Sabtu, 18 November 2017

Kenyataan Media NECF Mengenai Cadangan MAIS Agar DBP Terjemahkan Bible



Kenyataan Media NECF (National Evangelical Christian Fellowship):

Ketinggian Anggapan Bila MAIS Mencadangkan Agensi Kerajaan Boleh Mengedit Kitab Suci


NECF rasa terkejut dan sangat terganggu oleh cadangan MAIS melalui peguam mereka, Hanif Mohamed, seperti mana dilaporkan pada 15 November 2017 oleh Malay Mail Online di bawah tajuk , "MAIS: Dewan Bahasa Boleh Mempersiapkan Alkitab BM Untuk Memperbetulkan Penggunaan 'Allah' Oleh Orang Kristian". 

Kami percaya dengan sungguh-sungguh bahawa hak asasi untuk menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama seseorang termasuk hak untuk berdoa atas nama Tuhan mereka dijamin di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Orang Kristian yang berbahasa Malaysia telah menggunakan perkataan "Allah". Bagi mereka, nama Tuhan itu membawa makna rohani yang telah diturun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain. Ini dilahirkan dari berabad-abad penggunaan perkataan ini yang tidak pernah mengancam atau menyebabkan masalah kepada orang yang beragama lain. Sekarang, untuk menafikan mereka untuk menggunakan perkataan itu bukan sahaja merupakan suatu pelanggaran hak asasi mereka di bawah Perkara 11 Perlembagaan, tetapi juga menghilangkan identiti rohani Tuhan dengan sepenuhnya dari setiap doa, setiap pembaptisan dan setiap khutbah. Tiada sesiapapun dan tiada pihak boleh menentukan bagaimana orang Kristian harus memanggil Tuhan mereka dalam apa pun bahasa.

Perkara 11(3)(a) menyatakan dengan jelasnya bahawa setiap kumpulan agama memiliki hak untuk mengurus hal-hal agama mereka sendiri termasuk terjemahan Kitab Suci mereka tertakluk hanya kepada ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral, Oleh itu, tidak seorang pun, termasuk Dewan Bahasa, boleh menamakan semula Tuhan mana-mana agama dengan apa pun alasan atau menuntut hak untuk menterjemahkan Kitab Suci.

Kitab Suci yang digunakan oleh orang Kristian juga harus diterjemahkan dengan tepatnya, tanpa kehilangan, perubahan atau penyimpangan makna teks asalnya. Bentuk kesusasteraan dalam teks asal seperti puisi, nubuat, naratif, pemuliaan, doktrin, kepercayaan, ajaran iman seharusnya diterjemahkan dengan tepat kepada konteks sejarah dan budaya asli dengan pemahaman pemikiran politik, ideologi, sosial, budaya dan  teologi pada masa ketika Kitab ditulis atau diberikan. Ini dapat dilakukan dengan baiknya oleh cendekiawan Kristian yang sangat berkelayakan dalam kajian Kitab Suci yang juga percaya pada ilhamnya tetapi yang lebih penting, oleh mereka yang merupakan penterjemah yang diiktiraf dan dibenarkan oleh agama Kristian yang diwakili oleh Badan Gereja-gereja.

Percubaan oleh Mais untuk menafikan penggunaan "Allah", oleh orang Kristian  sudah sangat mengganggu masyarakat Kristian dan terus mencadangkan agar sebuah agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa harus menterjemahkan Kitab Suci hanya menambah penghinaan kepada kelukaan. Kami menggesa kerajaan untuk menjelaskan bahawa ia akan menegakkan hak-hak agama minoriti Kristian yang dijamin di bawah Perlembagaan kita.


Rev Dr Eu Hong Seng.
Pengerusi NECF.