Sabtu, 1 Oktober 2016

Wanita Sabah Derma Lebih Separuh Dari Hati Untuk Selamatkan Cikgunya

Marie Christie Robert yang telah menderma 61% dari hatinya untuk Cikgu Cheong

PETALING JAYA: Bukannya setiap hari ada orang yang rela memberikan lebih daripada separuh bahagian organnya yang penting untuk menyelamatkan nyawa seorang yang lain, lebih-lebih lagi jika orang itu bukan dari keluarga terdekat.

Namun begitu bagi wanita Sabah berusia 27 tahun, Marie Christie Robert, keputusan itu dibuat dengan rela hati oleh kerana penerimanya adalah seorang bekas guru yang disayanginya kerana komitmennya yang kuat untuk membantunya lulus Matematik di sekolah.

Cikgu Cheong
Menurut laporan akhbar The Star hari ini, Marie telah menderma 61% daripada hatinya untuk Cheong Siew Hua, yang hatinya kehilangan fungsi disebabkan jangkitan Hepatitis B.

Keadaan Cheong semakin terdesak setelah doktor-doktor menolak penderma sebelumnya, kakak Cheong sendiri, atas sebab-sebab kesihatan.

Pada lebih kurang waktu itulah Marie telah berhubung dengan keluarga Cheong dan dengan sukarela menawarkan untuk menderma sebahagian hatinya untuk menyelamatkan nyawa guru yang disayanginya.

Bercakap dengan akhbar harian Bahasa Inggeris itu, Marie mengatakan bagaimana dia terhutang budi kepada Cheong, yang dipanggilnya "Cikgu Cheong", yang telah berusaha tanpa mengenal lelah untuk membantunya menjadi pelajar yang lebih baik di sekolah (SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang).

"Ketika saya berusia 13 tahun, saya sering gagal dalam Matematik, tetapi Cikgu Cheong selalu menasihati saya, memberi saya kelas tambahan, supaya saya dapat lulus dengan sekurang-kurangnya C.

Ketika saya mengambil peperiksaan SPM, saya telah mendapat 5A dan 4B. Saya lulus dalam Matematik. Itulah sebabnya saya sentiasa akan mengingati usahanya untuk mengajar saya," dia dilaporkan mengatakan demikian.

Saya tahu dalam hati saya bahawa saya perlu selamatkan nyawa seseorang. Sukar untuk menerangkan kenapa saya melakukannya, saya tahu tidak ada orang yang akan memahami saya. Saya hanya ada Tuhan bersama saya, apabila saya membuat keputusan. Saya menyerahkannya 100 peratus kepada Yang Maha Kuasa." - Marie Christie Robert, seperti dilaporkan Daily Express, 31 Ogos 2016)    

Marie Christie dengan suaminya, Chin Chee Ken
(Foto: Daily Express, 31 Ogos 2016) 

Suami Marie pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusannya, tetapi akhirnya mengalah apabila melihat betapa dia bertekad untuk mendermakan sebahagian daripada organnya.

Bagi keluarga Cheong, keputusan Marie yang tepat pada masanya adalah jawapan dari syurga.

"Dia (Marie) adalah malaikat bagi keluarga kami. Dia telah menyebabkan mukjizat terjadi," begitu kata anak Cikgu Cheong, Khung Merng.

Keratan akhbar The Star 30 Sep 2016
Pembedahan pertukaran organ itu, yang memerlukan perbelanjaan RM690,000, telah dijalankan di Hospital Hualien Tzu Chi di Taiwan pada 27 April tahun ini, menurut laporan itu.

Selepas hanya lebih sebulan, Marie telah kembali bekerja sebagai seorang perunding jualan di bahagian hartanah Kumpulan Hap Seng di Kota Kinabalu, Sabah.

Majikan Marie juga memainkan peranan mereka untuk membantu Cheong dengan menyumbangkan derma yang besar untuk kos pembedahan itu.

Sementara keluarga Cheong telah mengumpulkan dana RM120,000, Kumpulan Hap Seng turut membantu dalam bahagian yang selebihnya sebagai sebahagian daripada Corporate Social Responsiblity/Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.


(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today yang bertajuk, "Woman Donates Huge Part of Liver to Save Teacher's Life" bertarikh 30 September 2016)