Khamis, 10 April 2014

7 Kesilapan Terbesar Dalam Filem "Noah"

Filem "Noah" yang telah ditayangkan di pawagam sejak Mac 2014

Oleh J. Lee Grady:

Aku ingin menyukai filem baru ini sehinggalah aku menyedari bahawa ianya tidak berdasarkan Alkitab. 

Sudah lebih seminggu sejak aku menonton filem baru Noah, dan aku masih menggaru kepala - dan membaca Kejadian untuk menjelaskan fikiranku. Tidak sejak The Last Temptation of Christ pada 1988, Hollywood telah dengan begitu tidak hormat sekali mengendalikan sebuah kisah Alkitab. Sayangnya aku tidak dapat kembalikan tiketku di Cineplex. 

Aku memang berharap filem Noah itu bagus. Baik juga masyarakat mendapat peringatan yang jelas bahawa Tuhan telah membinasakan bumi beribu tahun lalu dengan air bah. Tetapi aku tersalah anggap bahawa Hollywood akan membawa kisah ini dengan betul. Walaupun memiliki special effects yang mengkagumkan, barisan pelakon yang berbakat, dan replika skala penuh bahtera Nuh, filem itu berbelit-belit kisahnya, pelik dan menghujat Tuhan.

Sebenarnya kita tidak harus hairan. Pengarah Noah, Darren Aronofsky, memberitahu The New Yorker bahawa filemnya ialah "filem alkitabiah yang paling tidak alkitabiah pernah dibuat." Matlamatnya memang dari dulu untuk mencipta versi yang berbeza daripada kisah Kejadian itu - yang lebih seperti ajaran sesat purba gnostik daripada yang ada dalam Alkitab. Dan apabila Paramount Pictures memberi tekanan kepada Aronofsky untuk menyunting semula filem itu untuk menyenangkan orang-orang Kristian injili, dia enggan melakukannya.

Secara lebih positif, ribuan orang di sekeliling dunia sedang memperkatakan mengenai sebuah kisah Alkitab yang mereka dahulunya kurang kenal. Jika anda terlibat dalam perbualan mengenai Noah, aku berharap anda akan membantu mereka untuk memahami perbezaan di antara kisah yang sebenarnya dan versi pelik Hollywood ini. Berikut adalah tujuh kesilapan terbesar dalam filem baru ini:

1. Nuh tidaklah jauh terpisah daripada Tuhan. Dalam filem Aronofsky, Nuh (yang dilakonkan oleh Russell Crowe) ialah jiwa yang tersiksa yang dapat merasakan melalui suatu mimpi bahawa "Pencipta" yang penuh misteri (Dia tidak disebut sebagai Tuhan) merancang untuk membinasakan dunia dengan air bah. Tetapi dalam Kejadian 6-8, sebahagian besar kisah itu melibatkan komunikasi langsung dari Tuhan kepada Nuh (lihat 6:13; 7:1; 8:15). Nuh merupakan sahabat karib Tuhan, dan dia memahami maksud Tuhan.

2. Nuh tidak meminum teh yang mengkhayalkan untuk mendengar pesanan Tuhan. Dalam filem ini, Nuh mengunjungi datuknya, Methuselah (Anthony Hopkins), yang menolongnya memahami bahawa suatu bencana global akan melanda. Kejadian 6 mengatakan bahawa Tuhan menyatakan rancangan-Nya secara langsung kepada Nuh, tapi dalam versi Aronofsky, Methuselah memberikan Nuh teh hitam (atau adakah itu kopi?) untuk menolongnya mendengar suara Tuhan. Tak ada seorang pun dalam Alkitab yang pernah mengambil dadah atau minuman ajaib untuk mendengar daripada Tuhan, dan Nuh pasti sekali tidak pernah mengunjungi bomoh.

3. Anak-anak lelaki Nuh bukan tidak disertai isteri mereka dalam bahtera. Dalam versi Aronofsky yang terlalu imaginatif, hanya satu daripada anak lelaki Nuh, iaitu Shem yang memiliki isteri (dilakonkan oleh Emma Watson) - dan dia akhirnya mengandung dengan anak kembar perempuan, yang boleh kita anggap akhirnya akan menjadi isteri kepada dua lagi anak lelaki Nuh. Hah? Dalam kisah Kejadian, Tuhan memberitahu Nuh: "Engkau akan masuk ke dalam bahtera itu: engkau bersama-sama dengan anak-anakmu dan isterimu dan isteri anak-anakmu" (Kejadian 6:18).

