Sabtu, 30 November 2013

Biskop Sabah Mengingatkan Datuk Seri Najib Mengenai Jaminan Beliau Untuk Menolak Fahaman Pelampau

Datuk Seri Najib berucap di Sidang Umum Bangsa-
Bangsa Bersatu di New York pada September 2010
mengenai "Pergerakan Global utk Kesederhanaan" 
Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Biskop Datuk Dr. Thomas Tsen hari ini menghantarkan satu mesej kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dengan mengatakan bahawa sementara beliau "memberi inspirasi kepada orang di sekeliling dunia untuk melawan faham pelampau", di negaranya sendiri, rakyat Malaysia sedang mengalami "tindakan keterlaluan terhadap gereja".

Sambil menyeru kepada Datuk Seri Najib untuk mengekang fahaman pelampau dengan segera, Tsen mendakwa, "ketidaktoleransi terhadap agama telah mencapai tahap yang berbahaya."

Tsen seterusnya mengingatkan Perdana Menteri bahawa apabila beliau membangkitkan idea untuk membina satu "Pergerakan Global untuk Kesederhanaan", dalam ucapan sulungnya di sesi ke-65 Sidang Umum Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada September 2010, Datuk Seri Najib telah menyeru kepada penganut-penganut semua agama untuk memenangkan kembali agenda untuk keamanan dan pragmatisme, dan untuk meminggirkan golongan pelampau.

"Oleh itu, kami menyeru kepada beliau untuk memulihkan jalan tengah untuk toleransi agama dan untuk menghormati hak-hak berperlembagaan orang-orang bukan Muslim untuk kebebasan beragama dan untuk mentadbirkan urusan mereka sendiri," kata Tsen dalam satu kenyataan.

Dia juga mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau telah mengulangi seruan yang sama itu dua tahun kemudian pada Persidangan Antarabangsa yang sulung mengenai "Pergerakan Global untuk Kesederhanaan" yang dianjurkan oleh siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Kami rasa terdorong oleh jaminannya. Dunia mengambil perhatian mesej Malaysia untuk mengambil kembali jalan tengah daripada pihak pelampau."

Dia juga menyatakan bahawa baru bulan lepas, Perdana Menteri Britain, David Cameron telah memuji Datuk Seri Najib yang telah menyatukan pihak-pihak yang sederhana dalam perjuangan menentang fahaman pelampau di Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-9 di London.

"Walau bagaimanapun, di negara sendiri, kami mengalami tindakan keterlaluan."

Biskop Datuk Dr.
Thomas Tsen
Tsen menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang telah menyokong hak Kementrian Dalam Negeri untuk melarang Gereja Katolik daripada menggunakan kata Allah dalam majalah mingguannya, Herald, sebagai satu contoh tindakan keterlaluan terhadap gereja. 

Menjelaskan bahawa keputusan itu "sungguh tidak wajar, tidak rasional, dan menjengkelkan", dia mengatakan bahawa dia berharap Mahkamah Persekutuan, di mana Gereja Katolik telah mengemukakan rayuan, akan sekarang membuat tindakan yang betul. 

Tsen juga mengatakan bahawa satu penjelasan yang segera diperlukan atas kenyataan setiausaha Majlis Di Raja Selangor, Hanafisah Jais, bahawa penggunaan kata Allah dalam Alkitab dan dalam edisi Bahasa Malaysia majalah Herald tidak dibenarkan di Selangor.

Tidak ada pihak berkuasa negeri atau persekutuan, katanya, memiliki kuasa atau hak ke atas kuasa keagamaan eksklusif yang dimiliki gereja.

"Suatu penjelasan segera diperlukan sebab ianya menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan berperlembagaan untuk kebebasan beragama. 

"Perlu diingat bahawa penggunaan Alkitab dan kata Allah adalah perkara di bawah perlembagaan dan undang-undang persekutuan sementara Islam adalah urusan negeri di bawah sultan masing-masing. 

"Undang-undang negeri dan perintah-perintah yang diwartakan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing hanya berkuatkuasa atas orang-orang Muslim di negeri itu, dan tidak berkuasa atas undang-undang persekutuan ataupun ke atas orang-orang bukan Muslim."

Tsen memberikan jaminan bahawa persatuan itu akan dengan sungguh-sungguh menyertai usaha Perdana Menteri untuk membina Pergerakan Global untuk Kesederhanaan dan menolak fahaman pelampau agama.

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Sabah Bishop Reminds Najib of His Assurance to Shun Extremism" penulisan Desmond Davidson bertarikh 26 November 2013)