Isnin, 12 Mei 2014

Jesus Lebih Popular Daripada Chairman Mao Di China?

Buku "Quotations of Chairman Mao" di negara Komunis China

Hasil daripada kajian online kelihatan menunjukkan bahawa Yesus dan agama Kristian lebih popular daripada Chairman Mao dan Komunisme, di versi Twitter China.

Para penyelidik di Tea Leaf Nation - sebuah majalah online yang mengkaji trend media di negara itu - baru-baru ini mengimbas platform media sosial Weibo untuk istilah-istilah Kristian dan mendapati istilah-istilah itu amat popular, meskipun terdapat kawalan ketat negara itu ke atas agama, laman Christian Today melaporkan.

Kajian itu mendapati bahawa istilah "Bible" telah mendapat lebih 17 juta sebutan, tetapi buku "Quotations of Chairman Mao" (Koleksi Kata-Kata Chairman Mao) yang dikenali di negara-negara Barat sebagai "The Little Red Book" cuma mendapat 60,000 sebutan. 

Buku "Quotations" mengandungi petikan-petikan daripada ucapan dan penulisan Mao Zedong, bekas pemimpin ulung Parti Komunis di China. Buku itu - yang telah diedarkan secara meluas di China semasa Revolusi Budaya - dilaporkan telah mencatit jualan melebihi 1 billion naskah.

Lebih 18 juta mesej telah menyebut Jesus, sementara Presiden China Xi Jinping telah disebut di Weibo sebanyak lebih kurang 4 juta kali. 

"God" telah disebut sebanyak 165 juta kali di Weibo. Itu lebih daripada 18 kali ganda jumlah carian untuk "Mao Zedong". Istilah "Christian Congregation" (Jemaat Kristian) telah disebut lebih daripada 41.8 juta kali, tetapi "Communist Party" cuma mendapat 5.3 juta kali sebutan.

Berkenaan cuti perayaan, "Christmas" mendapat hampir 150 juta sebutan, sementara Hari Kebangsaan China hanya mendapat 50 juta sebutan. 

Kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan membuat rungutan bahawa walaupun kerajaan China menyatakan mereka membenarkan kebebasan beragama, ianya melaksanakan pengawalan ketat, terutama ke atas penganut-penganut Kristian, Islam dan Buddha Tibet.

Para penyelidik Tea Leaf Nation mendapati bahawa ribuan pihak penapis Kerajaan China telah meletakkan sekatan ke atas sebilangan carian. Apabila mereka ingin mencari istilah "underground churches" (gereja bawah tanah) di rangkaian itu, mereka menerima mesej di skrin menyatakan bahawa "hasil tidak dapat ditunjukkan oleh kerana undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan".

Laman Tea Leaf merumuskan bahawa merebaknya carian yang bertemakan Kristian adalah disebabkan minat yang menurun terhadap ideologi Komunis, dan pertumbuhan pesat agama itu di China dalam beberapa dekad yang lepas.

Terdapat kira-kira 1.35 billion jumlah penduduk di China. Angka rasmi Kerajaan China menunjukkan jumlah orang Kristian di China adalah sebanyak 25 juta, tetapi pemerhati-pemerhati luar yang memiliki pengetahuan mengenai keadaan gereja bawah tanah mengatakan bahawa jumlah itu lebih dekat kepada antara 60 hingga 100 juta, menurut laman Christian Today.

(Diterjemah daripada artikel laman Fox News bertajuk "Jesus May Be More Popular Than Mao In China" bertarikh 11 April 2014)