Sabtu, 28 Februari 2015

Persetujuan Ibubapa Diperlukan

Dari kiri: Yapoo, Leiking dan Frederick

Oleh Philip Golingai:

Ahli politik dari pelbagai agama bersatu dalam memberi sokongan kepada Jilius Yapoo dan keluarganya.

BAYANGKAN anda ialah Jilius Yapoo. Anda ialah seorang berbangsa Kadazandusun berumur 46 tahun dari Kampung Kaiduan di Kinarut, lebih kurang 25km dari Kota Kinabalu. Anda mendapat lebih kurang RM350 sebulan sebagai penoreh getah. 

Anda adalah bapa kepada lapan anak, berusia antara satu hingga 17 tahun. Anda adalah seorang anggota setia Sidang Injil Borneo. 

Anda menghantar empat anak anda - anak perempuan 16 tahun, anak lelaki 15 tahun, anak perempuan 14 tahun, anak lelaki 13 tahun - ke sebuah asrama di SMK Kinarut, lebih kurang 13km atau dua jam perjalanan kaki dari rumah anda yang diperbuat dari buluh. Mereka tinggal di asrama kerana anda tidak mampu membayar RM8 tambang seorang setiap hari untuk menghantar mereka ke sekolah.  

Abang ipar anda memberitahu anda bahawa anak perempuan anda berumur 16 tahun sedang memakai tudung, Anda memberitahu dia bahawa anda tidak akan percaya sehingga melihat dengan mata sendiri.

Pada keesokan harinya anda melawat anak perempuan anda di sekolah. Di situ anda melihatnya memakai tudung.

Anak perempuan anda didakwa telah bertukar agama ke Islam selepas mengucap kalimah syahadah (pengisytiharan iman Islam) di sekolah tanpa pengetahuan anda.

Apakah perasaan anda?

Yapoo berasa marah dan sedih. 

"Dia memakai tudung dan menunjukkannya kepada saya. Air mata saya mengalir dan dia memandang saya dan menangis. Dia memberitahu saya bahawa dia telah masuk Islam dan tidak dapat menarik diri sekarang. Saya langsung terdiam," Yapoo memberitahu wartawan. 

Saya menanya orang-orang Sabah dalam kumpulan WhatsApp apakah yang mereka akan rasa jika mereka ialah Yapoo. 

"Saya marah. Ianya pernah berlaku pada saya. Tetapi saya bernasib baik kerana ada teman untuk berbincang. Kawan-kawan sangat penting. Dalam kes seperti ini, anak-anak tidak akan memberitahu ibubapa mereka. Mereka menjadi takut dan membuat keputusan sendiri," kata seorang wanita berumur dua puluhan tahun. 

"Inilah pendirian saya. Seperti dalam kes rogol, walaupun gadis itu bersetuju, ianya masih dianggap rogol menurut undang-undang kerana dia di bawah umur. Dalam cara yang sama, walaupun dia bersetuju untuk tukar agama, itu masih salah sebab dia masih bawah umur. Bertambah salah lagi jika 'persetujuannya untuk bertukar agama' itu dipaksa," kata seorang wanita berumur tiga puluhan. 

(Artikle 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa iman anak perempuan itu, sebagai anak di bawah umur, harus ditentukan oleh ibubapanya.)

Artikel The Star Online
"Biar secara rela atau tidak rela, sesebuah sekolah dan jabatan pendidikan tidak berhak untuk mempengaruhi agama seorang bukan Muslim. Sebagai pendidik, mereka mesti melaporkannya kepada ibubapa anak-anak, yang bertangungjawab atas anak-anak mereka," kata seorang lelaki berumur empat puluhan. 

"Kerajaan mesti melindungi kebebasan beragama kaum minoriti," kata seorang lelaki berumur lima puluhan tahun. 

"Oleh kerana sekolah dan/atau jabatan pendidikan telah melampaui batasan sebagai institusi pendidikan, tindakan mestilah diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," kata seorang wanita berusia empat puluh lebih tahun. 

Adalah menggalakan untuk melihat ahli-ahli politik dari berlainan agama bersatu dalam memberi sokongan kepada Yapoo. 

Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengunjungi keluarga itu. (Kampung Kaiduan di dalam kawasan pilihanraya mereka). 

"Saya amat bimbang perkara ini berlaku di kawasan kami. Saya ingin menunjukkan sokongan kami kepada keluarga ini, yang saya pasti, berada di bawah keadaan amat tertekan sekarang," Ghulam memberitahu wartawan. "Ini benar-benar tidak wajar dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kita mesti mematuhi perlembagaan, yang menyatakan ibu bapa mempunyai hak atas anak-anak mereka yang di bawah umur."

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking berkata tidak harus ada sebarang tarikan untuk menukar agama seorang pelajar di sekolah. 

"Jika terdapat sebarang keraguan atau kemungkinan pertukaran agama, ibubapa mestilah dihubungi terlebih dahulu. Asrama itu tidak harus menyalahgunakan amanah itu," katanya. "Saya hanya dapat bayangkan berapa banyak kes seperti ini yang sedang berlaku atau telah berlaku di seluruh Sabah." 

Yapoo bertegas bahawa anak perempuannya, yang didakwa telah menukar agama ke Islam oleh seorang warden asrama tanpa pengetahuan dan persetujuan ibubapanya, masih seorang Kristian. Dia enggan memberi persetujuannya untuk penukaran agama itu, kerana dia ingin anak perempuannya meneruskan dalam iman Kristiannya. 

Bagaimanapun, Yapoo tidak akan membantah jika dia membuat keputusan untuk memeluk Islam selepas dia berumur 18 tahun. 

Masih terdapat tanda tanya mengenai status agama remaja itu.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata siasatan mereka terhadap kejadian itu mendapati bahawa gadis itu masih seorang Kristian. 

Jalaluddin berkata polis mendapati bahawa gadis itu cuma mengamalkan cara hidup Islam. 

"Dia telah mengucapkan minatnya untuk memeluk Islam sejak dia di Darjah Enam," katanya, dengan menambah bahawa siasatan telah dijalankan selepas ayah gadis itu telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata bahawa remaja itu dipercayai telah meminta warden asrama untuk menyaksikannya mengucapkan kalimah syahadah.

"Gadis itu berminat untuk menukar agama dan telah belajar bagaimana mengucap kalimah syahadah secara sendiri," katanya.

Jame berkata bahawa guru-guru dan pengetua sekolah remaja itu telah memintanya untuk membuka tudungnya oleh kerana dia bukan Muslim. 

"Tetapi dia enggan dan terus memakai tudung ke sekolah," katanya.

Saya memanggil Michael Frederick, pakcik gadis itu, untuk mendapat tahu mengenai status agamanya.

"Ibubapa masih rasa terkeliru kerana jabatan pendidikan berkata dia Muslim manakala polis berkata dia Kristian," kata Frederick.

Dia berkata Yapoo telah meminta Leiking, yang merupakan peguam, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap warden dan sekolah tersebut kerana menukar agama anak perempuannya tanpa persetujuannya.

Yapoo telah memohon untuk keempat anaknya untuk dipindahkan ke SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, lebih kurang 130km dari rumahnya. Mereka akan tinggal di sebuah asrama yang diuruskan oleh rahib-rahib Katolik.

Terdapat kebimbangan mengenai penyebaran agama yang semakin bertambah di Sabah. Setengah-setengah orang Sabah menyalahkannya pada orang-orang yang terlalu berghairah dari Semenanjung. Ianya melukakan orang-orang Sabah, yang telah hidup secara harmoni dalam keluarga pelbagai agama, untuk melihat perkembangan ini. 

Mereka takut apa yang telah berlaku pada keluarga Yapoo juga mungkin berlaku kepada keluarga mereka. Ramai yang mengatakan bahawa mereka menghantar anak mereka ke sekolah untuk mendapat pendidikan, bukan untuk ditukar agama.

Je suis Jilius Yapoo (Bahasa Perancis untuk "Saya adalah Jilius Yapoo").

(Diterjemah daripada artikel The Star Online bertajuk, "Parents' Consent Required" penulisan Philip Golingai bertajuk 28 Februari 2015)