Selasa, 22 April 2025

United Kingdom - Kehadiran Di Gereja Melonjak Naik Di Tengah Kelaparan Rohani dan Tekanan Kerajaan


Kehadiran gereja di United Kingdom telah melonjak naik lebih 50% dalam masa 6 tahun yang lepas - lonjakan yang mengejutkan yang tidak disangka oleh sesiapapun. Dan ianya bukan kerana publisiti yang menarik atau pastor terkenal. Ianya kerana orang ramai amat ingin untuk mencari makna dalam dunia yang rasanya sudah di luar kawalan.

Seperti dilaporkan oleh CBN News, Bible Society baru-baru ini telah mengeluarkan data bahawa bukan sahaja kehadiran gereja yang semakin menurun telah diterbalikkan, tetapi gereja-gereja telah menjadi semakin pelbagai bangsa dan muda.

Hampir separuh—47%—daripada rakyat British berkulit hitam yang berusia 18 hingga 34 tahun kini menghadiri gereja sekurang-kurangnya sebulan sekali. Dan di sekitar UK, sidang-sidang jemaat menyaksikan orang-orang yang dari pelbagai latar belakang budaya dan sosio-ekonomi yang berbeza, muncul kerana lapar akan sesuatu yang nyata dan benar.

Pastor utama Mark Pawson dari Palm Church di Glasgow berkata ianya bukan hanya sekadar bilangan—ianya adalah gerakan Tuhan yang tulen.

"Manusia sedang mencari makna," jelasnya. "Generasi sekarang memiliki akses kepada segalanya melalui media sosial, dan mereka mula menyedari bahawa tiada yang memuaskan jiwa. Jadi mereka tanya, 'Apakah gunanya semua ini?'"

Kebangunan rohani yang senyap ini terjadi sementara kerajaan UK meneruskan halangannya ke atas pernyataan iman di muka umum. Dari penahanan untuk doa senyap berdekatan klinik pengguguran kepada larangan penginjilan jalanan, mesej dari pihak berkuasa jelas: iman itu harus diamalkan di tempat tertutup. Tetapi yang sebaliknya berlaku. Orang semakin cenderung ke gereja, bukan menjauhinya. 

Menurut laporan yang sama, 31% orang-orang yang tidak pergi ke gereja di UK berkata mereka akan pergi ke gereja—jika ada saja orang yang mengundang mereka. Itu adalah kesempatan yang besar. 

Pastor Pawson menekankan bahawa apa yng diperlukan kini adalah keberanian. "Kita perlu kesempatan yang diatur Tuhan untuk mengundang orang, kekuatan untuk terus mengkhabarkan Injil, dan Roh Kudus untuk memberikan kita kata-kata yang tepat pada waktu yang tepat," katanya.

Pada waktu di mana kegelapan kelihatan  menguatkan genggamannya, cahaya kebangunan rohani mulai menembusi di tempat-tempat yang paling tidak disangka.


(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "Church Attendance Surges Amid Spiritual Hunger and Government Crackdowns" yang ditulis oleh James Lasher bertarikh 16 April 2025)