Akidah umat Islam tidak akan goyah dengan hanya memandang
lambang salib, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Haniza Mohd Talha.
Katanya, tindakan sekumpulan orang menunjuk perasaan membantah sebuah gereja
baru di kawasan berkenaan adalah "keji" dan menghina umat Islam,
khususnya di kawasan itu.
"Mereka beranggapan akidah umat Islam sungguh rapuh. Hanya dengan ada
gereja di kawasan itu dan menggantung salib akan membuatkan penduduk Islam
berpaling dari Islam.
"Sikap keterlaluan itu telah memberi persepsi negatif terhadap Islam dan
muslim. Kini, muslim dilihat sebagai taksub dan ekstrem sehingga menghalang
orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing," katanya.
Kenyataan Haniza itu dikeluarkan ekoran tindakan beberapa
orang mendakwa penduduk Taman Medan mengadakan protes terhadap sebuah gereja
baru di kawasan berkenaan.
Mereka menuntut pihak gereja berkenaan menurunkan lambang salib pada bahagian
luar bangunan itu kerana ia dibuat tanpa berunding dengan mereka.
Gereja itu dibuka tiga hari lalu di kawasan didakwa didiami majoriti penduduk
Melayu beragama Islam.
Penunjuk perasaan juga mengecam Haniza dan menuduhnya "tidur" kerana
gagal menangani isu berkenaan.
Media melaporkan, pengurusan gereja terbabit bersetuju dengan tuntutan itu
selepas mengadakan perbincangan.
Haniza berkata, protes semalam itu juga adalah amalan politik sempit dan
perkauman Umno.
"Tunjuk perasaan itu diadakan ahli Umno.
"Seorang daripada mereka ialah Munaliza Hamzah yang menjadi calon BN
menentang saya dalam pilihan raya umum lalu," katanya.
Seorang lagi, kata Haniza, yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung,
Abdullah Abu Bakar melakukan penipuan.
"Tidak ada kampung di Taman Medan.
"Dia adalah seorang pemimpin Umno di bahagian Petaling Jaya Selatan,"
katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "Tak Goyang Akidah Hanya Pandang Salib" bertarikh 20 April 2015)