Rev. Jerry Dusing |
Mahkamah Rayuan Putrajaya hari
ini menetapkan 1 Oktober bagi mendengar rayuan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB)
berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan gereja itu mendapatkan
prosiding semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri
berhubung rampasan buku Kristian mengandungi kalimah Allah.
Timbalan Pendaftar Nurul Izwan
Ahmad Zubir menetapkan tarikh pendengaran itu apabila perkara itu dikemukakan
untuk pengurusan kes di hadapan beliau dalam kamar hari ini.
Peguam Bobby Chew mewakili gereja
SIB dan Rev Jerry W A Dusing alias Jerry W Patel manakala Kementerian Dalam
Negeri dan kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan.
Pada 5 Mei tahun ini, Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan gereja itu mendapatkan semakan kehakiman
bagi mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri merampas buku-buku berkenaan.
Buku terbabit yang dibawa dari
Surabaya, Indonesia dirampas di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang
pada 15 Ogos, 2007.
Bagaimanapun, buku-buku itu
dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Januari, 2008.
Pada 10 Disember, 2007, SIB dan
Dusing memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.
Mereka memohon perisytiharan
bahawa mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah
Allah dalam semua penerbitan dan amalan agama mereka, bukan sahaja di gereja.
Semasa menolak permohonan gereja
itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi
terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Kementerian Dalam Negeri
lawan gereja Roman Katolik berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam
penerbitan mingguannya Herald. – Bernama, 3 Julai, 2014.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Rayuan Gereja Sidang Injil Borneo Didengar 1 Oktober" bertarikh 3 Julai 2014)