Selasa, 19 Februari 2013

Buku Baru "Billy Graham and Me" Dilancarkan (Edisi Siri Chicken Soup for the Soul)

Buku "Chicken Soup for the Soul,
Billy Graham and Me" (12 Feb 2013)
Pelayanan Billy Graham telah menjadi ramuan yang mujarab untuk jiwa jutaan orang di sekeliling dunia. Kini dunia kesusasteraan memberi penghargaan kembali kepada penginjil tersayang berusia 94 tahun ini.

Chicken Soup for the Soul, jenama penerbitan buku-buku best-seller berunsur inspirasi, baru-baru ini melancarkan edisi terbarunya, Chicken Soup for the Soul, Billy Graham and Me. Buku itu memuatkan 101 kisah peribadi yang menarik dari para selebriti, tokoh-tokoh politik, para atlet dan lain-lain yang pernah mengalami pengalaman hidup atau persahabatan dengan pemimpin rohani yang kemungkinan paling penting zaman ini.



Siri The Chicken Soup for the Soul telah menjual lebih daripada 100 juta naskah di Amerika Syarikat dan Kanada sejak diperkenalkan pada 1993. USA Today telah menamakan Chicken Soup for the Soul  salah satu daripada lima buku paling berkesan dan berimpak dalam suku abad terakhir.


Billy Graham - lebih 60 tahun dalam pelayanan,
bersara pada usia 89 tahun pada 2006

Graham akan merayakan harijadinya yang ke-95 pada bulan November. Setelah lebih daripada 60 tahun dalam pelayanan, dia telah bersara pada 2006 pada usia 89 tahun.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah 20 tahun siri itu di mana sebuah buku Chicken Soup for the Soul telah didedikasikan untuk memberi penghormatan kepada seorang peribadi. Naskah edisi khas berkulit tebal telah dilancarkan pada minggu ini.

Bekas Presiden Amerika,
George W. Bush turut
menyumbang kisahnya
Graham telah mempengaruhi ramai presiden Amerika Syarikat dan pemimpin dunia, termasuk semua presiden Amerika Syarikat yang masih hidup. Presiden George W. Bush mengatakan bahawa dia bukanlah seorang pengikut Yesus yang benar-benar sehinggalah dia bertemu dengan Graham pada 1985.

"Aku tertarik dengan Billy," kata Bush dalam buku itu. "Kehadirannya sungguh menawan, penuh dengan kebaikan dan kasih karunia, dan juga pemikiran yang tajam. Dengan caranya yang lembut dan penuh kasih, Billy mula memperdalamkan pemahamanku yang cetek tentang iman."

Pemimpin-pemimpin agama Kristian dan bukan Kristian yang telah menerima impak daripada Graham dan pelayanannya memberikan penghargaan yang bersungguh-sungguh kepada warga asal North Carolina itu dalam buku tersebut. Joel Osteen, Tim Keller, Mark Batterson, Jud Wilhite, Miles McPherson, Rabbi Yechiel Eckstein, Cardinal Timothy Dolan dan aktivis Afrika Selatan, Ela Gandhi telah membicarakan tentang pengaruh Graham secara rohani di sekeliling dunia.

Pastor Rick Warren
Penulis buku best-seller dan pastor senior Saddleback Church di Lake Forest, California, Rick Warren, mengatakan mengenai Graham dalam Chicken Soup for the Soul, "Billy telah menjadi pertama dan terutamanya seorang pengkhabar Injil. Tetapi rapat di tempat kedua, dia telah sentiasa menjadi seorang pendorong kepada pemimpin-pemimpin Kristian.... Sambil aku mengembara dunia, aku bertemu hamba-hamba Tuhan di merata tempat yang telah didorong secara peribadi oleh Billy Graham."

Billy Graham telah mengundang Martin Luther
King Jr untuk berkhutbah bersamanya
Sepanjang karirnya, Graham telah menjadi perintis di antara penginjil-penginjil yang menolak segregasi (pemisahan antara kaum) dan menggalakkan Gerakan Civil Rights (yang memperjuangkan hak serata antara kaum). Pada 1957, dia telah membawa seorang pengkhutbah Amerika berketurunan Afrika, yang ketika itu belum dikenali ramai, bernama Martin Luther King Jr., untuk berkhutbah bersama dengannya pada rapat umum di Madison Square Garden di New York City.

"Billy Graham tidak memperdulikan tentangan yang akan dihadapinya daripada ramai orang oleh kerana hal itu," kata Dr. Alveda King, anak saudara Martin Luther King Jr. "Dia tahu bahawa dia akan mengalami tindakbalas dari perkara itu, tetapi dia tidak berganjak. Tuhan berkati Billy Graham kerana mengizinkan pakcikku berkhutbah pada waktu itu."

Dalam pelayanannya selama 60 tahun,
Billy Graham telah berkhutbah kepada
jutaan orang melalui rapat umum atau
melalui siaran radio dan televisyen
Presiden Bill Clinton menyaksikan Billy Graham secara langsung untuk pertama kalinya semasa rapat umum di Fayetteville, Arkansas, pada tahun 1958, rapat umum di mana Clinton menjelaskan bahawa pemimpin-pemimpin gereja berkulit putih mencadangkan agar Graham menghadkan kepada orang kulit putih sahaja. Graham tentu sekalinya menolak cadangan itu.

"Dia katakan bahawa semua orang berhak mendengar Firman Tuhan, dan jika dia tidak dapat berkhutbah kepada semua orang, dia langsung tidak akan berkhutbah," kata Clinton dalam buku itu. 

Billy Graham - tokoh
penginjil yang dihormati
Para selebriti lain yang telah menyampaikan kisah mereka mengenai Graham dalam kompilasi ini termasuklah artis dunia hiburan Wynonna Judd, Cheryl Ladd, Kathy Ireland, Kathie Lee Gifford dan Charlie Daniels; Danny Wuerfel (bekas pemenang Piala Heisman) dan Justin Allgaier (pemandu NASCAR); personaliti media Dan Rather dan Larry King. 

Ramai yang telah menyebut tentang integriti dan kerendahan hatinya yang tak bercacat-cela, yang merupakan ciri penting dalam pelayanannya seumur hidup.


(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine berjudul "Billy Graham Featured in Chicken Soup for the Soul" bertarikh 15 Feb 2013 penulisan Shawn A. Akers)