Jumaat, 23 Disember 2016

Mengapa 25 Disember?

Oleh Elesha Coffman:

Memang amat sukar bagi kita di Amerika Utara untuk membayangkan Yusuf dan Maria dalam perjalanan penuh lelah bukan pada "pertengahan musim sejuk yang tandus" seperti yang diceritakan oleh Christina Rosetti, "dikelingi dengan salji, salji dan salji." Bagi kita Krismas dan Disember tidak dapat dipisahkan. Tetapi untuk tiga abad pertama Kekristianan, Krismas bukan di Disember, atau mana-mana di kalendar. 

Jika dirayakan pun pada waktu itu, perayaan kelahiran Kristus biasanya digabungkan dengan hari Epiphany (6 Januari), salah satu perayaan yang paling awal diamalkan oleh gereja. Sebilangan pemimpin gereja sampai menentang idea merayakan kelahiran. Origen (kira-kira Tahun Masihi 185-254) berkhutbah bahawa ianya salah untuk memuliakan Kristus dengan cara yang sama Firaun dan Herodes dimuliakan. Baginya harijadi adalah untuk dewa-dewa pagan. 

Bukan semua yang seangkatan dengan Origen berpendapat bahawa harijadi Kristus tidak harus dirayakan, dan sebilangan daripada mereka mula membuat spekulasi mengenai tarikhnya (rekod sebenar sudah lama hilang). Clement Alexanderia (kira-kira Tahun Masihi 150-215) cenderung kepada 20 Mei tetapi mencatit bahawa orang-orang lain telah berhujah untuk tarikh 18, April, 19 April dan 28 Mei. Hippolytus (kira-kira Tahun Masihi 170-236 memperjuangkan 2 Januari. Manakala 17 November, 20 November dan 25 Mac semuanya juga mempunyai penyokong-penyokongnya. Satu penulisan Latin yang ditulis sekitar Tahun Masihi 243 meletakkan 21 Mac, sebab itu dipercayai tarikh Tuhan menciptakan matahari. Polycarp (kira-kira Tahun Masihi 69-155) telah mengikut cara pemikiran yang sama dan membuat kesimpulan bahawa kelahiran Kristus dan baptisannya kemungkinan besar telah berlaku pada hari Rabu, sebab matahari telah dicipta pada hari keempat.

Akhirnya pilihan untuk 25 Disember, yang telah dibuat mungkin seawal Tahun Masihi 273, mencerminkan pertembungan antara kebimbangan Origen mengenai dewa-dewa pagan dan identifikasi gereja berkenaan anak Allah dengan mentari di langit. 25 Disember sudah digunakan oleh dua perayaan yang berkaitan: natalis solis invicti ("kelahiran matahari yang unggul" orang-orang Rom), dan harijadi Mithras, "Matahari Kebenaran" orang-orang Iran yang disembah secara popular oleh askar-askar Rom. Solstis musim sejuk, satu lagi perayaan mengenai matahari dirayakan cuma beberapa hari sebelumnya. Melihat bahawa orang-orang pagan sudah pun menyembah dewa-dewa yang memiliki beberapa persamaan dengan Tuhan yang benar, pemimpin-pemimpin gereja membuat keputusan untuk mengambil alih tarikh itu dan memperkenalkan perayaan baru.

Orang-orang Kristian wilayah Barat pertama kali merayakan Krismas pada 25 Disember Tahun Masihi 336, selepas Maharaja Constantine telah mengisytiharkan bahawa Kristianiti adalah agama pilihan empayar itu. Gereja-gereja wilayah Timur, bagaimanapun, terus berpegang pada 6 Januari sebagai tarikh kelahiran Kristus dan baptisannya. Kebanyakan umat wilayah Timur akhirnya menerima 25 Disember, merayakan kelahiran Kristus pada tarikh yang lebih awal itu dan baptisannya pada tarikh yang terkemudian itu, tetapi gereja Armenia merayakan kelahirannya pada 6 Januari. Gereja wilayah Barat pula merayakan Epiphany pada 6 Januari, tetapi sebagai tarikh ketibaan orang-orang majus dan bukan tarikh baptisan Kristus.

Satu lagi faktor telah ditambah pada abad ke-16 ketika Paus Gregory merangka kalendar baru, yang telah diterima secara tidak seragam. Gereja Ortodoks Timur dan sebilangan Protestan telah mengekalkan kalendar Julian, yang bererti bahawa mereka merayakan Krismas 13 hari lebih lewat daripada gereja-gereja yang mengamalkan kalendar Gregorian. Kebanyakan - tetapi tidak semua - dunia Kristian kini menerima kalendar Gregorian dan tarikh 25 Disember itu.

Asal-usul pagan tarikh Krismas itu, dan juga asal-usul untuk banyak amalan Krismas (pemberian hadiah dan berpesta dari Saturnalia orang-orang Rom; kehijauan, lampu-lampu dan kebajikan dari Tahun Baru Rom, kayu Yule dan pelbagai makanan daripada perayaan-perayaan orang-orang Teuton), telah memberi kekuatan kepada hujah menentang hari perayaan itu. "Ianya hanyalah paganisme yang dibalut dengan tali riben Kristian," begitu dikatakan mereka yang menentangnya. Tetapi sementara perbuatan tunduk kepada keduniawian semestinya adalah perkara yang dipandang berat oleh orang-orang Kristian, gereja secara umumnya melihat usaha-usaha membentuk semula budaya - termasuk hari-hari perayaan - secara positif. Seperti yang ditegaskan oleh seorang ahli teologia pada tahun 320, "Kami berpegang bahawa tarikh ini suci, bukan seperti orang-orang pagan kerana kelahiran matahari, tetapi kerana Dia yang telah menciptakannya (matahari)."

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk "Why December 25?" yang ditulis oleh Elesha Coffman bertarikh 8 Ogos 2008)