PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan
menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain yang hilang tahun
lepas.
Pengerusi Tan Razali Ismail dalam kenyataan hari ini berkata
masih banyak yang perlu dilakukan dalam kes Raymond, Amri Che Mat, Pastor
Joshua Hilmy dan isteri Ruth Hilmy.
“Semua mangsa dan keluarga terlibat mempunyai hak untuk
mengetahui apakah sebenarnya berlaku, hak akses yang berkesan bagi mendapatkan
keadilan serta hak memperolehi pampasan,” katanya.
“Hak untuk mengetahui kebenaran merupakan asas isu ini yang
dimensi secara individu dan menyeluruh. Orang awam berhak untuk mengetahui
tentang keadaan orang yang hilang.”
Koh, 62, diculik dari keretanya oleh sekumpulan lebih 10
orang lelaki yang berkonvoi pada 13 Februari lepas.
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan sekurang-kurangnya
3 SUV hitam terlibat dalam penculikan itu. Ramai berspekulasi penculikan itu
ada kaitan dengan cubaan menyebarkan agama Kristian, walaupun keluarganya
menafikan dakwaan itu.
Aktivis sosial Amri, 44, pengasas bersama persatuan
kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November lepas.
Isterinya, Norhayati Ariffin berkata saksi berkata 5
kenderaan menghalang laluan kereta Amri sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira
550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.
Sementara Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30
November tahun lepas.
Suhakam menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan dan penting tampil supaya kenyataan mereka boleh dirakam mulai hari ini sehingga 7 Julai.
Kenyataan juga boleh dirakam melalui telefon dengan
menghubungi bahagian aduan Suhakam di talian 019-3338490.
“Berdasarkan maklumat berkaitan yang diperolehi daripada
orang awam dan hasil siasatan Suhakam yang berterusan, Suhakam akan menggunakan
segala maklumat yang diperolehi ini untuk tidakan selanjutnya,” katanya.
Suhakam juga menyeru pihak berkuasa untuk “menyiasat
sepenuhnya semua kes dengan segera” jika terdapat keraguan munasabah tentang
kemungkinan berlakunya kehilangan secara paksa.
Suruhanjaya berkata kebolehsediaan maklumat berhubung isu
berkepentingan awam penting bagi masyarakat demokratik yang mengiktiraf
ketelusan.