4. Tidak ada orang yang mencuri masuk dan menyembunyikan diri dalam bahtera. Aronofsky telah menambahkan cerita yang tidak masuk akal dalam filem Noah dengan mengadakan hulubalang jahat Tubal-Cain (Ray Winstone) menyelusup ke dalam bahtera dan bersembunyi dalam gelap berdekatan beruang dan kambing yang sedang tidur. Dia kemudiannya cuba membunuh Nuh dengan bantuan anak lelaki Nuh, Ham - yang marah dengan bapanya kerana tidak mencarikan isteri untuknya sebelum hujan turun.

5. Nuh tidak mendapat pertolongan daripada mahkluk batu gergasi ketika dia membina bahteranya. Aronofsky telah meminjam konsep pelik ini daripada ahli-ahli mistik purba Yahudi yang menyangka bahawa malaikat-malaikat yang telah diusir Tuhan keluar dari syurga selepas Kejadian, telah dimasukkan ke dalam batu dan mereka pergi ke sana sini menolong manusia. Dalam Noah, gergasi-gergasi itu, yang dipanggil "watchers," membelah pokok untuk membina bahtera yang besar itu dan mempertahankannya daripada pasukan musuh yang menyerang. Semua ini ditunjukkan dengan seni digital yang hebat, tetapi Alkitab mengatakan bahawa Tuhan telah melemparkan malaikat-malaikat yang engkar itu ke neraka (2 Pet 2:4), bukan ke bumi, dan tentu sekali mereka tidak dihantar ke sini untuk membantu manusia.

6. Nuh bukan pembunuh gila yang nekad menghalang keluarganya dari melahirkan anak. Separuh kedua filem Noah adalah bahagian yang paling teruk. Selepas bah bermula, orang yang telah dipakai Tuhan untuk menyelamatkan semua haiwan dan manusia daripada kebinasaan, membuat keputusan bahawa Tuhan tidak menginginkan kaum manusia terus hidup. Dia menjadi gila dan mengancam untuk membunuh bayi menantu perempuannya semasa dia bersalin! Nuh yang alkitabiah tidak pernah akan menghalang penerusan zuriatnya. Nuh memahami bahawa dia dan keluarganya telah dipilih untuk memenuhi semula bumi (Kejadian 9:1).

7. Keturunan Adam tidak pernah mengambil kulit ular sebagai pusaka keluarga. Noah menjadi semakin menyeramkan setiap kali seorang watak mengeluarkan azimat kulit ular itu. Babak-babak itu membuktikan bahawa Aronofsky bukan begitu mendasarkan filemnya pada kisah alkitabiah mengenai bah itu, tetapi lebih kepada penulisan-penulisan gnostik. Berkurun dulu, sebilangan ahli-ahli mistik Yahudi mengajar bahawa Tuhan dalam kitab Kejadian adalah pihak yang tewas, dan Iblis adalah tuhan yang lebih baik. Implikasi halusnya ialah Nuh memerlukan pertolongan Iblis, bukannya Tuhan.

Pada penghujung kisah bah dalam Kejadian, Nuh mengumpulkan keluarganya di sekeliling mezbah untuk beribadah, dan mereka memeterai janji dengan Tuhan. Tetapi dalam filem ini, sebelum pelangi muncul, Nuh membalut lengannya dengan kulit ular, dan memberkati keluarga dengannya. Dengan cara yang sama, filem ini dibungkusi oleh kulit ular - dan oleh sebab itulah aku akan lebih berhati-hati pada masa akan datang apabila studio Hollywood mengajak orang-orang Kristian mendapatkan tiket untuk filem besar "alkitabiah" mereka.

(Diterjemah daripada artikel bertajuk "7 of the Worst Mistakes in the Movie 'Noah'" penulisan J. Lee Grady bertarikh 9 April 2014)