Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu di dalam
kamarnya dengan dihadiri peguam Annou Xavier, yang mewakili SIB dan
presidennya, Jerry W. A. Dusing @ Jerry W. Patel dan Peguam Kanan Persekutuan
Shamsul Bolhassan yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan.
“Dokumen itu diklasifikasi di bawah OSA dan ia tidak boleh
didedahkan kepada umum,” kata Annou ketika ditemui pemberita selepas mahkamah
menetapkan 1 November untuk pengurusan kes.
Shamsul juga memaklumkan mahkamah memutuskan dokumen itu
adalah di bawah OSA.
“Mahkamah memberitahu ia tidak dalam kedudukan untuk meminta
kami mendedahkan dokumen itu kecuali hanya mereka yang menentukan status rahsia
boleh mengubah status itu.
“Mahkamah berpendapat penemuan dokumen itu dalam semakan
kehakiman tidak perlu...oleh itu kita boleh meneruskan dengan bukti diberi
serta dokumen yang dikemukakan,” kata Shamsul.
Dokumen itu dipohon Dusing dan SIB, selaku plaintif dalam
permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 10 Disember, 2007 terhadap KDN
dan kerajaan berhubung haknya untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam
penerbitan dan amalan keagamaannya.
Kedua-dua plaintif memfailkan permohonan itu untuk mencabar
keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang merampas buku agama mengandungi
kalimah "Allah" yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di
Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.
Ia bagi memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak
perlembagaan untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam terjemahan
bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dalam Bible Kristian, dan semua penerbitan
dan bahan keagamaan lain. – Bernama, 16 Oktober, 2017
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "Kalimah Allah: SIB Gagal Dapat Dokumen Kabinet" bertarikh 16 Oktober 2017)