KEPALA BATAS 6 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Dr. Mujahid Yusof mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada
pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di sini, seperti
yang tular baru-baru ini.
Mujahid berkata, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau
telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang
(MAINPP); Jabatan Pendidikan negeri serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk
kesahihan.
Kata beliau, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil
daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun tidak mewakili gereja atau
persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.
Foto yang menjadi tular di media sosial yang mendakwa pengedaran Bible kepada pelajar sebuah sekolah di Pulau Pinang |
“Mereka perlu faham Artikel 11 (4) yang mana agama lain
bebas diamalkan tetapi tidak boleh didakwah kepada orang Islam," katanya
kepada pemberita, di sini hari ini.
Ditanya sama ada pihak berkuasa agama telah membuat laporan
polis berhubung kes itu, Mujahid berkata, perkara itu tidak dilakukan.
“Apa yang saya tahu, ia berada dalam pengetahuan pihak
polis," katanya.
(Diambil daripada artikel Utusan Online bertajuk, "Mujahid Sahkan Kes Edar Bible Kepada Pelajar Sekolah Di Pulau Pinang" yang ditulis oleh Mohd Firdaus Ismail bertarikh 6 November 2018)