Selasa, 27 Januari 2015

Selepas Kes Herald, Uskup Besar KL Menyeru Kepada Umat Katolik Agar Melindungi Hak Kaum Minoriti

Uskup Besar Kuala Lumpur, Most Reverend Julian Leow (di tengah) memberitahu umat
Katolik 
hari ini bahawa larangan penggunaan kalimah Allah itu terhad kepada Herald



Sambil mengakui bahawa semua usaha undang-undang dalam kes gereja berkaitan majalah mingguan Katolik, Herald telah berakhir, Uskup Besar Kuala Lumpur menyeru kepada umat Katolik untuk berpegang kepada kata-kata Putrajaya: bahawa larangan penggunaan kalimah Allah adalah terhad kepada majalah mingguan Herald sahaja.

Dalam surat yang diterbitkan dalam laman web Diosis Besar Kuala Lumpur, Most Reverend Julian Leow berkata dengan itu, larangan kalimah Allah tidak melibatkan larangan ke atas Alkitab atau pujian dan penyembahan semasa kebaktian ibadah dan pertemuan doa. 

"Kerajaan telah mengatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan hanya terhad kepada kes Herald. Dengan itu, kami akan berpegang kepada kata-kata yang diucapkan oleh kerajaan. 

"Ianya langsung tidak melibatkan larangan ke atas kitab suci kita, Alkitab, dan pujian dan penyembahan semasa kebaktian ibadah dan doa," begitu ditulis Leow, yang juga adalah presiden Persidangan Uskup-uskup Katolik di Malaysia.

Dia berkata walaupun terdapat ketidakpastian mengenai kesan larangan itu ke atas hak rakyat minoriti untuk mengamalkan kepercayaan mereka, umat Katolik adalah umat yang berpegang kepada "iman dan pengharapan."

Leow menambah bahawa terdapat banyak yang dapat dipelajari daripada pengalaman itu, dan bahawa orang-orang Katolik perlu membuat pendirian untuk keadilan dan kebenaran. 

"Kita perlu melindungi hak-hak kaum minoriti dan mereka yang tidak dapat bersuara.

"Kita perlu mengampuni dan menjangkau dalam kasih terutama kepada mereka yang tersalah faham dan tersalah makluman," katanya. 

Leow juga berterima kasih kepada pasukan peguam yang telah membentangkan isu-isu itu dengan jelas dan ringkas. 

Dia menyatakan dalam suratnya bahawa perjalanan gereja telah bermula pada 2008 apabila mereka diberitahu bahawa mereka tidak boleh memanggil Allah dengan cara yang telah diamalkan oleh majoriti umat Katolik di Malaysia untuk beratus-ratus tahun. 

Leow berkata bahawa gereja telah membawa kes itu ke mahkamah demi hak berperlembagaannya untuk menguruskan hal-hal keagamaannya sendiri. 

Dia menambah bahawa mereka telah mengambil pendirian bahawa sekatan dari Menteri Dalam Negeri atas penggunaan kata "Allah" dalam Herald adalah bertentangan dengan Perlembagaan. 

"Dari mula lagi, ianya adalah perjalanan yang sukar, dipenuhi duri dan ranjau. Namun pasukan kami meneruskan usaha dan kini kami telah mencapai garis akhir," katanya.

Jemaah hakim yang terdiri dari lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong telah mencapai keputusan sebulat suara untuk menolak permohonan gereja untuk semakan ke atas keputusan mahkamah tertinggi itu yang sebelumnya yang tidak membenarkan rayuan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah dalam Herald.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "After Herald Saga, KL Archbishop Urges Catholics To Stand Up For Rights Of Minorities" bertarikh 27 Januari 2015)