Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya di zon
hijau mulai 10 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri
Yaakob.
Bagaimanapun, beliau berkata, mereka perlu mematuhi prosedur
operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk bilangan yang hadir tidak
melebihi 30 orang dan tertakluk kepada saiz dan keluasan rumah ibadat
berkenaan.
“Kalau rumah ibadat kecil dan tidak boleh memuatkan 30
orang, maka jumlah yang berada di dalamnya perlu kurang daripada jumlah itu,
tidak boleh berhimpit-himpit,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya,
hari ini.
Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob |
Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga emas berumur lebih
70 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat
berkenaan.
Saringan suhu badan, penyediaan cecair pencuci kuman dan
pemakaian pelitup separuh muka juga adalah sebahagian daripada SOP yang
ditetapkan, katanya.
Ismail Sabri berkata, kebenaran menggunakan rumah ibadat itu
hanya untuk warganegara Malaysia sahaja, dan hanya untuk hari-hari penting bagi
agama masing-masing.
"Contohnya, untuk agama Kristian, mereka akan pergi ke
gereja pada hari Ahad sahaja, jadi hanya hari Ahad dibenarkan," katanya.
Setakat ini kerajaan telah membenarkan 174 rumah ibadat
beroperasi di seluruh negara iaitu 84 kuil, 15 tokong, 67 gereja dan lapan
gurdwara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kebenaran itu akan
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan setakat ini ia melibatkan
kira-kira satu peratus rumah ibadat seluruh negara.
Sementara itu, urusan perkahwinan di semua rumah ibadat
masih ditangguhkan sambil menyatakan kelonggaran yang diberikan akan ditarik
balik serta-merta jika terdapat sebarang pelanggaran SOP ditetapkan.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Rumah Ibadat Bukan Islam Di Zon Hijau Dibenar Beroperasi Mulai 10 Jun" bertarikh 21 Mei 2020)