Dalam lapan tahun ini, saya telah mendapati 3M yang telah banyak membantu saya dalam penulisan blog.
1) Matlamat yang jelas
Setiap penulis blog pasti mempunyai matlamatnya yang tersendiri samada disedari atau tidak. Bagi saya, matlamat saya adalah:
"Menyediakan bahan bacaan Kristian dalam bahasa yang mudah difahami."
Saya menyedari bahawa sudah terdapat banyak laman web Kristian dalam Bahasa Indonesia. Namun begitu, pasti sahaja terdapat banyak ejaan dan kata-kata bahasa Indonesia yang kurang difahami oleh orang-orang Kristian di Malaysia. Oleh itu saya tergerak untuk menulis blog ini untuk menambahkan bahan bacaan dalam bahasa yang mudah difahami oleh khususnya pemuda-pemudi Kristian di Malaysia.
2) Maklumat yang jelas
Seiring dengan matlamat yang telah dinyatakan tadi, saya selalu berusaha menyampaikan maklumat dengan jelas dan ringkas. Saya menyedari bahawa para pembaca tidak suka membaca artikel yang terlalu panjang dan sukar difahami.
Saya sentiasa mencari bahan-bahan Kristian yang bagus (kebanyakannya dari Bahasa Inggeris) yang mudah dibaca dan difahami untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.
Apabila kita meneliti ajaran-ajaran Yesus, kita akan dapati banyak ajaran-ajaran-Nya dalam bahasa yang mudah difahami dan disampaikan dengan ringkas dan jelas.
3) Maklum balas yang jelas
3) Maklum balas yang jelas
Saya mengakui bahawa media sosial telah banyak membantu saya dalam penulisan blog. Selain daripada membantu saya menyebarkan maklumat mengenai artikel-artikel di blog ini (suatu fungsi yang amat penting!), media sosial juga telah banyak membantu saya untuk mendapat maklum balas mengenai blog ini.
Saya sering menggunakan Facebook dan ianya dengan cepat memberikan saya maklum balas mengenai artikel-artikel yang saya poskan di situ. Saya akan tahu dengan cepat artikel-artikel yang paling popular dan disukai oleh pembaca (itulah kuasa dari Like Button!) dan kadang kala juga menerima ulasan dan komen dari pembaca.
Selain itu aplikasi Blogger juga memberikan jumlah paparan halaman (page view) yang diperolehi oleh setiap artikel. Pasti saja artikel yang mendapat paparan halaman yang tinggi itu popular sebab lebih kerap dibaca, disukai dan dikongsikan oleh para pembaca.
Saya cuba tidak dikuasai oleh angka Like dan bilangan jumlah paparan di blog, tetapi saya tidak dapat nafikan bahawa maklum balas yang jelas dari pembaca telah banyak memberi dorongan kepada saya untuk menulis sehingga ke hari ini.
Itulah 3M yang telah banyak membantu saya dalam penulisan blog selama ini. Segala kepujian kepada Tuhan yang telah menjadi tunggak kekuatan serta sumber inspirasi sepanjang lapan tahun ini!
"Sebab segala sesuatu adalah dari Dia, dan oleh Dia, dan kepada Dia: Bagi Dialah kemuliaan sampai selama-lamanya!" (Roma 11:36)