Khamis, 29 Januari 2015

Bhgn 1 - Kisah Pastor Korea Selatan Yang Menyelamatkan Dan Menjaga Kanak-Kanak Terbuang (Los Angeles Times)

Keratan akhbar Los Angeles Times, 19 Jun 2011

Di negara yang lebih mementingkan kesempurnaan fizikal, Pastor Lee Jong-rak, yang matanya tercelik selepas menjaga anaknya sendiri yang kurang upaya, telah menjaga anak-anak yang tidak dikehendaki, yang jika bukan kerana kotak bayinya, akan ditinggalkan di jalanan.

Laporan dari Seoul - Kotak itu dimuatkan ke sisi sebuah rumah di kawasan perumahan yang tidak mewah. Kotak itu dilapisi selimut lembut berwarna biru dan merah muda, dan mempunyai loceng yang berbunyi apabila pintu kecilnya dibuka. 

Sebab kotak ini bukanlah untuk buku, ianya untuk bayi - dan bukan sebarang bayi; ini adalah anak-anak yang tidak dikehendaki, suatu beban yang ramai ibubapa merasa terlalu berat untuk ditanggung.

Seorang daripadanya pekak, buta dan lumpuh; seorang lagi mempunyai kepala kecil yang cacat bentuk. Terdapat seorang bayi dengan sindrom Down, seorang lagi dengan cerebral palsy (kelumpuhan spastik yang biasanya disebabkan kerosakan otak), dan seorang lagi quadriplegic (kelumpuhan kedua-dua lengan dan kedua-dua kaki), dengan kerosakan otak yang kekal. 

Tetapi kepada Pastor Lee Jong-rak, mereka semuanya sempurna. Dan mereka telah mendapat keluarga di sini di rumah anak-anak yatim yang dikendalikannya dengan isterinya dan tenaga pekerja yang sedikit. Ianya satu-satunya pusat swasta untuk kanak-kanak kurang upaya di Korea Selatan.

"Ini adalah kemudahan untuk melindungi nyawa," begitu kata-kata yang tertulis dengan tangan pada papan tanda di luar kotak itu. "Jika anda tidak dapat menjaga bayi-bayi anda yang kurang upaya, jangan buang mereka atau tinggalkan mereka di jalan. Bawa mereka ke sini."


Pastor Lee menunjukkan beberapa kata-kata Firman Tuhan di sebelah atas kotak bayi itu.

Sejak 1998, Lee, kini berusia 57 tahun, telah menjaga lebih daripada tiga puluh kanak-kanak - membesarkan mereka, mengasihi mereka, menghantar mereka ke sekolah. Dia telah menukar lampin mereka, menenangkan tangisan mereka di tengah-tengah malam. Pada hari ini, jagaannya berjumlah 21 orang: yang terkecil dua bulan, yang tertua 18 tahun.

Motivasinya datang dari penderitaan peribadinya. Dua puluh lima tahun yang lalu, isteri Lee, Chun-ja, telah melahirkan seorang bayi yang begitu cacat bentuk, Lee telah menyimpan bayi itu dari isterinya selama sebulan, dengan hanya menjelaskan bahawa anak itu mengidap demam yang serius dan telah dibawa ke hospital lain, sehingga dia dapat memikirkan cara untuk memberitahunya hal yang sukar diterima.

Bayi itu telah dilahirkan dengan cerebral palsy (kelumpuhan spastik yang biasanya disebabkan kerosakan otak). Terdapat gumpalan besar di kepalanya yang telah menyempitkan aliran darah, secara perlahan-lahan menyebabkan kerosakan otak. Para doktor hanya memberinya jangka waktu berbulan-bulan untuk hidup.

Pada hari ini, dia berbaring di sebuah katil di rumah Lee, kaki-kakinya terbengkok pada sudut yang mustahil, tapak kakinya terbengkok ke arah belakang. Sambil memerhatikan bilik tanpa perasaan, dia sekali-kala mengeluarkan dengusan dan keluhan, sambil ibubapanya menyedut keluar air liurnya melalui lubang saluran pernafasan di kerongkongnya. Mereka memanggilnya Eun-man, yang bererti penuh dengan kasih karunia Tuhan.


Pastor Lee dengan anaknya, Eun -man yang mengidap cerebral palsy

Dia menjadi sebahagian yang penting di rumah anak-anak yatim yang menghadapi cabaran: Pegawai-pegawai kesihatan telah mengarahkan Lee untuk menutup kotak bayinya, dengan berkata ianya menggalakkan ibubapa untuk meninggalkan bayi mereka.

