Khamis, 30 April 2015

Mesej Teks Dari Salah Seorang Tahanan "Bali Nine" Sebelum Menjalani Hukuman Tembak Mati

Andrew Chan  (Gambar AAP)

Dari bilik selnya untuk banduan yang dihukum mati, Andrew Chan salah seorang warga Australia yang telah menjalani hukuman mati di Indonesia hari ini atas tuduhan mengedar dadah, telah sebelum ini bertukar-tukar mesej dengan seorang wartawan Australia mengenai dadah, liga ragbi, penyesalan, keinsafan dan akhirnya penebusan, dalam menemukan Tuhan dan juga mengasaskan sebuah rumah anak yatim sebelum hukuman matinya dilaksanakan oleh pasukan penembak pada awal pagi ini.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Daily Telegraph, banduan yang menanti hukuman mati itu telah berhubung dengan wartawan Phil Rothfield beberapa  bulan lalu.

"Semuanya bermula dengan satu mesej teks pada 10.30 malam pada 6 Februari: Hai Phil, ini Andrew."

Rothfield berkata mereka bertukar-tukar mesej pada kebanyakan malam, sebelum Andrew dipindahkan dari sel untuk banduan hukuman mati ke pulau di mana hukuman mati itu dijalankan. Dia berkata Andrew telah menyembunyikan telefon bimbit di dalam bilik selnya, samada dengan kerjasama pengawal-pengawal penjara yang memilih untuk membiarkannya atau dengan bantuan banduan-banduan lain.

Perbualan-perbualan mereka merangkumi dari pandangan Chan mengenai kematian, zaman kanak-kanaknya yang bermasalah, bagaimana dia ketagihan dadah dan kehidupan sebagai banduan yang menanti hukuman maut.

Wartawan itu menanya Chan mengenai kematian, "Adakah kamu takut?" Jawapannya ialah, "Saya sudah ok mengenainya. Tidak ada guna memikirkannya terus. Saya sepatutnya mati dua minggu yang lalu. Ianya bukanlah berita yang terbaik, tetapi lihat, saya masih hidup hari ini."


Andrew Chan di penjara dan semasa kanak-kanak - Gambar Daily Telegraph

Chan juga berkongsi bagaimana dia menjadi ketagih kepada dadah pada usia 14 tahun dan tidak lama dari itu ditarik untuk menjual dadah.

"Kali pertama saya menyentuh dadah ialah ketika saya berusia 14 tahun bermula dengan metadon, tidak dapat arak, seorang pengedar menjual kepada saya dan kawan-kawan metadon, ianya mengkhayalkan kami dan kami ketagih dengan benda itu."

"Saya memiliki masa lampau yang menarik. Sebahagian daripada kawan-kawan saya mengalami hidup yang betul-betul sukar. Kebanyakan kawan-kawan saya sekarang sudah mati ataupun berada di penjara."

Chan juga menerangkan sedikit mengenai hidup sebagai seorang banduan yang sedang menanti kematian, berkongsi mengenai makanan yang diberikan kepadanya dan orang-orang merbahaya yang dia bertemu dengan setiap hari.

"Saya terbangun dari tidur dengan beberapa mayat, saya teringat pada harijadi saya empat tahun yang lepas bila saya bangun tidur terdapat mayat terkujur di depan sel saya. Orang itu kena seksa, dia telah mencuri daripada keluarga seorang banduan sewaktu di luar dan mereka diletakkan di dalam sel yang sama. Akibatnya buruk untuk banduan itu."

Dia juga memberitahu Rothfield tentang bagaimana dia mengekalkan kewarasannya dalam 10 tahun yang panjang menanti kematian dalam penjara Indonesia. 

"Sejujurnya Yesus. Pada dasarnya 10 tahun yang lalu saya ingin membunuh diri. Sesuatu terjadi, sesuatu yang tidak pernah saya percayai seumur hidup saya. Ada Tuhan dan Ia ada dan Ia nyata."


Chan dan tahanan-tahanan hukuman maut yang lain / Diterbangkan ke pulau untuk hukuman mati
(Gambar-gambar Daily Telegraph)

Pada hari-hari mendekat hukuman matinya, Chan menjadi sangat sibuk, dia bernikah, mengatur abangnya untuk menerbitkan sebuah buku mengenai hidup awalnya sampai ke waktunya di sel tahanan hukuman mati, dan juga berjaya memulakan satu projek masyarakat yang besar, mengasaskan sebuah rumah anak-anak yatim di Pulau Sabu, Indonesia. Dia telah mengatur agar keuntungan daripada bukunya akan disalurkan sebagai dana untuk rumah anak-anak yatim itu. 

"Ya saya akan memberikannya kepada rumah anak-anak yatim itu yang telah saya mulakan setahun yang lalu. Saya berikan pendidikan kepada kanak-kanak yang perlu bangun pukul 2 pagi dan mula berjalan agar sempat sampai ke sekolah.

"Oleh itu untuk sepanjang tahun lepas, saya berusaha mencari dana, saya dan rakan kongsi saya menaruh segala yang kami ada dalam pelayanan ini. Dan kami berusaha melakukannya dengan bantuan gereja-gereja. 

"Rakan kongsi saya akan mendaftarkannya tidak lama lagi, ianya cukup menakjubkan. Saya memberi anak-anak ini pakaian yang disumbangkan dari gereja-gereja - wajah mereka terus bersinar-sinar."

Sepanjang rayuan terakhir untuknya oleh ketua-ketua kerajaan, para selebriti, dan organisasi-organisasi kemanusiaan antarabangsa, yang semuanya tidak berhasil, Chan kelihatan sudah bersedia untuk mati. 

"Saya akan melakukan apa yang orang-orang Yunani lakukan carpe diem yang bermaksud memanfaatkan segala kesempatan yang ada pada waktu ini. Ya, sokongan yang diberikan sangat di luar dugaan. Sebenarnya Rusty (pelakon Russell Crowe) juga menyuarakan bagi pihak saya selepas saya memakai jersi pasukan South haha."

(Diterjemah daripada artikel Malaysian Digest bertajuk, "Test Messages From One Of Bali Nine Before His Execution" penulisan Carolina Cheah bertarikh 29 April 2015)