Selasa, 24 Jun 2014

Wanita Kristian Sudan Yang Dihukum Mati Kerana Imannya, Telah Dibebaskan Berikutan Desakan Antarabangsa

Foto perkahwinan Daniel Wani dan Meriam Yahya

Dalam satu contoh ulung bahawa bersuara itu membawa kesan: wanita Kristian Sudan, Meriam Yahya Ibrahim akhirnya telah diperintah untuk dilepaskan dari penjara, mengikut laporan The Independent

Kes itu telah menimbulkan kemarahan di peringkat antarabangsa, dan seruan bersama daripada orang ramai dan pihak berkuasa di sekeliling dunia, apabila ibu berusia 27 tahun yang mempunyai seorang anak dan sedang mengandung itu didakwa "murtad" dari Islam dan dipenjarakan - bersama dengan anak lelakinya yang masih kecil - meskipun dia sedang mengandung lapan bulan.

Meriam diberi peluang untuk meninggalkan Kekristianan tetapi dia enggan, menegaskan bahawa dia telah dibesarkan sebagai orang Kristian dan tidak pernah menjadi Muslim. 

Meriam yang diikat dengan rantai berat, melahirkan seorang anak perempuan di penjara, sementara suaminya Daniel Wani - seorang Kristian dan warga Amerika Syarikat - berusaha membebaskannya daripada hukuman mati yang telah dijatuhkan ke atasnya. 

Meriam dan kedua-dua anaknya

SUNA, agensi berita Sudan hari ini melaporkan, "Mahkamah Rayuan memberi perintah agar Meriam Yahya dibebaskan dan membatalkan keputusan mahkamah (sebelumnya)."

Amnesty International melaporkan bahawa mereka telah menerima lebih daripada 980,000 tandatangan dalam satu petisyen online yang mengecam pemenjaraan itu, dan yang mendesak agar Meriam dibebaskan. 

Menurut Daily Mail, adik Daniel, Michael - yang tinggal di New Hampshire - mengatakan semasa mendengar laporan itu, "Jika ini benar, ianya berita yang sungguh baik." 

Dia menambah lagi bahawa Daniel kemungkinan ingin membawa Meriam dan anak-anak mereka ke Amerika "dengan secepat mungkin."

Terdapat laporan bahawa adik tiri Meriam telah bersumpah untuk membunuhnya jika hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah tidak dilaksanakan. 

(Diterjemah daripada artikel Breaking Christian News bertajuk "Breaking: Sudanese Christian Woman Sentenced To Death For Her Faith Is Freed Following World Wide Outcry" penulisan Aimee Herd bertarikh 23 Jun 2014)

#UPDATE 1 (24 JUN 2014): Selepas dibebaskan hanya 24 jam, Meriam dan anak-anaknya ditahan semula di lapangan terbang Khartoum bersama suaminya Daniel Wani sebelum sempat meninggalkan Sudan. Terus doakan agar Meriam dan keluarganya dibebaskan semula.

#UPDATE 2 (25 JUN 2014): Meriam kini disiasat atas tuduhan baru memalsukan dokumen perjalanan selepas ditahan di lapangan terbang Khartoum. Dia telah dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tidak dibenarkan meninggalkan Sudan. Kedutaan Amerika Syarikat di Khartoum sedang berhubung dengan keluarga Meriam dan kerajaan Sudan dalam usaha menyelesaikan perkara ini.