Isnin, 8 Ogos 2016

Jatuh Bangkit Michael Phelps - Pemenang Pingat Terbanyak Dalam Sejarah Olimpik

Michael Phelps membawa bendera Amerika Syarikat dalam acara pembukaan Olimpik Rio 2016

Sebagai pemenang pingat paling banyak di Olimpik di antara semua sukan untuk sepanjang masa, perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps telah membawa bendera Amerika Syarikat pada Jumaat malam dalam perarakan peserta-peserta Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Tetapi dia juga membawa unsur-unsur lain yang sangat peribadi ke Olimpiknya yang kelima. Dia sedang menikmati acara yang gemilang ini selepas melalui waktu yang sangat gelap dalam hidupnya yang kemudiannya dia telah mendedahkan bahawa buku Rick Warren, The Purpose Driven Life telah mengalihkannya dari membunuh diri. 

Phelps mendedahkan dalam sebuah dokumentari ESPN bahwa dia telah memikirkan untuk mengambil nyawanya sendiri pada 2014, walau pun selepas kejayaannya yang luar biasa. Dia bukan saja memegang rekod pingat terbanyak secara keseluruhan dengan 22 pingat (yang kedua paling banyak ialah 18), tetapi juga rekod pingat emas terbanyak dengan jumlah 18 (yang kedua paling banyak hanyalah 9), begitu dilaporkan Churchpop.

Ayah Phelps telah meninggalkan keluarganya ketika Phelps berusia 9 tahun, sesuatu hal yang terus menghantuinya sampai dia dewasa. Dia juga mempunyai satu cabaran yang berpunca daripada tiada halatuju selepas dia bersara dari acara renang selepas Olimpik London 2012. Sukan renang telah menguasai hidupnya sejak dia kanak-kanak, dan setelah semuanya selesai, dia berkata dia tidak tahu apa untuk dilakukan dalam hidupnya. 


Michael Phelps dengan pingat emas di Olimpik London 2012

Jadi perenang itu menerjunkan dirinya dalam berpesta, dan pada waktu yang sama mengasingkan dirinya daripada ahli-ahli keluarga dan jurulatih lamanya. "Saya terfikir bahawa ianya sedang menuju ke arah di mana sesuatu yang sangat buruk akan berlaku," jurulatihnya Bob Bowman memberitahu ESPN. Ianya memang terjadi seperti itu: pada 30 September 2014, Phelps telah diberhentikan polis dan disaman kerana memandu ketika mabuk, menjadikan kesnya yang kedua memandu sambil mabuk dalam masa 10 tahun.  

Phelps mengambil keputusan untuk kembali ke sukan renang pada 2014, tetapi telah digugurkan daripada pasukan Amerika Syarikat untuk Kejohanan Aquatik Dunia 2015 kerana kesnya memandu ketika mabuk. 

Untuk lima hari yang berikutnya, Phelps berkata dia terbaring di bilik tidurnya. "Untuk satu ketika saya berfikir bahawa ianya adalah penghujung hidup saya, kerana saya berfikir, 'Berapa kalikah saya akan membuat hal lagi', saya berfikir, dunia mungkin lebih baik tanpa saya."

"Saya tidak keluar dari bilik saya, saya tidak makan, saya tidak seberapa tidur. Saya mengira bahawa cara yang terbaik adalah untuk menamatkan nyawa saya," dia mengingat kembali.

Buku "The Purpose Driven Life"
Kawannya, Ray Lewis, seorang bekas pemain NFL, pada waktu itu muncul untuk menggalakkan Phelps untuk mendapatkan bantuan di sebuah pusat pemulihan, dan juga memberikannya sebuah buku: The Purpose Driven Life oleh pastor megachurch Baptis, Rick Warren. 

Selepas memasuki pusat pemulihan, Phelps mula membaca buku itu - dan ianya mengubah hidupnya.

Cuma beberapa hari di pusat pemulihan, Lewis berkata Phelps menelefonnya untuk bercerita mengenai buku itu. "Wah, buku ini hebat," Lewis berkata Phelps memberitahunya, "Terima kasih yang tak terhingga, kawanku. Kau telah selamatkan nyawaku."

Buku itu menjadikan Phelps lebih menyedari akan Tuhan, menurut apa yang dia beritahu kepada ESPN: "Ianya telah membuat saya percaya bahawa ada kuasa yang lebih besar daripada saya, dan bahawa ada tujuan untuk saya di bumi ini. Ianya membantu saya ketika saya dalam keadaan paling memerlukan pertolongan."

Tambahan lagi, buku itu dan tempohnya di pusat pemulihan telah menyakinkan Phelps untuk cuba memulihkan semula hubungan dengan ayahnya, yang mana dia telah dapat lakukan. 

Video: Kisah Jatuh Bangkit Michael Phelps



Kini Michael Phelps sedang mengambil bahagian di Rio 2016 dalam Kejohanan Olimpiknya yang kelima dan terakhir. 

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "Olympian Michael Phelps Divulges 'Purpose Driven Life' Saved Him From Suicide, Revealed God" yang ditulis oleh Julie Brown Patton bertarikh 6 Ogos 2016)