Pihak berkuasa berkata bahawa Lee tidak memiliki latihan formal, dan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk kanak-kanak jagaannya, yang mana hanya dua sahaja yang tidak cacat. Lee tidak mempunyai lesen, tetapi untuk bertahun-tahun, dia telah beroperasi secara senyap. Kini dia khuatir bahawa dia akan kehilangan bantuan kewangan yang diterimanya dari kerajaan sebagai penjaga yang sah kepada anak-anak itu; wang itu menolongnya meneruskan kegiatannya, di samping bantuan derma daripada syarikat-syarikat tempatan dan pemyumbang-penyumbang peribadi.

Penyokong-penyokong rumah anak yatim berkata pihak berkuasa tidak memahami keadaan yang sebenar. Walaupun terdapat institusi lain yang memberi kemudahan untuk kanak-kanak kurang upaya di seluruh negara, mereka berkata bahawa tiada pekerja yang digaji untuk memberi penjagaan dapat menandingi kasih Lee dan sifat kebapaannya.

"Mereka tidak melihat apa yang dia dapat lakukan, mereka mengfokus kepada apa yang dia tidak ada," kata Peter A. Dietrich, seorang sukarelawan rumah anak yatim. "Kesan besar dari misinya sangat nyata, Saya tidak kenal sesiapapun yang pergi ke situ untuk pertama kalinya dan tidak menitiskan air mata."

------------------------

Kelahiran Eun-man telah menyebabkan ayahnya, seorang yang kuat agama mempersoalkan imannya.

"Saya bertanya kepada Tuhan, 'Mengapakah Engkau memberi saya seorang anak yang cacat?' Saya tidak bersyukur untuk bayi ini," Lee mengingat kembali.

Tidak lama kemudian dia mula menyesali kata-katanya itu. Melihat kepada anaknya, yang memerlukan pertolongan dan tiada pengharapan, dia berkata dia menyaksikan betapa bernilainya suatu nyawa. Dia dan isterinya membuat keputusan bekerja keras untuk membantu anaknya terus hidup. 


Pastor Lee bersama anaknya Eun-man

Pada pertengahan 1980an, kata Lee, orang-orang kurang upaya di Korea Selatan sering dipandang sebagai pelik dan memalukan - lebih seperti makhluk daripada kanak-kanak. Sampai hari ini pun, dia berkata, bayi-bayi yang dilahirkan dengan kecacatan fizikal dilihat sebagai memalukan negara di tengah budaya yang menghargai kesempurnaan fizikal, di mana pembedahan kosmetik telah menjadi perkara biasa

Oleh kerana keupayaan otaknya yang terhad, Eun-man memerlukan penjagaan selalu. Dia menghabiskan 14 tahun awalnya di hospital. Untuk membayar perbelanjaan penjagaannya, Lee telah menjual pasar makanan keluarganya, meminjam wang dan mengambil pekerjaan sambilan untuk mendapatkan lebih kewangan.

Dia menghabiskan masa berbulan-bulan di hospital dan mula mengunjungi bilik kanak-kanak kurang upaya yang lain, menggalakkan ibubapa mereka agar tidak berputus asa. Ramai yang mula memanggilnya, "pastor."

Yang peliknya, anak yang menyebabkan Lee menyalahkan Tuhan dahulu akhirnya membawa dia lebih dekat dengan imannya. Pada 1992, apabila Eun-man berusia enam tahun, Lee memasuki sekolah teologia untuk menjadi seorang pastor.

Pada suatu hari, seorang wanita tua di hospital meminta Lee untuk menjaga cucu perempuannya yang lumpuh. Tawarannya: Jika Lee bersetuju dengan permintaannya, wanita itu akan menjadi Kristian. Dia menerima kanak-kanak itu, yang bernama Sang-hee, yang masih tinggal dengannya. Beberapa bulan selepas melakukan tawaran itu, wanita itu meninggal dunia.

Seorang pekerja sosial kemudian meminta Lee untuk menerima seorang bayi yang kerosakan otak, anak perempuan kepada seorang gadis 14 tahun yang minum minuman keras dan mengambil dadah semasa mengandung. Pekerja sosial itu memberi keyakinan kepada Lee bahawa bayi itu, yang bernama Hannah, tidak akan hidup lama.


1   |   2   |   Mukasurat seterusnya


(Diterjemah daripada artikel Los Angeles Times bertajuk "South Korean Pastor Tends An Unwanted Flock" penulisan John M. Glionna bertarikh 19 Jun 2011)