Selasa, 17 September 2019

UNIFOR Dicadang Beri Gaji Bulanan Kepada Paderi Di Sarawak


SIBU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dicadangkan supaya memberi gaji bulanan secara tetap kepada paderi-paderi di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Edwin Banta melahirkan cadangan itu ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menghadiri Majlis Makan Malam Amal Gereja Methodist Iban Bawang Assan (GMIBA) di sebuah restoran di sini, malam tadi.

"Saya mencadangkan agar UNIFOR ini memberi gaji kepada paderi-paderi kita seperti para ustaz di bawah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang dibayar gaji bulanan oleh kerajaan negeri.

"Adalah lebih baik ia diselaraskan seperti itu memandangkan kita kini mempunyai UNIFOR," ujarnya.

Beliau berkata, ia hanyalah cadangannya sahaja terpulang kepada UNIFOR untuk melaksanakannya.

"Kalau tidak dapat, tak payahlah. Saya cuma cadangkan sahaja mana tahu ia boleh dipertimbangkan," tambahnya lagi.


Sementara itu, Pengarah UNIFOR Datu Dr Ngenang Janggu berkata UNIFOR adalah satu unit di bawah Jabatan Ketua Menteri yang diselia oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membantu agama-agama lain membina, menaik taraf dan sebagainya kemudahan institusi keagamaan mereka.

"Kita bukan sahaja membantu agama Kristian tetapi agama lain seperti Sikh, Hindu, Budhha dan sebagainya.

"Di bawah UNIFOR juga kita membantu untuk mencari tapak perkuburan untuk agama-agama lain yang memerlukan," katanya lagi.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa meningkatkan peruntukan untuk UNIFOR dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, Ngenang memberi jaminan bahawa beliau akan membawa permohonan GMIBA yang memohon untuk membina sebuah bangunan baharu iaitu Pusat Pendidikan Methodist Bawang Assan kepada Uggah bagi tindakan lanjut proses permohonan tersebut.

"UNIFOR menerima permohonan tersebut tetapi ianya perlu dibincangkan untuk perhatian Uggah," tambahnya lagi.

Pada majlis tersebut, Edwin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 dari Masing manakala RM2,000 lagi dari sumbangan peribadinya kepada GMIBA.

Majlis itu dihadiri hampir 500 hadirin yang hadir bagi membantu GMIBA mengumpul dana untuk tujuan pengurusan gereja tersebut.

Hadir sama, Timbalan Pengarah UNIFOR Richard Lon, Pengerusi Lembaga Pengurusan Kewangan GMIBA merangkap pengerusi pengelola Tuai Rumah Dennis Ansam, Pengerusi GMIBA August Abett, Temenggong Wilfred Billy Panyau, Penghulu Evelyn Holly Sebom, Paderi penguasa GIM Bawang Assan Reverend Joshua Mangka serta tetamu jemputan yang lain.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "UNIFOR Dicadang Beri Gaji Bulanan Kepada Paderi Di Sarawak" yang ditulis oleh Watt Zacchaeus bertarikh 15 September 2019)