Keratan akhbar Harian Ekspres bertarikh 12 Februari 2015 |
KINARUT: Polis mengesahkan bahawa pelajar SMK Kinarut beragama Kristian, berumur 16 tahun yang didakwa ditukarkan agama kepada Islam oleh warden sekolah, belum lagi menjadi Muslim, walaupun mengamalkan gaya hidup Muslim.
Ini adalah kerana dia masih bawah umur dan mengikut perlembagaan, ibu bapa berhak menentukan menentukan agama anak-anak mereka," kata seorang jurucakap polis kepada Harian Ekspres.
Beliau berkata, perkara itu harus diselesaikan dengan baik antara ibu bapa dan sekolah, dan pihak NGO tidak harus campur tangan, menambah polis tidak terlibat dalam perebutan hak penjagaan remaja bawah umur itu.
"Ini adalah antara ibubapa dan sekolah. Polis tiada kena-mengena dengan hal ini. Malah kes ini amat mudah. Si bapa harus menandatangan saja surat kebenaran membenarkan anak perempuannya tinggal di asrama kalau itulah yag dia mahu.
"Ini tiada kaitan dengan polis," kata seorang jurucakap polis apabila dihubungi, Rabu. Katanya, pelajar itu telah membuat satu laporan polis kerana dia takut bapanya akan memukulnya kalau dia pulang dan penduduk kampung akan meminggirkannya kerana apa yang telah dilakukannya.
Apabila polis bertanya sama ada dia dipaksa membuat laporan itu, remaja itu menafikannya, mengatakan dia melakukannya dengan rela.
Sementara itu Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata beliau dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin akan melawat keluarga itu di Kg Kaiduan lewat minggu ini.
"Saya amat bimbang perkara ini berlaku di kawasan kami. Saya ingin menunjukkan sokongan kami kepada keluarga ini, yang saya pasti, berada di bawah keadaan amat tertekan sekarang.
"Ini benar-benar tidak wajar dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kita mesti mematuhi perlembagaan, yang menyatakan ibu bapa mempunyai hak atas anak-anak mereka yang di bawah umur," katanya.
Pelajar terbabit didakwa ditukar agama oleh warden asramanya lewat bulan lepas dan keluarganya hanya mendapat tahu mengenainya apabila dia pulang semasa cuti sekolah dengan memakai tudung.
Beberapa hari sebelum itu, satu pesanan menjadi viral di WhatsApp, kononnya ditulis oleh seorang guru di sekolah sama, yang meminta penerima untuk mendoakan remaja itu sebab dia baru hendak menjadi Muslim.
Sementara itu, bapa kepada pelajar berumur 16 tahun yang didakwa ditukar agama kepada Islam tanpa persetujuan ibu bapanya, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbiran sekolah berkenaan. Jilius Yapoo, seorang penoreh getah berumur 46 tahun, dari Kg Kaiduan, berkata sekolah itu perlu bertanggungjawab atas perkara tersebut.
"Kalau saya tidak mengambil sebarang tindakan, perkara sama akan berulang di masa akan datang dan anak orang lain akan menjadi mangsa seterusnya. Mereka tidak patut membiarkan saya tidak tahu mengenai pertukaran agama anak perempuan saya kepada Islam," katanya apabila ditemui di sini, Rabu.
Bapa kepada lapan anak itu pergi ke sekolah anaknya, SMK Kinarut, pada awal pagi untuk mengambil anak perempuannya selepas pentadbiran sekolah memaklumkannya bahawa remaja itu serta tiga adiknya akan dibenarkan pulang untuk melawat ibu mereka yang sakit.
Bagaimanapun, apabila dia sampai di sekolah pada pukul 8.30 pagi, dia dimaklumkan bahawa dia tidak boleh mengambil anak-anaknya kerana mereka perlu berada di sekolah untuk belajar bagi peperiksaan akan datang.
Jilius Yapoo (tengah) bersama Michael Frederick (kiri) dan Pastor James Mojikon (kanan) (Gambar The Rakyat Post - oleh Sandra Sokial) |
Remaja itu, nampaknya, telah membuat satu laporan polis menyatakan dia takut akan dipukul bapanya dan penduduk kampung akan meminggirkannnya kalau dia pulang.
Kumpulan itu kemudiannya diminta menunggu polis oleh pihak sekolah, yang mengatakan satu pasukan berada dalam perjalanan, untuk menyelesaikan perkara itu.
Kira-kira sejam kemudian, selepas polis tidak juga tiba, walaupun balai polis hanya beberapa minit jauhnya dari sekolah itu. Yapoo memberitahu guru-guru, dia akan pergi minum di sebuah restoran berdekatan.
"Apabila saya kembali ke sekolah kira-kira 15 minit kemudian, mereka terus bertanya ke mana saya pergi dan mereka mencari saya," kata Yapoo.
Akhirnya pihak sekolah mengalah dan bersetuju untuk membenarkan pelajar-pelajar itu pulang. Bagaimanapun keluarga itu tidak sempat pergi jauh sebelum mereka dipintas oleh guru-guru di pekan Kinarut, yang membawa pelajar-pelajar itu kembali ke sekolah tersebut.
Kekeliruan menyusul, dan Yapoo meninggalkan kawasan sekolah dan disuruh menunggu anak-anaknya di pekan bersama-sama dengan Mojikon dan Frederick.
Kumpulan itu menunggu sejam lagi sebelum Yapoo akhirnya menerima satu pesanan daripada anak perempuan sulungnya, yang memberitahu mereka akan dihantar pulang oleh guru mereka, tetapi guru sama akan menjemput mereka semula pada hari ini di Kg Kaiduan pada pukul 2 petang.
Bapa yang terkejut dengan perkara itu mengambil sedikit masa untuk menenangkan dirinya, sebelum menyatakan kebimbangannya, apa lagi yang guru-guru akan katakan kepada anak-anaknya di dalam kereta.
"Saya amat kecewa dengan perkembangan ini. Saya datang ke sini dengan harapan saya akan dapat membawa anak-anak saya pulang.
Saya tidak faham kenapa saya tidak diberi kebebasan sedangkan saya bapa mereka.
"Saya tertanya-tanya apa lagi yang anak-anak saya akan dengar daripada guru-guru mereka dalam perjalanan pulang. Saya hanya mahu bercakap dengan anak perempuan saya," katanya.
Ibu mereka, katanya, amat bimbang dan sedih mengenai anak perempuan mereka sehingga dia enggan makan sejak sekian lama.
"Biasanya dia akan memasak untuk kami, dan kami akan makan bersama.
Tetapi sekarang, saya selalu makan seorang diri. Siapa yang tidak sakit hati," katanya.
(Diambil daripada laporan akhbar Harian Ekspres bertajuk, "Pelajar Didakwa Tukar Agama Belum Jadi Muslim: Polis " penulisan Tracy Patrick bertarikh 12 Februari 2015)