Mohammad Faisol Abdul ialah kenalan Amri Che Mat dan saksi ke-3 inkuiri Suhakam (Foto: Free Malaysia Today) |
KUALA LUMPUR: Seorang sahabat kepada aktivis Amri Che Mat
yang hilang sejak lebih setahun lalu hari ini menamakan individu bernama
“Rozain” yang menurutnya terlibat dalam penculikannya.
Mohammad Faisol Abdul, yang merupakan kenalan Amri dan juga
terlibat dalam pertubuhan amalnya Perlis Hope, memberitahu panel siasatan
Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) hari ini yang maklumat itu sudah
diberitahu kepada polis.
Menurutnya, beliau menerima maklumat itu yang disalurkan
menerusi tiga yang lain, beberapa hari selepas Amri hilang.
“Maklumat itu adalah dari seseorang yang mengaku terlibat
dalam kegiatan tersebut. Maklumat ini saya dapat dari rakan bernama Hafiz, yang
dapat maklumat dari Hisham, dan diberitahu oleh Azri.
“Apabila saya dapat maklumat tersebut, saya terus beritahu
Inspektor Khor,” katanya merujuk pegawai polis yang menyiasat kehilangan Amri.
Amri, 44, hilang sejak 24 November 2016 lepas, dan menjadi
subjek panel Suhakam, di samping 2 lagi lain yang hilang secara misteri.
Sebelum ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata saksi
ternampak 5 buah kenderaan menghalang kenderaan suaminya sebelum dibawa pergi,
kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Isnin lalu, Norhayati memberitahu Suhakam yang Mufti Perlis
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah ke rumahnya bersama kira-kira 20
pegawai Jabatan Mufti Perlis dan polis untuk menyoal siasat berhubung dakwaan
Amri mengamalkan Syiah, mazhab yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa
Malaysia.
Faisol berkata, beliau tidak mengenali Rozain namun
berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Rozain adalah warga tempatan yang
menetap di Kangar.
“Sebelum itu juga, saya bertemu dengan Azri untuk meminta
penjelasan perkara ini. Azri bila saya jumpa dia seperti takut-takut. Apabila
tanya mengenai Rozain, dia cuba hendak mengelak, dia agak panik.
“Selepas dari itu, saya bertemu dengan rakan saya Mukhriz
yang lebih rapat dengan Azri untuk ‘cross check’ mengenai Rozain. Dia (Mukhriz)
kata kepada saya, memang Rozain, dia adalah sepupu Azri,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status muflis Amri,
Faisol berkata tidak tahu bahawa aktivis itu diisytihar bankrap pada 2008.
“Dia kelihatan seperti tidak ada masalah kewangan, kerana
dia hidup seperti biasa. Tidak nampak unsur atau tanda yang dia ada masalah kewangan.
“Dia tidak pernah minta wang dari saya, dia juga tidak
pernah mengadu terima ancaman kerana masalah kewangan,” katanya yang turut
menyedari Amri terlibat dalam aktiviti tukaran wang.
Surat Jabatan Hal Ehwal Agama Perlis bertarikh 21 September 2016 |
Dalam surat bertarikh 21 September 2016 yang ditandatangani
Pengarahnya, Dr Hazman Hassan, Jaips meminta semuya sekolah menghalang Perlis
Hope menyertai program anjuran sekolah selepas hasil siasatan pihaknya
mendapati NGO itu “disyaki cenderung kepada ajaran Syiah dengan bertopengkan
aktiviti berunsurkan kebajikan”.
Faisol yang juga saksi ke-3 inkuiri itu turut menepis
dakwaan Jaips yang Perlis Hope terbabit dalam ajaran Syiah atau penyebaran
mana-mana agama.
“Perlis Hope tidak mengadakan sebarang aktiviti keagamaan
dan satu daripada peraturan kami menekankan tiada mesej agama dalam kumpulan
WhatsApp kami.”
Katanya, NGO itu tidak pernah dipanggil untuk memberi
penjelasan terhadap dakwaan itu dan Perlis Hope pernah bekerjasama dengan NGO
lain dan jabatan kerajaan sebelum surat itu diedarkan.
“Kami pernah bekerja dengan Jabatan Kesihatan Perlis untuk
membantu orang miskin dan sehari sebelum program itu, saya menerima panggilan
daripada pembantu pengarah jabatan yang memberitahu saya program itu
dibatalkan.
“Saya rasa mereka hanya salah faham terhadap niat kami. Kami
membatalkan program itu, tetapi masih mengagihkan pakaian sekolah di luar
lokasi penganjuran program itu di Kangar, Perlis.”
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "'Rozain' Terlibat Culik Amri, Kata Rakan Aktivis Hilang" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 25 Januari 2018)