Selepas tiga hari acara doa "Mamangkis" sepanjang
cuti Hari Malaysia, kumpulan-kumpulan Kristian di Sabah bersatu dalam menyeru
kerajaan untuk mengembalikan prinsip tadbir urus adil, saksama dan berdemokrasi
seperti yang dibayangkan oleh mereka yang merangka Perlembagaan Persekutuan dan
oleh bapa-bapa pengasas Persekutuan Malaysia.
Dalam satu deklarasi bersama 30 perkara, mereka mengambil
perhatian bahawa percambahan undang-undang menindas yang bercanggah dengan
kebebasan asasi sivil kita secara berterusan, mengisytiharkan bahawa badan
perundangan, eksekutif dan kehakiman kerajaan perlu mengambil langkah-langkah
segera untuk menghapuskan undang-undang dan pendakwaan terpilih sebegini.
"Mamangkis" adalah laungan perang lama yang
digunakan oleh nenek moyang suku kaum Kadazan dan Dusun untuk menyeru
pahlawan-pahlawan pergi berperang. Laungan "mamangkis" terkini
kedengaran di bangunan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun di Penampang, di
pinggir Kota Kinabalu. Ia adalah salah satu daripada siri yang dianjurkan oleh
Perdaduan Anak Negeri (PAN), sejak Disember tahun lepas yang menjadikan
"mamangkis" satu seruan kebangkitan penganut Kristian.
Perisytiharan itu telah ditandatangani bersama pada penutup
mesyuarat itu pada 17 September oleh Bishop Datuk Dr Thomas Tsen, presiden
Majlis Gereja Sabah dan Datuk Jerry Dusing, pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal
Sabah (COSA). Penandatangan yang lain termasuklah pengerusi PAN, Pastor Ester Golingi,
dan pemimpin-pemimpin Fellowship Kota Kinabalu – Pastor Steven Choon dan Pastor
Daniel Chin.
Pemimpin-pemimpin ini mengisytiharkan bahawa walaupun Islam
adalah agama rasmi persekutuan, agama-agama lain boleh diamalkan dan kaum lain
hendaklah mempunyai hak perlembagaan dan kebebasan untuk menganut, mengamalkan,
menyebar dan menguruskan agama masing-masing tanpa gangguan dan campur tangan
kerajaan.
"Perlembagaan memperuntukkan undang-undang bagi
pentadbiran dan undang-undang Islam, dan ia tidak boleh digunakan ke atas
orang-orang bukan Islam, ataupun membuatkan orang bukan Islam tertakluk kepada
undang-undang Syariah.
"Kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan dan dinyatakan dalam perkara pertama 18 dan 20 perkara-perkara di
Sarawak dan Sabah masing-masingnya untuk menjadi sebahagian daripada Perjanjian
Malaysia, tetapi badan perundangan, eksekutif dan kehakiman telah berterusan
dan dengan sengaja mengenepikan hak-hak penganut agama-agama lain dengan
melaksanakan undang-undang dan keputusan yang menyekat kebebasan itu,"
jelas mereka.
Mereka juga menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah
'Allah' oleh orang Kristian Bumiputera "untuk merujuk kepada Tuhan
sebenar" dan larangan terhadap penggunaan Alkitab, bible Bahasa Melayu,
sejak awal 1980-an adalah contoh tindakan melanggar hak-hak asasi manusia.
Pada pendapat mereka, peringkat tertinggi badan kehakiman
semakin cenderung untuk mempertahankan ketuanan bangsa dan agama, daripada
memenuhi sumpah jawatan mereka untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan.
"Badan kehakiman mesti bertindak dengan keadilan dan
kebenaran supaya rakyat biasa boleh minum dari mata air keadilan tanpa rasa
takut atau pilih kasih," tambah perisytiharan itu.
Mereka berkata hak untuk menentukan teologi dan liturgi,
termasuk terjemahan kitab-kitab suci agama bukan Islam, adalah dimiliki secara
eksklusif oleh pihak berkuasa gereja masing-masing. Oleh itu, kerajaan termasuk
agensi-agensi Islam dan sultan-sultan sebagai ketua agama Islam di negeri
mereka masing-masing tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa eksklusif
agama lain.
Sambil berkata bahawa krisis penggunaan kalimah 'Allah' dan
Alkitab masih tidak dapat diselesaikan selepas lebih 30 tahun, para pemimpin
Sabah Kristian memperakui bahawa ahli-ahli Gereja di Malaysia yang bertutur
Bahasa Melayu tiada pilihan lain, selain terus menggunakan perkataan ini dan
Alkitab dengan cara yang telah dilakukan oleh nenek moyang mereka.
"Terdapat juga elemen dakwah pelampau yang menjalankan
pengislaman agresif secara rahsia dan terang-terangan untuk mengislamkan
Bumiputera Kristian melalui ugutan, penipuan, atau dorongan, terutamanya
mensasarkan penduduk-penduduk kampung terpencil dan miskin, dan juga
pengislaman pelajar-pelajar sekolah yang tinggal di asrama-asrama kerajaan.
"Di sebalik penafian Jabatan Pendaftaran Negara, ia
juga mengklasifikasikan orang asal yang beragama Kristian dengan 'bin' atau
'binti' dalam nama mereka sebagai orang Islam dalam MyKad mereka, tanpa
pengetahuan atau persetujuan mereka."
Mereka berkata "amalan yang menindas dan menyalahi
undang-undang" sebegini perlu dihentikan dengan serta-merta.
Dalam sebuah lagi perkara dalam perisytiharan itu, mereka
menyokong hak-hak rakan-rakan mereka, Orang Asli Semenanjung, yang menurut
mereka telah dikecualikan daripada hak-hak istimewa dan keistimewaan yang
diberikan kepada orang-orang peribumi.
Perisytiharan itu merasakan bahawa sudah tiba masanya
selepas pengecualian yang tidak adil selama setengah abad ini, hak-hak
masyarakat peribumi Orang Asal diberi pengiktirafan dengan segera.
Mereka turut menyentuh mengenai keadaan berkaitan dengan
pendatang-pendatang haram di Sabah, menekankan bahawa sebilangan besar daripada
mereka telah mendapat kewarganegaraan melalui cara yang meragukan, dan kemudian
didaftarkan sebagai pengundi, melemahkan pilihan raya yang bebas, adil dan
berdemokrasi, dan pelakunya mesti menerima tindakan undang-undang.
Pemimpin-pemimpin Kristian Sabah memulakan pengakuan mereka
dengan menyatakan komitmen mereka untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia
sebagai sebuah persekutuan. Walau bagaimanapun, mereka menyatakan dengan jelas
bahawa Perlembagaan Persekutuan harus menjadi undang-undang tertinggi di negara
ini, dan semua rakyat perlu mempunyai perlindungan yang sama rata di bawah
undang-undang.
"Apa-apa bentuk ketuanan lain adalah jelas sebuah
‘ultra vires’ kepada Perlembagaan, dan tidak boleh diterima," kata mereka.
(Diambil daripada artikel The Daily Ant bertajuk "Penganut Kristian Di Sabah Laksanakan 'Mamangkis' Bagi Menuntut Prinsip-Prinsip Yang Adil Dan Saksama" penulisan Joe Leong bertarikh 20 September 2014)