Pemimpin Kristian marah dengan tindakan pihak berkuasa agama
Islam kerana 'mencemar' Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia
(PBM) di Petaling Jaya awal tahun ini dengan kata-kata amaran yang dicap pada
naskhah tersebut sebelum ia dipulangkan kepada penganut Kristian.
Cap yang mengandungi peringatan yang ia tidak boleh diterbit
atau digunakan di Selangor itu, hanya dikesan selepas Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) menyerahkannya kepada Persatuan Gereja Sarawak (ACS) dalam satu
majlis yang disaksikan Sultan Selangor pada 14 November.
Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kepada The
Malaysian Insider PBM akan mengeluarkan kenyataan membantah tindakan mengecap
amaran di atas Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban itu dan melahirkan
kekesalan yang amat sangat kerana menganggap ia satu "kejadian yang
berulang."
Pada Mac 2011, 5,000 naskhah Alkitab dicop dan diberikan
nombor siri oleh Kementerian Dalam Negeri yang sebelum itu menyimpan barangan
bernilai RM70,000 itu selama 2 tahun selepas merampasnya di Pelabuhan Kuching
pada 20 Mac, 2009.
Menyatakan kehairanan atas tindakan meletakkan nombor siri
pada Bible itu, PBM kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang Bible itu tidak
lagi boleh dijual tetapi sebaliknya akan dikekalkan "sebagai warisan"
rakyat Malaysia beragama Kristian.
Sumber itu tidak mahu namanya disiarkan sebelum kenyataan
rasmi dikeluarkan BSM yang bertanggungjawab mengendalikan pengimportan dan
pengedaran Bible dalam bahasa Melayu di seluruh Malaysia.
Seorang daripada mereka mengesahkan, sekeping gambar yang
sedang dikongsi di Facebook ialah setem getah yang menyatakan amaran tersebut
dalam tulisan berwarna merah.
Ia berbunyi: "Penggunaan terhad kepada orang bukan
Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan di mana-mana bahagian
di dalam negeri Selangor selaras dengan Seksyen 9 (1) Enakmen Ugama Bukan Islam
(Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988."
Salah seorang sumber berkata, pertubuhan Kristian peringkat
kebangsaan itu tidak tahu tentang cap itu sehingga selepas ia dipulangkan.
Ketika dihubungi, Presiden BSM Bishop Datuk Ng Moon Hing
berkata, beliau mahu menunggu kenyataan rasmi sebelum mengulas mengenainya.
Pada 14 November, 351 Bible itu diserahkan kepada pengerusi
ACS Rev Archbishop Datuk Bolly Lapok, disaksikan Sultan Sharafuddin Idris Shah
dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Majlis itu berikutan arahan Sultan supaya ia diserahkan
kembali kepada ACS dengan syarat ia tidak boleh diedarkan di Selangor,
terutamanya di kalangan orang Islam, dan ia hanya untuk kegunaan penganut
Kristian di Sarawak.
Salah seorang sumber berkata, PBM tanpa menyedari perkara
itu mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Sultan kerana
akhirnya Bible itu dipulangkan kepada mereka memandangkan pentadbiran negeri
sebelum itu tidak melakukannya walaupun peguam negara mengatakan tiada kes
terhadap mereka. – 7 Disember, 2014.