Keluarga paderi Raymond Koh terkejut dengan penangguhan inkuiri
yang dijalankan oleh Suhakam berhubung kehilangannya.
"Ini mengejutkan kami selaku keluarga, kerana kami
tidak tahu ini akan berlaku.
"Harapan kami apabila kami datang ke Suhakam adalah
untuk mencari beberapa jawapan kepada banyak soalan kami mengenai
penculikannya," kata isterinya, Susana Liew kepada
pemberita selepas keputusan itu diumumkan oleh pengerusi panel inkuiri Suhakam,
Mah Weng Kwai di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.
Inkuiri itu ditangguhkan pada petang ini, selepas
seorang lelaki didakwa semalam berhubung penculikan paderi berkenaan.
Liew, yang ditemani oleh anak-anak dan peguamnya,
menyifatkan penangguhan itu sebagai penafian hak mereka untuk mendapatkan
kebenaran.
"Kami berharap ada keadilan tapi saya khuatir hari ini
harapan ini telah dihancurkan," katanya.
Inkuiri itu dimulakan pada 19 Oktober tahun lepas.
Peguam keluarga Koh, Gurdial Singh Nijhar, mempertikaikan
tindakan polis kerana menuduh individu yang mereka nyatakan sebelum ini tidak
terlibat dalam penculikan itu.
Gurdial merujuk kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Selangor, Fadzil Ahmat sebelum ini, bahawa pemandu Uber, Lam Chang Nam yang
didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan
tersebut 'tidak ada kaitan dengan kes itu'.
"Fadzil, yang merupakan saksi kesebelas dalam inkuiri
itu, secara terbuka mengisytiharkan bahawa Lam tidak ada kaitan dengan
penculikan paderi Koh.
"Fadzil yang juga ketua pasukan petugas yang meneliti
penculikan Koh berkata pada Mac tahun lepas bahawa siasatan mereka menunjukkan
bahawa Lam tidak terlibat dalam penculikan," kata Gurdial.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Keluarga Paderi Koh Terkejut Inkuiri Ditangguhkan" yang ditulis oleh Alyaa Alhadjri bertarikh 16 Januari 2018)