PETALING JAYA: Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (CAGED)
sambut baik pelantikan Azian Umar dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
dan pengamal bebas undang-undang, Tan Kor Mee ke pasukan petugas khas yang
ditubuhkan untuk menyiasat dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tentang
kehilangan aktivis Amri Che Mat, dan pastor, Raymond Koh.
CAGED bagaimanapun khuatir kenyataan Kementerian Dalam
Negeri mengumumkan pelantikan itu tidak mengandungi terma-terma rujukan.
“Tugas pasukan petugas itu bukan untuk menyelidik laporan
panel Suhakam.
“Tugas pasukan petugas itu adalah untuk melakukan apa yang
polis tidak lakukan iaitu mendedahkan apa yang ditutup polis dan memastikan
tindakan diambil terhadap anggota-anggota yang jahat.”
CAGED berkata kenyataan itu juga tidak menyentuh mengenai
percanggahan kepentingan melibatkan Pengerusi Rahim Uda dan Pengarah Jabatan
Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Zamri Yahya.
Rahim Uda adalah seorang hakim bersara yang ditugaskan untuk
mengetuai pasukan itu.
CAGED tidak berpuas hati dengan penjelasan KDN tentang
keperluan Zamri dalam pasukan itu, iaitu bagi memastikan kerjasama
anggota-anggota polis.
Zamri satu-satunya pegawai polis dalam pasukan itu.
“Zamri pihak yang berkepentingan kerana beliau sepatutnya
menyiasat 5 isu yang berpotensi sebagai salah laku oleh 8 pegawai dalam inkuiri
Suhakam,” katanya.
CAGED berharap KDN akan berbincang dengan NGO dan
pihak-pihak yang pernah bercakap mengenai isu ini sebelum mengeluarkan sebarang
kenyataan mengenai perkara itu.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "CAGED Sambut Baik Pelantikan Orang Baru Ke Pasukan Siasat Kehilangan Amri, Koh" bertarikh 10 Julai 2019)