Mahkamah Persekutuan menolak rayuan semakan Editor Herald, Paderi Lawrence dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan "The Herald" di Istana Kehakiman, |
PUTRAJAYA: Majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang
daripada menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan apabila ia
gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan pada Rabu,
untuk Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk
merayu.
Panel lima orang hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull
Hamid Embong, sebulat suara menolak permohonan gereja bagi semakan selepas
memutuskan bahawa pihak berkenaan (gereja) gagal memenuhi keperluan minimum
bagi semakan yang termaktub dalam Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan
1995.
Beliau bekata tidak berlaku ketidakadilan dari segi prosedur dalam keputusan
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan gereja bagi kebenaran untuk
merayu.
Abdull Hamid berkata undang-undang kes yang diselesaikan menyatakan bahawa
pemohon tidak mempunyai hak untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan
kecuali dalam situasi yang jarang-jarang berlaku iaitu kecenderungan untuk
bersikap berat sebelah, kegagalan kuorum, penipuan atau berlaku ketidakadilan
dalam prosedur.
Beliau berkata rasional di sebalik pendekatan sangat tegas yang dipraktikkan
lebih satu kurun lalu di England ialah keputusan harus bersifat muktamad, dan
tetap, jika tidak, tidak akan ada akhirnya.
Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan
Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.
Berikutan keputusan itu, usaha pihak gereja menggunakan saluran perundangan
bagi menarik balik larangan menggunakan kalimah 'Allah' dalam Herald kini
berakhir.
Gereja Katolik memohon untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan
pada 23 Jun tahun lepas yang menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu
keputusan Kementerian dalam Negeri melarang menggunakan kalimah 'Allah' untuk
merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan Herald edisi Bahasa Malaysia.
Mahkamah Persekutuan yang mencapai keputusan majoriti 4-3 menolak permohonan
Gereja bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan.
Pihak gereja memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun
lepas untuk membawa perkara itu bagi rayuan di mahkamah berkenaan ekoran
keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa
Herald boleh menggunakan kalimah 'Allah'.
Mahkamah Rayuan, pada 14 Oktober 2013, membenarkan rayuan kerajaan untuk
mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang mengisytiharkan bahawa
keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah
Allah dalam penerbitannya edisi Bahasa Malaysia, adalah menyalahi
undang-undang, tidak sah dan terbatal.
Panel tiga anggota hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan hakim Mahkamah
Rayuan ketika itu (sekarang Mahkamah Persekutuan) Tan Sri Mohamed Apandi Ali
berkata alasan bagi larangan menggunakan kalimah itu ialah untuk mengelakkan
sebarang kekeliruan dalam kalangan pelbagai agama.
Beliau (Hakim Mohamed Apandi) juga berkata keselamatan negara dan ketenteraman
awam boleh tergugat jika majalah itu dibenar menggunakan kalimah 'Allah' dalam
penerbitannya.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, peguam Datuk C.V. Das yang mewakili gereja
berhujah bahawa ketidakadilan dalam prosedur berlaku kerana Mahkamah
Persekutuan telah menolak permohonan gereja bagi kebenaran untuk merayu atas
isu-isu yang tidak ditimbulkan semasa berhujah.
Beliau berkata ini telah menyebabkan ketidakadilan kepada pihak gereja sambil
menambah bahawa tiada seorang pun harus dihukum tanpa kesnya didengar dahulu.
"Kami tidak didengar. Jika kami didengar, permohonan kami mungkin
terselamat," katanya dan menambah bahawa hakim-hakim perlu menarik
perhatian pihak dalam kes itu untuk berhujah mengenai isu-isu yang mereka fikir
perlu ditangani.
(Diambil daripada artikel Mstar bertajuk "Larangan Guna Kalimah 'Allah' Dalam Herald Kekal - Mahkamah Persekutuan" bertarikh 21 Januari 2015)