Lebih 12,000 orang telah tandatangan petisyen dalam tempoh 24 jam untuk mendesak nama Sekolah St Thomas dikekalkan (cetakan skrin change.org, 29-11-17) |
Oleh Jahabar Sadiq:
HAMPIR 20 tahun lalu, St Mary's School memulakan operasinya
di Taman Intan Baiduri, jauh dari lokasi asalnya di Jalan Tengah, Kuala Lumpur
ketika ia diasaskan pada 1912.
Pembangunan pesat Kuala Lumpur bermakna tapak sekolah itu
bernilai dan dijual kepada pemaju yang kemudiannya membina kondominium mewah di
situ.
Tetapi sekolah itu mengekalkan namanya, dan seperti
kebiasaannya, ia kini dikenali sebagai Sekolah St Mary.
Beberapa sekolah mubaligh lain juga sudah dinamakan semula,
menukar nama Inggeris kepada Bahasa Malaysia. Namun tidak St John's Institution
dan Victoria Institution yang diaibkan dengan ditukarkan menjadi sekolah
menengah.
Kedua-duanya kemudian mendapat nama asalnya dua tahun lalu,
terima kasih kepada alumni dan mereka yang dalam kerajaan yang nampak nilai
mengekalkan nama lamanya.
Namun, akal budi itu tidak ternampak dalam cerita St. Thomas School di Kuantan.
Sekolah itu akan dipindah dan diberi nama baru, memadamkan
sejarah 67 tahunnya, sama seperti nasib Bukit Bintang Girls School ketika ia
dipindahkan dan diberi nama lain selepas tegak berdiri selama 107 tahun.
Apakah ini juga nasib yang akan menimpa sekolah mubaligh
lain? Mungkin La Salle Petaling Jaya akan dinamakan Sekolah Menengah Jalan
Chantek atau Assunta Convent ditukar nama kepada
Sekolah Menengah Perempuan
Petaling Jaya?
Di manakah akhirnya kegilaan ini? Di manakah sejarah dan
tradisi sekolah-sekolah itu berakhir dan yang baru dipaksakan ke atas pelajar
yang merasakan nama sekolah boleh ditukar ganti sama seperti nilai di Malaysia
hari ini?
Lebih 12,000 orang sudah menandatangani petisyen dalam
tempoh 24 jam lalu mendesak nama St Thomas dikekalkan di sekolah itu. Pihak
yang berkuasa perlu menimbangkan desakan ini dan tidak meneruskan cadangan
menukar nama sekolah itu walaupun ia akan berpindah.
Apatah lagi, ia sekolah yang sama. Sama seperti Bukit
Bintang Girls School seharusnya mengekalkan namanya dan bukannya dipanggil Seri
Bintang. Apakah lepasan pelajarnya ada apa-apa perasaan terhadap sekolah itu
atau kesal akan kehilangan sekolah mereka yang kini jadi pusat membeli belah?
Sejarah dan tradisi serta nama melampaui bangunan dan tapak.
Tidak ada apa-apa keperluan untuk menukar nama sekolah sekiranya mereka
dipindahkan.
Kalau begitulah halnya, barangkali ini masanya badan agama
atau persatuan bekas pelajar memisahkan diri daripada kerajaan dan
mengendalikan sekolah berkenaan kerana semakin jelas kerajaan atau
hulubalangnya tidak boleh dipercayai untuk menerajui sekolah mubaligh.
Sekolah ini adalah katalis perubahan negara sejak
penubuhannya sampai sekarang. Memadamkan sejarahnya adalah satu penganiayaan
kepada usaha-usahanya mendidik rakyat dari pelbagai latar belakang masyarakat
untuk memajukan negara merdeka ini mengikut peredaran zaman.
Menamakannya dengan nama yang lain adalah sesuatu yang
sangat tidak adil terhadap apa yang sudah mereka lakukan untuk rakyat Malaysia.
Mungkin mereka yang berkuasa mempunyai ingatan sejarah yang
lemah tetapi mereka tegak di atas susah payah orang yang terdahulu, biarpun
mereka terus menulis semula sejarah itu.
Sama seperti mana kita kini berdiri megah atas usaha gigih
mubaligh yang datang ke mari mendidik kita. Setidak-tidaknya, mengekalkan nama
sekolah itu adalah penghormatan yang boleh kita berikan kepada sistem sekolah
mubaligh dan guru-gurunya yang sudah mendidik kita dengan baik. – 29 November,
2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Ada Apa Dengan Nama Sekolah Mubaligh" yang ditulis oleh Jahabar Sadiq bertarikh 29 November 2017)