Khamis, 26 Mac 2015

Masih Bujang? Soalan-Soalan Untuk Ditanya Sebelum Menjawab "Ya" Di Mimbar


Oleh J. Lee Grady:

Pada bulan lepas, saya mendapat penghormatan menjalankan upacara perkahwinan untuk satu pasangan yang berbahasa Rusia di Seattle. Saya telah bertemu dengan Roman sewaktu mengajar di sebuah sekolah pelayanan dua tahun yang lalu, dan dia telah mengikuti saya ke lawatan misi ke Peru. Setelah dia bertunang dengan teman wanitanya, Ina, dia telah mengundang saya untuk menjalankan upacara perkahwinan mereka – dan saya gembira sekali untuk menjadi sebahagian daripada hari besar mereka. Perayaan itu ditutupi dengan jamuan makan Ukrania untuk 300 orang!

Seperti kebanyakan pendatang Kristian golongan Slavic, Roman dan Ina telah berkahwin muda. Roman hanya merayakan harijadi ke-21, seminggu selepas perkahwinannya, dan Ina cuma 18 tahun. Namun mereka sungguh matang dan bertanggungjawab dalam usia muda mereka. Apabila saya menjalankan kaunseling pra-nikah bersama mereka (saya mempunyai pegangan bahawa saya tidak akan menjalankan upacara perkahwinan bagi sesiapapun tanpa memberikan kaunseling yang asas), saya kagum melihat betapa siapnya mereka untuk memasuki perjanjian nikah seumur hidup ini.

Tetapi bukan semua orang Kristian yang cukup umur untuk berkahwin adalah benar-benar siap untuk pernikahan. Jika anda belum bersedia, adalah satu kesilapan untuk tergesa-gesa ke mimbar perkahwinan. Saya selalu menanya samada mereka telah menanya diri soalan daripada senarai semak yang ringkas ini. Anda juga boleh kongsikan ini dengan kawan-kawan bujang yang ingin mengikat tali perkahwinan.

Sudahkah anda menyerahkan sepenuhnya hidup anda kepada Yesus? Anda tidak dapat membina perkahwinan yang kukuh berdasarkan perasaan romantik, keghairahan seks dan perasaan semata-mata. Perkahwinan anda akan menjadi lemah jika anda lemah secara rohani – ini juga benar jika pasangan anda tidak hidup sepenuh hati untuk Tuhan. Anda mengambil risiko yang besar jika anda berkahwin apabila hidup rohani anda tidak sihat.

Dapatkah anda berhubungan secara baik dengan orang lain? Jika anda memiliki sejarah perhubungan-perhubungan yang terputus dan drama yang berterusan, jangan berharap bahawa perkahwinan akan berbeza. Anda perlu menguasai sekarang kemarahan dan kecemburuan anda, serta perasaan mudah merajuk dan kasihan diri sendiri, bukan selepas membuat komitmen untuk menjalani seumur hidup dengan pasangan anda.    

Pernahkah anda dan pasangan anda menangani konflik? Semua pasangan akan bertengkar. Tetapi jika anda sering bertengking dan secara berterusan tidak bersefahaman sebelum perkahwinan anda, anda mengundang permasalahan. Dan jika ada penderaan secara fizikal atau lisan, batalkan serta-merta segala perancangan dan dapatkan kaunseling. 

Sudahkah anda membuka kisah masa lampau anda? Perkahwinan melibatkan keintiman. Tetapi anda tidak dapat menikmati keintiman jika anda tidak dapat berterus-terang mengenai kelemahan dan pergumulan anda. Jika anda menyembunyikan kesakitan anda di sebalik topeng kegembiraan, anda akan membawa kesakitan itu ke dalam perkahwinan, dan akhirnya akan melukakan pasangan anda. Samada anda pernah mengalami depresi, ketagihan atau salah satu kehancuran seksual, dapatkan sebanyak mungkin penyembuhan sebelum perkahwinan.

Adakah anda meragui masa lampau pasangan anda? Jangan tergesa-gesa melangkah ke alam perkahwinan jika anda merasa kurang yakin dengan sejarah lampau pasangan anda – terutamanya jika dia pernah bernikah. Tidak salah untuk menanya banyak soalan. Pastikan semua hal didedahkan. Anda tidak mahu terjaga selepas bulan madu dan mendapati bahawa pasangan anda sudah bertukar wajah. 

Adakah anda merancang untuk kehidupan bersama, atau hanya untuk majlis perkahwinan? Terlalu banyak pasangan-pasangan yang tertarik dengan idea perkahwinan, tetapi mereka tidak memikirkan mengenai kehidupan selepas berbulan madu. Jika anda terlalu memperhatikan kek, bunga, dan senarai tetamu, perbetulkanlah keutamaan anda. Anda tidak mahu membelanjakan $25,000 untuk perkahwinan dan selepas itu menyaksikannya terungkai selepas satu tahun.

Adakah anda bertanggungjawab secara kewangan? Anda tidak perlu terlalu banyak wang untuk menjadi pasangan yang bahagia. Tetapi jika anda tidak pernah merencana bagaimana untuk membayar perbelanjaan anda, tekanan kewangan akan menghimpit perkahwinan anda. Jadilah bijak. Banyak pasangan hari ini yang belum lagi belajar bagaimana untuk mengurus akaun bank, menyediakan bajet dan menabung wang. Carilah seorang mentor jika ibu bapa anda tidak mengajar anda asas-asas pengurusan hidup.  

Bagaimana perasaan keluarga anda dan keluarga pasangan anda mengenai perkahwinan ini? Tidak ada jaminannya bahawa semua ibu bapa akan gembira dengan pilihan anda. Tetapi jika ada konflik besar dalam keluarga besar anda, anda mungkin perlu menilai samada ini adalah keputusan yang bijak. Romeo dan Juliet mencintai satu sama lain, tetapi kisah mereka berakhir dengan tragedi kerana sikap ibu bapa mereka. Dapatkan sokongan pastoral jika anggota-anggota keluarga cuba untuk mencetuskan konflik. 

Adakah anda dan pasangan anda memiliki matlamat dan impian yang serupa? Anda tidak perlu meminati filem-filem yang sama, ataupun menggemari jenis makanan yang sama. Tetapi apabila Tuhan membawa dua orang bersama, mereka menyokong impian satu sama lain. Ini terutamanya benar dalam hal menginginkan anak. Jika pasangan anda tidak menginginkan anak, tetapi anda ingin, jangan mengandaikan bahawa semuanya akan "dapat diselesaikan." Jika anda seorang wanita yang inginkan kerjaya dan tunang anda lebih suka anda duduk di rumah, anda harus menilai semula. 

Adakah anda dan pasangan anda berdoa bersama-sama? Ini adalah cara yang paling baik untuk mengetahui samada anda bersesuaian secara rohani dengan pasangan anda. Jika anda merasakan tahap keintiman rohani yang mendalam apabila anda berdoa dengan pasangan anda, itu adalah petanda baik bahawa Tuhan sedang membawa bersama anda berdua. Tetapi jika pasangan anda tidak berminat untuk bertumbuh secara rohani dengan anda, ambillah itu sebagai petanda bahawa anda harus mencari yang lain. Apabila Tuhan membawa bersama seorang lelaki dan seorang perempuan, mereka harus menjadi satu dalam semua segi. 

(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Still Single? Ask These Questions Before You Say 'I Do'" penulisan J. Lee Grady bertarikh 25 Mac 2015)