KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) telah menafikan hari ini dakwaan oleh gabungan kumpulan-kumpulan Melayu-Islam bahawa ianya berusaha menempatkan seramai Kristian yang mungkin di kalangan kepimpinan politik negara.
Pengerusinya Bishop Besar, Julian Leow Beng Kim berkata CFM tidak mempunyai kuasa melakukan itu dalam sebuah negara demokratik, dan kini sedang mendapatkan nasihat guaman terhadap Gerakan Pembela Ummah berkenaan serangan yang tidak patut ke atas nama dan reputasi CFM.
"Malaysia adalah negara demokrasi dan pemimpin-pemimpinnya dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum. CFM kesal dengan percubaan yang memalukan ini untuk membangkitkan rasa tidak puas dan tidak senang hati serta untuk mempromosikan sakit hati dan permusuhan di kalangan rakyat Malaysia," dia berkata dalam satu kenyataan.
Leow, yang juga adalah Bishop Besar Roman Katolik Kuala Lumpur, berkata CFM dengan tegas menolak dakwaan palsu yang dilakukan oleh pengerusi Ummah dan Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya dalam ucapan pembukaannya semasa Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional pada hari Ahad.
"Pada ketika di mana Malaysia sedang bersiap merayakan ulang tahun ke-62 Merdeka dan ulang tahun ke-56 kelahiran Malaysia dan kerajaannya dengan mengamalkan dan mempromosikan keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia, adalah sesuatu yang memeranjatkan bahawa polemik yang bersifat fitnah telah dilancarkan untuk memecah-belahkan dan menghasut.
"Sejak kewujudannya, CFM telah secara konsisten berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang, dan tanpa gagal mempromosikan keharmornian dan kesatuan di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan semua untuk bekerjasama demi kebaikan bersama serta untuk mengambil bahagian, sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan pemegang kepentingan bersama, dalam semua bidang pembangunan, ekonomi dan politik untuk membina negara," katanya.
Leow berkata CFM telah dengan setia mengingati Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan negeri, dan kerajaan-kerajaan Persekutuan dan negeri dalam doa-doanya, serta menyeru kepada masyarakat Kristian untuk melakukan hal yang sama.
Dalam ucapan pembukaannya semasa Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional pada hari Ahad, Aminuddin telah mendakwa bahawa salah satu resolusi CFM adalah untuk menempatkan seramai Kristian yang mungkin dalam kedudukan kepimpinan nasional, sebagai sebahagian daripada usaha evangelikalnya.
Dia juga telah menamakan penginjilan Kristian sebagai salah satu ancaman besar kepada masyarakat majoriti Melayu-Islam bersama dengan liberalisme dan hak-hak kemanusiaan, dan menuduh penginjil-penginjil Kristian sebagai semakin berani menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.
Komen-komennya telah dikritik oleh sebuah pertubuhan Kristian yang lain, Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM), dengan setiausaha agungnya, Reverend Hermen Shastri mendesak tindakan diambil terhadap Ummah kerana menggagalkan hubungan antara agama di negara ini.
Kenyataan-kenyataan Ummah telah timbul sambil Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan akan ketegangan yang semakin meningkat oleh kerana isu-isu berkaitan bangsa. agama dan raja.
Menteri Dalam Negeri itu berkata dia telah mengarahkan polis untuk mengambil perhatian ke atas isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh sesiapapun termasuk tokoh-tokoh agama.
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Malay Mail bertajuk, "How Do We Even Do That? Group Asks After Christians Accused Of Infiltrating Putrajaya" yang ditulis oleh Jerry Choong bertarikh 27 Ogos 2019)
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Malay Mail bertajuk, "How Do We Even Do That? Group Asks After Christians Accused Of Infiltrating Putrajaya" yang ditulis oleh Jerry Choong bertarikh 27 Ogos 2019)