Isnin, 20 April 2015

Kumpulan Mendesak Salib Diturunkan Kerana Bimbang Anak Muda Dipesongkan

Sekumpulan penduduk memprotes sebuah gereja baru di Taman Medan, Petaling Jaya
yang telah meletakkan salib pada dinding bangunan (Gambar dari Malaysiankini)

KUALA LUMPUR, 19 April - Sekumpulan 50 penduduk menjalankan protes secara aman terhadap sebuah gereja baru di Taman Medan kerana bimbang penyebaran agama selepas jemaah gereja itu meletakkan salib di gereja itu. 

The Star Online melaporkan bahawa kumpulan itu telah berkumpul di luar gereja pada 10 pagi hari ini semasa Kebaktian Ahad sedang dijalankan, dan mendakwa bahawa meletakkan salib di kawasan yang majoriti Melayu mencabar Islam dan boleh mempengaruhi anak muda Muslim. 

Kumpulan itu dilaporkan telah ditenangkan oleh seorang pemimpin kampung, yang kemudiannya mengadakan perbincangan dengan paderi mengenai isu itu.

"Setelah bertemu dengan paderi, gereja itu bersetuju untuk menurunkan salib itu sebelum Ahad depan. Jika mereka mempunyai kuasa untuk menjalankan gereja, kita tidak dapat menghalangnya. Tetapi kami meminta atas dasar kebimbangan, kerana ini adalah kawasan Melayu, agar mereka menurunkan salib itu," pemimpin kumpulan itu, Datuk Abdullah Abu Bakar dilaporkan telah mengatakan. 


Sekumpulan lima puluh orang penduduk memprotes di hadapan gereja baru yang meletakkan
salib pada dinding bangunan di Taman Medan, Petaling Jaya (Gambar dari The Star Online)

Sebahagian daripada kumpulan yang melakukan protes telah dilaporkan memberi amaran kepada seorang wartawan lelaki semasa insiden itu, mendesak agar dia menulis hal-hal yang "baik" mengenai kumpulan itu. 

Laporan itu juga mendakwa beberapa daripada mereka memegang baju wartawan sambil dia menemubual kumpulan yang memprotes itu. 

Polis dilaporkan tiba di tempat kejadian pada kira-kira 10.30 pagi, dan bertindak sebagai orang tengah di antara kumpulan memprotes dan pemimpin-pemimpin gereja. 

Adalah difahamkan bahawa gereja itu dikatakan telah menurunkan salib itu beberapa jam kemudian. 

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Fearing Sway Among Muslim Youths, Group Demand Church Take Down Cross"  bertarikh 19 April 2015)