Rabu, 27 Ogos 2014

Peguam Baru Darren Tan Pernah Merengkuk Di Penjara 10 Tahun

Darren Tan bersama ibubapanya (Foto: The Sunday Times)

Darren Tan, anak tunggal dalam keluarga, telah mengecewakan hati ibunya apabila dia dipenjarakan selama 10 tahun untuk kesalahan dadah dan aktiviti geng. Dia juga telah menerima sebatan 19 rotan. Artikel di laman Facebook Straits Times mengenai perubahan haluannya yang mengkagumkan, dari mendapat keputusan cemerlang dalam A Levels semasa di penjara, sehingga dipanggil untuk diterima ke Majlis Peguam sebagai peguam baru, telah menjadi viral pada hujung minggu lepas. Ianya mencapai lebih daripada sejuta orang, mendapat lebih 143,500 klik ke artikel dan 37,500 likes, komen dan shares. Berikut terjemahan artikel tersebut;

Darren Tan, 35 tahun, akhirnya menjadi peguam yang sepenuhnya. 

Dia mencapai mercu tanda itu semalam apabila dia diterima masuk Majlis Peguam dalam satu upacara beramai-ramai di Nanyang Technological University. 

Itu jauh sekali daripada kehidupan awalnya yang tidak menentu apabila dadah dan aktiviti geng telah membawanya kepada lebih 10 tahun di penjara dan sebatan 19 rotan. 

"Inilah hasil daripada segala usahaku sejak 10 tahun yang lepas," dia memberitahu Sunday Times. "Ianya umpama tersedar dari mimpi dan mendapati bahawa mimpi itu telah menjadi realiti."

Penglibatannya dalam jenayah bermula pada usia 14 tahun, dan dia keluar masuk penjara untuk kesalahan-kesalahan seperti merompak dan mengedar dadah. 

Sehinggalah usianya 25 tahun dan dipenjarakan untuk kali ketiganya, barulah terjadi transformasi dalam hidupnya. Dia telah menemukan Tuhan, dan membuat keputusan mengubah dirinya. 

Dia menyambung kembali persekolahannya dengan bantuan program penjara, mempelajari kembali Bahasa Inggeris yang telah dia lupai, dan mendapat cemerlang dalam A Levels, mendapat 4A dan 1B, termasuk A1 dalam Kertas Am. Dia masih di penjara apabila dia memohon untuk memasuki jurusan undang-undang di universiti, dan menjadi orang pertama dengan masa silam jenayah untuk diterima masuk ke jurusan undang-undang National University of Singapore.


Keratan Akhbar Straits Times bertarikh 3 Mac 2013 mengenai Darren, bekas banduan
yang diterima mengikuti jurusan undang-undang National University of Singapore

Dia memohon untuk jurusan undang-undang semasa di penjara, meskipun semua orang menasihatinya yang sebaliknya agar dia tidak kecewa. "Imanku telah banyak memberiku kekuatan," katanya, seorang Kristian - Straits Times, 3 Mac 2013

Kini, ada sudah pekerjaan yang menantinya. Dia bekerja dengan begitu baik semasa tempoh enam bulan latihan praktikal di TMSP Law Corporation sehingga syarikat itu telah memberikannya jawatan tetap sebagai peguam perunding kes saman komersial.

Pengarah urusan bersama syarikat itu, Encik Thio Shen Yi, berkata sementara dia telah mengambil risiko dengan mengambil Encik Tan, ianya hanyalah risiko untuk enam bulan.

"Dia masih perlu membuktikan dirinya. Dan dia telah lakukan itu," kata Encik Thio. "Dia ikhlas, dia pintar, memiliki kematangan dan EQ. Anda dapat melihat transformasinya melalui tindakannya, dan itu sangat serasi dengan kami sebab kami ialah syarikat yang komited menyumbang balik kepada masyarakat.

"Jika saya pernah terfikir ada sebarang risiko nama baik syarikat diburukkan, saya tentu tidak akan mengambilnya."

Darren Tan
Kata Darren, "Inilah pekerjaan pertamaku yang sebenar. Aku suka melakukan apa yang aku lakukan dan dan adalah bonus aku dibayar upah untuknya. Tiap-tiap hari aku mempelajari sesuatu yang baru."

Dia menghabiskan berjam-jam di tempat kerja, tetapi berusaha balik awal pada hari Isnin. Dia dan bekas banduan, Kim Whye Kee, seorang pelukis, telah memulakan satu usaha penjangkauan. Beacon of Life, yang berpusat di Taman Jurong, untuk membantu budak-budak dan pemuda-pemuda yang terdedah kepada anasir jahat. Pada sebelah malam Isnin dan Sabtu, mereka akan bermain bola sepak.

Darren telah makan malam bersama Putera Edward, Britain di sebuah istana kurun ke-16 awal tahun ini. apabila dia dijemput ke sana untuk berucap mengenai Anugerah Kecemerlangan Kaum Muda Kebangsaan yang telah diterimanya, dan bagaimana program-program anugerah itu dapat membantu orang lain.

Darren ialah anak tunggal dalam keluarganya, dia kini sudah memiliki teman wanita dan tinggal bersama dengan ibubapanya di rumah pangsa empat bilik di Jurong West.

Dengan pendapatan yang tetap, dia akhirnya dapat membantu dalam perbelanjaan keluarga dan telah berjanji untuk membawa ibubapanya dan bapa angkatnya pergi melancong.





Ayahnya, Encik Tan Chon Kiat, 67 tahun, yang tidak bekerja, dan ibunya, Puan Ong Ai Hock, 62 tahun, seorang pekerja kilang, merasa sungguh berbangga.

Kata Puan Ong, "Saya tidak fikir bahawa dia akan mendapat peluang-peluang ini tetapi dia telah mengubah masa depannya sendiri. Saya dulunya selalu risau sangat mengenainya, tetapi sekarang saya sangat gembira."

"Ini menunjukkan bahawa jika anda bekerja kuat, masa lepas tidak berulang lagi."

Memandang ke hadapan, anaknya berkata, "Aku mempunyai slogan sendiri - 'Jadilah baik dalam apa yang kulakukan, Buatlah yang baik dalam apa yang kulakukan.' Dulu aku menghisap dadah sebab ada kekosongan dalam hati dan hidupku. Kini, aku ada tarikan baru yang lain dari dadah. Hidupku adalah pengganti yang cukup baik."

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Straits Times bertajuk "New Lawyer Darren Tan Once Spent 10 Years In Jail" penulisan Chang Ai-Lien bertarikh 25 Ogos 2014)