu eksklusif untuk Islam dan orang-orang Muslim," katanya. 

Istana Kehakiman di Kuala Lumpur

Abu Talib yang pernah menjadi pengerusi Suhakam setelah bersara sebagai Peguam Negara, berkata memandangkan sensitiviti isu ini, Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Arifin Zakaria, mesti memberi keutamaan kepada kes ini yang menjadi kepentingan umum.

"Jika tidak ditangani dengan betul, isu panas ini akan membangkitkan lebih banyak kontroversi lagi sebab kita tinggal dalam masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama," katanya.

Dia berkata perkara ini mestilah dibawa kepada kesudahan terakhirnya dan sekali isu itu telah diputuskan, "semua orang mesti melupakan yang lama dan meneruskan perjalanan ke hadapan."

"Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kebebasan agama-agama lain mungkin akan dikaji dan diteliti jika hujah-hujah dari rayuan itu disebut di mahkamah tertinggi itu. 

"Akhirnya ianya semua berkenaan kebebasan orang-orang bukan Muslim untuk mengamalkan kepercayaan mereka dan sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan mengikat semua orang, tidak mengira wilayah atau negeri," katanya.

Abu Talib berkata terdapat komen-komen dan ulasan-ulasan yang tidak bertanggungjawab berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, yang di antaranya hampir sudah menghina mahkamah. 

"Anda boleh mengkritik keputusan itu tetapi ada batasannya. Pada akhirnya, kebebasan dan integriti mahkamah harus dihormati dan dipertahankan," tambahnya.

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Allah Decision Binding on All Malaysians, Says Retired AG Abu Talib" penulisan V. Anbalagan bertarikh 19 Oktober 2013)