Jumaat, 13 September 2019

Lelaki Terkejut Pasu Yang Dibelinya Dengan RM5 Adalah Dulu Milik Seorang Maharaja China


Beberapa hari lalu, saya terbaca berita ini di suratkhabar The Star:

Seorang lelaki Britain terkejut besar apabila pasu yang telah dibelinya di kedai jimat cermat dengan harga 1 paun (RM5) rupa-rupanya bernilai 80 ribu paun (RM413,424) sebab ianya dulu dimiliki oleh seorang maharaja China, begitu dilaporkan Oriental Daily. 

Pasu berukuran 20cm itu memaparkan dua cap mohor merah yang menyatakan "cap tanda Maharaja Qianlong sendiri", yang bermakna ianya telah dibuat atas suruhan maharaja itu sendiri. 


Para pakar di Sworders Fine Art Auctioners di Essex, Britain meletakkan tarikh asal pasu itu pada zaman Dinasti Qing.

Ketua jabatan seni Sworders, Li Yexue berkata pemiliknya telah cuba menjual pasu itu di eBay tetapi dibanjiri dengan mesej dan tawaran. 

Dia mengambil keputusan untuk menarik balik jualannya dan mendapatkan penilaian profesional untuk pasu itu. 


"Pemilik itu telah membeli pasu itu di sebuah kedai kebajikan sebab dia suka rupanya.

"Dia menawarkannya di eBay dengan harga permulaan yang murah dan mendapati ianya diminati ramai orang.

"Dia kemudian menarik balik pasu itu dari eBay dan membawakannya kepada kami untuk menilainya.

"Dia sangat teruja apabila kami menjelaskan kepentingannya," kata Li.

Pasu itu akan dijual dalam satu lelongan pada 8 November.


Kalau pasu itu begitu bernilai kerana memiliki cap mohor seorang maharaja China, betapa kita umat-Nya jauh lebih lagi bernilai kerana dimiliki dan dimaterai dengan Roh Kudus oleh Yesus, Raja segala raja.

"Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya, yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya." Efesus 1:13-14, AVB)