Jilius Yapoo, ayah kepada pelajar yang masuk Islam tanpa pengetahuan ibubapa (Foto The Rakyat Post) |
PAPAR, 9 Febuari - Walaupun sedikit rasa terkilan dengan cara pihak sekolah
menolak tanggungjawab atas dakwaan menukar agama anak perempuannya yang masih
di bawah umur, sebagai seorang bapa, Jilius Yapoo merasa lega terdapat sedikit
perkembangan.
Jilius juga diberi kesempatan untuk berbincang dengan anak
perempuannya yang berusia 16 tahun, iaitu anak sulung daripada lapan beradik,
bersama pengetua sekolah Datin Joharah Abdullah, guru sekolah, pegawai daripada
Pejabat Daerah Pendidikan dan polis, secara tertutup.
“Saya tanyakan pendiriannya tetapi mungkin kerana dia
gementar dan memberitahu saya, dia belum membuat apa-apa keputusan lagi.
“Oleh kerana pihak sekolah berkata ini merupakan masalah
keluarga, kami akan membawanya pulang esok supaya kami dapat berbincang satu
keluarga,” katanya selepas perbincangan dua jam selesai.
Sebelum perbincangan hari ini, Jilius meminta untuk bertemu
anak perempuannya, tetapi permintaannya ditolak.
Jilius yang berpendapatan RM350 sebulan sebagai penoreh
getah, namun hatinya tetap pada satu perkara – “Saya tidak akan benarkan anak
saya mengubah agama. Dia masih di bawah umur dan masih lagi di bawah penjagaan
saya. Dia tidak akan mendapat restu saya dan kita perlu tunggu dua tahun
sehingga dia boleh membuat keputusannya sendiri. Buat masa ini, saya mahu dia
mengamalkan agama yang dianuti sebelum ini.”
Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berkata “agama
seseorang di bawah usia lapan belas tahun adalah ditentukan oleh ibu bapa atau
penjaga.”
Jilius turut meluahkan rasa bimbang mengenai kejanggalan
ketika bersama ahli keluarga yang lain, juga kebimbangannya mengenai
masa hadapan.
“Apabila dia hadir untuk acara hari jadi adik-adiknya nanti,
dia tidak dapat menikmati makanan yang kami sediakan.
“Kami juga pasti akan ada masalah untuk pembahagian harta
pusaka dan urusan pengebumian. Kami bukan saja kehilangan anak perempuan kami
tetapi sebahagian besar dari keluarga,” katanya cuba menahan air mata sebaik
saja melihat anak perempuannya itu bertudung.
Jilius, penduduk di Kampung Kaiduan di Kawang berkata, dia
menerima bantuan daripada Paderi James Mojikon untuk mengeluarkan empat anaknya
yang lain dari sekolah itu.
“Saya mahu mereka ditukarkan ke sekolah lain. Ketiga-tiga
anak saya yang lain bimbang mereka juga dipengaruhi untuk menukar agama
sedangkan mereka tidak mahu dan bimbang akan diejek oleh rakan-rakan mereka,”
kata Jilius, 46.
Sementara itu adik perempuannya melahirkan rasa berbelah
bahagi apabila melihat kakak yang rapat dengannya, bertudung.
“Kali terakhir kami bertemu, sebulan yang lalu sebelum
sekolah bermula. Hari ini saya melihat dia bertudung dan ini membuatkan saya
terperanjat dan sedih. Saya tak mampu berkata apa, saya tidak tahu hendak buat
apa.
“Seperti ahli keluarga yang lain, saya turut bersetuju
bahawa dia tidak sepatutnya menukar agama tetapi saya hanya adiknya saja, saya
tak boleh menahannya.
“Bagi saya, walaupun saya mahu dia kembali ke agama asalnya,
tetapi sekiranya dia sudah menukar agama, maka itu adalah keputusannya kerana
dia berhak menentukan masa hadapannya,” kata remaja itu.
Namun, dia tetap berharap perkara itu dapat diselesaikan
secepat mungkin kerana sekiranya dibiarkan berpanjangan, ia akan memberi kesan
kepada pengajian kakaknya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Michael Frederick mahu sekolah menyiasat bagaimana
penukaran agama itu boleh berlaku.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tidak di sekolah ini
atau di mana-mana. Tidak sepatutnya seseorang itu ditukar agama tanpa
pengetahuan ibu bapanya.
“Saya turut berharap warden sekolah yang bertanggungjawab
dalam perkara ini ditahan untuk disiasat. Ini semua bermula daripada warden
itu.
“Warden sekolah perlu dipertanggungjawabkan, bukan dibiarkan
saja,” kata Michael.
Minggu lalu, seorang remaja berusia 16 tahun didakwa menukar
agama ke Islam oleh warden sekolah dan dikatakan bahawa remaja itu berbuat
demikian dan mengucap syahadah tanpa paksaan.
Jilius yang mendapat tahu perkara berkenaan terus membuat
laporan polis, dan meminta siasatan dibuat atas dakwaan ‘mengislamkan’ anak
perempuannya.
Dipercayai bahawa bekas warden hostel sekolah berkenaan yang
memulakan pengislaman dengan membacakan syahadah, memaksa remaja berkenaan
memeluk agama Islam walaupun masih di bawah umur dan tanpa restu ibu bapa.
Buat masa ini terdapat ramai pengislaman dibuat di kalangan
penduduk Sabah yang pada asalnya beragama Kristian.
Pada Januari tahun lalu, sekumpulan penduduk kampung Orang
Asli di pedalaman Pitas di Sabah dilaporkan diislamkan dengan bayaran RM100
oleh kumpulan kebajikan Islam.
Majlis Gereja Sabah dan juga Majlis Gereja Roman Katolik
Sabah turut membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pendidikan tahun lalu
mengenai pengislaman pelajar Kristian bawah umur di residen Kolej Matrikulasi
Labuan.