Sabtu, 3 Februari 2018

Kenyataan Ku Nan Menghina dan Tak Berasas, Kata Pemimpin Gereja


PEMIMPIN gereja menyelar kenyataan Tengku Adnan Tengku Mansor -lebih dikenali sebagai Ku Nan- yang mengatakan gereja menjadi tempat penyebaran fitnah tentang kerajaan, menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan menyinggung.

Rev Dr Hermen Shastri dari Majlis Gereja Malaysia (CCM) berkata kenyataan kementerian itu mengejutkan dan menghina kerana penganut Kristian sebenarnya banyak menghabiskan masa berdoa untuk kesejahteraan negara dan pemimpin negara.

“Kenyataan ini tiada asas dan menimbulkan persoalan mengenai integriti rohani dan kesaksian gereja dalam menyampaikan iman yang tidak berbelah bahagi selaras dengan ajaran Injil seperti yang ada dalam kitab suci.

“Ia adalah penghinaan kepada gereja untuk seorang menteri mengesyaki yang tugas keagamaan kami ketika majlis bersembahyang adalah ‘penipuan’ kerana ia adalah isu (tuduhan) yang serius.

“Penganut Kristian percaya yang Injil menyentuh semua aspek kehidupan kerohanian, sosial, ekonomi dan politik orang Kristian dalam masyarakat,” kata Hermen, yang merupakan setiausaha agung CCM dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, menteri wilayah persekutuan itu telah menyinggung gereja yang berusaha mengajar penganut Kristian mengenai nilai murni untuk pembinaan negara.

“Beliau sepatutnya meraikan hakikat yang masyarakat beragama di negara kita mengajar pengikut mereka tentang keadilan, keamanan dan keharmonian yang membantu menjadikan negara kita sekarang,” tambah Hermen.

Katanya juga, sangat tidak wajar Ku Nan mengeluarkan “kenyataan menghina” ketika kerajaan sendiri mengiktiraf Minggu Harmoni Antara Agama Dunia yang disambut pada minggu pertama setiap Februari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam sebuah majlis kenduri di Titiwangsa, Kuala Lumpur awal hari ini, Ku Nan dalam ucapannya mengatakan gereja sepatutnya menjadi tempat “menyebarkan ajaran Tuhan” dan bukannya medan pemimpin gereja meluahkan ketidakpuasan peribadi mereka.

“Tuan-tuan baca di internet dan apa sahaja yang ditemui, dan tuan-tuan cerita di gereja.

“Kerana bila tuan-tuan pergi ke mana-mana, bila tuan-tuan bagi khutbah dan mengajar pada Ahad, ada banyak perkara yang disebut yang kadang kala tidak benar,” katanya.


Pengarah Centre for Religion and Society Rev Sivin Kit mengatakan Ku Nan sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih baik bagi menangani isu tersebut sekiranya wujud kejadian didakwanya.

Menteri itu boleh berjumpa dan berbincang dengan gereja berkenaan atau mengadakan dialog dengan pemimpin gereja berkenaan berbanding mengeluarkan kenyataan umum sebegitu.

“Kenyataan umum ini menyinggung, saya rasa kepada kepimpinan Kristian kerana kami tak terima arahan politikus mengenai apa yang perlu kami ajar.

“Tetapi saya fikir untuk guna kenduri sebagai tempat mengeluarkan kenyataan umum, ia membentuk perasaan tak senang dalam kalangan penganut Kristian serta masyarakat agama yang lain,” kata Kit kepada The Malaysian Insight. 

Katanya, kenduri sebagai aktiviti kemasyarakatan sepatutnya menyatukan rakyat tetapi malangnya kenyataan itu menyerang penganut Kristian negara ini.

“Ini sangat mengelirukan, bagaimana penganut Kristian ditarik ke depan tanpa wujudnya keperluan dan ia adalah dakwaan yang tidak adil apatah lagi tanpa bukti kukuh,” tambahnya.

Kit juga mengatakan beliau tidak pernah mendengar wujudnya aduan sesiapa mengenai khutbah disampaikan di gereja yang memburukkan nama kerajaan.

“Apa yang saya dengar adalah mesej tentang perlunya kita berdoa untuk negara.

“Ia adalah biasa bagi kami menerima berita yang kami perlu berdoa untuk isu politik dan korupsi, kes perundangan yang timbul sama ada ia kerana pilihan raya yang makin hampir, dan ini (doa) adalah amalan biasa,” kata Kit.

Apabila diminta mengulas lanjut pada sidang media selepas majlis itu, Ku Nan memberikan satu kisah berita palsu yang disebarkan menerusi khutbah Ahad di gereja melibatkan kenyataan media 

Pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy yang menuduh menteri itu “memperdaya masyarakat India” berkaitan pinjaman perumahan mampu milik ditawarkan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Ku Nan tidak memberikan nama gereja yang dikatakan menyebarkan berita palsu kenyataan Waytha atau bagaimana kementeriannya menyedari mengenai khutbah gereja yang menyebarkan berita itu.

Sementara itu di Sarawak, Ketua PKR Negeri Baru Bian mengatakan jika Ku Nan bercakap benar tentang gereja itu, kementerian sepatutnya menggunakan peruntukan perundangan untuk bertindak kepada sesiapa yang menyebarkan fitnah tentang kerajaan.

“Ada undang-undang di negara ini. Dakwa atau saman sesiapa sahaja yang menyebarkan fitnah di gereja. Gereja tidak mengajar fitnah,” kata Baru yang merupakan Adun Ba’Kelalan dan bekas pemimpin Sidang Injil Borneo (SIB).

Kata Baru lagi, Ku Nan nampaknya bercakap secara umum kerana beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang gereja yang didakwa menyebarkan fitnah itu.

“Ku Nan sepatutnya tak keluar kenyataan yang dia sendiri tak tahu. Dari mana dia dapat laporan itu?

“Kenyataan sebegini hanya akan menggalakkan penyokong BN membenci penganut Kristian.

“Dia terdesak. Dia tahu akar umbi menentang BN. Kerana itu dia cakap begitu,” kata Baru lagi.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing pula mengatakan beliau tidak tahu pemimpin gereja manakah yang mengeluarkan fitnah tentang kerajaan tetapi fitnah tidak mungkin diucapkan di rumah ibadat suci penganut Kristian itu.

“Rumah Tuhan bukanlah tempat untuk beritahu fitnah dan saya pasti semua penganut Kristian tahu itu.” – 3 Febuari, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Kenyataan Tok Nan Menghina dan Tak Berasas, Kata Pemimpin Gereja" yang ditulis oleh Asila Jalil & Desmond Davidson bertarikh 3 Februari 2018)